Bos perasan sikap pekerjanya berubah. Rupa-rupanya ia salah satu simptom kanser otak

SEORANG guru sekolah rendah berusia 43 tahun disahkan menghidap kanser otak oleh majikannya setelah majikannya mendapati dirinya berkelakuan pelik dan sangat berbeza daripada kebiasaannya.

Susulan itu, atas dasar keprihatinan, Matt Schlag telah diminta bosnya untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dengan segera di Leeds General Infirmary’s Accident and Emergency, England.

Hasil yang diperoleh sungguh mengejutkan apabila Schlag disahkan pakar menghidap kanser otak (anaplastic astracytoma).

Sesungguhnya, lelaki itu sangat bertuah.

Kredit foto: cottonbro studio

Selepas ibu dan bapanya mengetahui derita yang dialami anak mereka, kedua-duanya sepakat bekerja di Brain Tumor Research Center demi mendapatkan nasihat dan rawatan terbaik buat dirinya.

KERAP MIGRAIN

Kepada Mirror UK, Schlag berkata, sebaik sahaja memulakan tugas sebagai seorang guru di sekolah rendah GORSE Academies Trust in Leeds, beliau kerap mengalami sakit kepala (migrain).

“Keadaan itu menyebabkan perbualan saya menjadi janggal dalam perbualan dan biasanya saya tidak berasa seperti itu. Sejujurnya saya tidak dapat menangani masalah tersebut bersendirian.

“Saya sangat terhutang budi kepada bos saya kerana beliau banyak membantu ketika saya mengalami masalah tersebut. Disebabkan sikap prihatin itulah yang telah menyelamatkan nyawa saya,” katanya.

Kredit foto: Anna Shvets

Oleh yang demikian, bagi merungkai dengan lebih lanjut tentang masalah yang dihidapi oleh lelaki berkenaan, SinarPlus merujuk penulisan MedicineNet.

Menurut laman perubatan itu, barah otak merupakan satu penyakit yang disebabkan sel-sel kanser (sel malignan) wujud dalam tisu otak.

Apabila sel berkenaan berkembang lalu membentuk tumor, ia mengakibatkan fungsi otak (kawalan otot, deria, ingatan dan fungsi tubuh yang lain) terganggu.

Di samping itu, MedicineNet juga berkongsi tentang golongan yang berisiko untuk menghidap barah otak, antaranya:

Kredit foto: Kateryna Babaieva

i) Individu yang bekerja di kilang penapisan minyak.
ii) Pengendali bahan api jet atau bahan kimia seperti benzena.
iii) Ahli kimia.
iv) Mereka yang bertugas sebagai pengendali mayat untuk pameran atau uji kaji penyelidikan.
v) Pekerja industri getah.

Dalam pada itu, Healthline pula berkata, seseorang yang ada sejarah keluarga penghidap kanser otak, usia semakin meningkat dan menghisap rokok dalam jangka masa yang panjang merupakan antara faktor risiko terjadinya barah.

Iklan

Bukan itu sahaja, laman perubatan yang berpangkalan di AS itu menerangkan, permulaan kanser otak tidak semestinya bermula pada bahagian tubuh tersebut.

“Ia juga boleh berlaku daripada hasil rebakan kanser lain. Biasanya kanser yang menular masuk ke dalam otak adalah kanser seperti paru-paru, payudara, buah pinggang, pundi kencing dan melanoma (kanser kulit),” tulisnya.

Kredit foto: Ivan Samkov

Melihat kepada gejala-gejala yang sering dihadapi, Mayo Clinic berkongsi tanda-tanda umum yang biasa dihidapi oleh pesakit tumor otak, berikut inti patinya:

i) Perubahan corak sakit kepala.
ii) Berhadapan dengan masalah sakit kepala yang begitu kerap dan teruk.
iii) Berasa mual dan muntah
iv) Mengalami masalah penglihatan seperti pemandangan kabur.
v) Kehilangan deria rasa secara beransur-ansur.
vi) Berhadapan dengan masalah keseimbangan badan.
vii) Sukar untuk bercakap.
viii) Berasa terlalu penat.
ix) Keliru dalam urusan seharian.
x) Sukar untuk membuat keputusan.
xi) Tidak berupaya untuk mengikuti arahan mudah.
xii) Perubahan personaliti atau tingkah laku.
xiii) Sawan.
xiv) Mengalami masalah pendengaran.

Sekiranya kalian mempunyai ahli keluarga mahupun rakan-rakan yang menunjukkan perubahan sikap ketara, nasihatkan mereka untuk terus lakukan pemeriksaan kesihatan.

Iklan

Walaupun penyakit itu sukar untuk diubati, sekurang-kurangnya mereka dapat menerima rawatan awal yang boleh mengelakkan komplikasi yang teruk.

Baca juga: Boleh pergi pada bila-bila masa, kanser otak adik Nur Umairah kini pada tahap akhir

Baca juga: Lelaki tak subur 2 kali ganda berisiko hidap kanser payudara. Komplikasi dialami lebih teruk berbanding wanita

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi