SEORANG petugas radiologi di sebuah hospital pernah menceritakan kepada penulis tentang betapa makmal ujian pengimejan resonan magnetik (MRI) di sana sentiasa gamat dengan ‘drama‘ pesakit.

Katanya, ramai yang sangat takut memasuki lohong mesin MRI. Meskipun ukuran panjangnya sekitar 1.5 hingga 2.5 meter sahaja, kegerunan mereka mengalahkan orang sedang berperang.

Rata-ratanya berpeluh, menggeletar, menjerit ketakutan dan tiba-tiba menjadi baran serta menangis sekuat hati apabila tubuh badan mereka dimasukkan secara perlahan ke dalam mesin tersebut.

“Itulah antara sebab kenapa pesakit terpaksa menunggu giliran untuk membuat MRI. Bukan kerana mesin MRI tak cukup, tapi pihak kami terpaksa memujuk pesakit agar tidak takut,“ katanya kepada penulis baru-baru ini.

Kredit photo: MART PRODUCTION

Secara umumnya, situasi berkenaan dikenali sebagai klaustrofobia iaitu sejenis fobia terhadap ruangan kecil, sempit dan tertutup.

Menurut Medical News Today, klaustrofobia adalah salah satu cabang di bawah gangguan keresahan dan rasa cuak terhadap kawasan kecil lantaran wujud pemikiran yang tidak rasional.

Antara situasi yang boleh mencetuskan klaustrofobia termasuk berada di dalam lif, terowong, kereta api, kapal terbang, bilik sesak atau bilik tanpa tingkap, tandas awam, kereta termasuk ketika menggunakan pintu berpusing dan mamakai pakaian ketat.

Berdasarkan statistik yang dikongsi Cleveland Clinic, sebanyak 12.5 peratus penduduk Amerika Syarikat berdepan permasalahan berkenaan.

Untuk mendalami lebih lanjut mengenai klaustrofobia, SinarPlus menghubungi Pakar Perunding Psikiatri, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr Ahmad Rostam Md Zin untuk mendapatkan jawapan.

Kredit foto: MART PRODUCTION

Bersetuju dengan fakta daripada Medical News Today, Dr Ahmad Rostam bagaimanapun berkata, tidak semua pesakit gangguan kebimbangan akan menghidap fobia berkenaan.

“Mereka mungkin boleh memiliki fobia lain yang ada di bawah cabang gangguan berbeza. Namun yang pasti, klaustrofobia bertumpu kepada mereka yang cukup kecut perut berada di tempat sempit dan tertutup seperti berada di dalam lif, waima di dalam kereta sekali pun,“ katanya.

Kerosakan gen?

 

Kredit foto: MART PRODUCTION

SinarPlus kemudian merujuk Cleveland Clinic untuk mengetahui punca seseorang berdepan dengan masalah klaustrofobia. Berikut antara situasi yang mempengaruhi:

Trauma sewaktu kecil: Sesetengah orang dewasa yang ada klaustrofobia adalah disebabkan peristiwa yang dialami sewaktu mereka kecil seperti terperangkap di dalam ruangan yang sempit.

Trauma sewaktu dewasa: Walaupun sudah menginjak ke alam dewasa, keadaan seperti terperangkap dalam lif atau berhadapan dengan ribut sewaktu di dalam kapal terbang juga boleh membawa kepada fobia berkenaan.

Kredit foto: RODNAE Productions

Tindakan ibu bapa yang ada klaustrofobia: Seseorang boleh berdepan dengan ketakutan tersebut jika salah seorang daripada mak ayah mereka menghidap kemelut sama.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Rostam berkata, jika mana-mana ibu bapa yang mengalami klaustrofobia, keberangkalian untuk anak-anak mewarisi sifat serupa adalah lebih tinggi.

“Ingin saya jelaskan, ia bukanlah disebabkan genetik, tetapi kerana tingkah laku ibu bapa mudah menjadi ikutan anak-anak. Kita kena faham bahawa budak kecil memang suka mengikut perbuatan orang di sekelilingnya.

Kredit foto: Odonata Wellnesscenter

“Justeru, jika orang tua mereka memaparkan perilaku sedemikian, tidak mustahil si anak akan terikut sama,“ ujarnya.

Kepada SinarPlus, pakar perubatan itu turut menerangkan tentang korelasi klaustrofobia dan gen GPM6A.

Menurut beliau, terdapat sesetengah kajian yang mengatakan bahawa ketakutan jenis itu disebabkan oleh kerosakan gen GPM6A.

“Ia (gen GPM6A) dikatakan rosak secara semula jadi sewaktu proses transmisi benih ibu bapa kepada anak. Namun, dalam konteks fobia jenis ini, kerosakan gen hanya teori-teori klinikal dan sukar untuk membuktikan bahawa kecacatan gen itu menjadi punca utama seseorang takut terhadap ruangan sempit,“ jelasnya.

Kredit foto: Pixabay

Menjawab satu satu soalan, Dr Ahmad Rostam berkata, klaustrofobia diklasifikasikan kepada tiga kategori iaitu ringan, sederhana dan teruk. Berikut perinciannya:

Ringan: Timbul rasa takut kepada perkara spesifik, tetapi tidak penting dalam kehidupan. Antaranya cemas ketika menaiki gelongsor air tertutup.

Sederhana: Masih boleh berhadapan dengan kegentaran dan mampu untuk mengawal serangan panik yang dihadapi.

Teruk: Hilang keupayaan untuk melakukan aktiviti harian sehingga rasa ngeri untuk keluar rumah.

Tidak kira apa jenis kategori, ujar pakar tersebut, kesemuanya akan berhadapan dengan serangan panik, sukar untuk bernafas, degupan jantung laju dan berpeluh jika diletakkan di tempat yang tidak diingini itu.

Terapi

Kredit foto: Alex Green

Perbincangan seterusnya dihalakan kepada aspek rawatan dalam menyembuhkan rasa klaustrofobia dalam diri penghidap.

Untuk itu, Pakar Perunding Psikologi, CPC International, Dr Noor Aishah Rosli diajak berbincang mengenainya.

Ketika ditemui, Dr Noor Aishah berkata, kaedah perawatan yang diberikan kepada seseorang ada baik untuk psikologi mereka.

Namun, terlebih dulu ungkapnya, golongan klaustrofobia memiliki cara pemikiran yang salah terhadap ruang sempit dan ketakutan yang ditonjolkan adalah keterlaluan.

Kredit foto: Alex Green

“Bayangkan jika mereka menaiki kereta dan terperangkap di dalam terowong, mereka akan mencipta tanggapan palsu seperti berasakan tidak boleh mengawal diri jika air tiba-tiba memenuhi kawasan terowong. Itu yang selalu terjadi dan ia sebenarnya boleh ditangani,“ ujarnya.

Lazimnya, Dr Noor Aishah berkata, langkah pertama yang akan diambil untuk mengatasi klaustrofobia adalah dengan merawat gangguan keresahan yang dialami penghidap.

“Kami akan membantu mereka untuk memperbetulkan kembali tanggapan terhadap ruang kecil. Kemudian, dua jenis terapi akan diterapkan,“ katanya.

Bagi memudahkan pemahaman, beliau menyenaraikan dalam huraian yang mudah dihadam.

Kredit foto: Alex Green

Terapi penyahpekaan: Menerusi terapi ini, penghidap akan didedahkan kepada ketakutan kepada ruangan sempit dan tertutup. Ia perlu dilakukan untuk membantu mereka melawan rasa takut.

Terapi tingkah laku kognitif: Melalui kaedah rawatan ini, pakar akan mengajar metodologi untuk mengurus fobia dengan cara berfikir dan mengawal perasaan serta tingkah laku.

Apa akan jadi jika seseorang enggan mendapatkan konsultasi, apalagi berjumpa dengan doktor dalam mengatasi krisis kesihatan yang membelenggu diri selama ini?

Demikian reaksi Dr Noor Aishah: “Jawapannya, segala aktiviti harian akan terganggu. Mereka juga tidak berupaya untuk membuat satu pekerjaan dengan baik. Bagi kanak-kanak pula, kelompok ini akan alami gangguan pembelajaran.“

Kredit foto: Alex Green

Sehubungan itu, pakar berkenaan menekankan tentang peri pentingnya sesi terapi dilaksanakan tanpa gagal.

Iklan

Kepada individu yang baru tahu ciri-ciri klaustrofobia wujud dalam diri, cuba atasi isu tersebut dulu, saran beliau.

“Selain itu, wujudkan sesi bermonolog dengan diri sendiri dan beritahu diri anda bahawa perkara itu tidak membahayakan,“ ungkapnya.

SinarPlus turut berkongsi pendekatan yang disyorkan oleh laman perubatan terkemuka, Very Well Mind.

Kredit foto: cottonbro studio

Kata mereka, walaupun mengelak ruang tertutup adalah salah satu cara untuk menghindari diri daripada rasa cemas dan panik, cara sedemikian adakalanya boleh memburukkan lagi keadaan.

Sehubungan itu, Very Well Mind mencadangkan aturan berikut. Antaranya:

  • Menghela nafas panjang ketika berada di ruang kecil.
  • Membayangkan pemandangan yang menenangkan.
  • Mengingatkan diri sendiri bahawa anda selamat.
  • Bermeditasi dapat membantu menenangkan fikiran dan tubuh badan.
  • Sesetengah daripada penghidap boleh berasa lega melalui hipnosis.

Baca juga: [VIDEO] Kecoh lelaki pengsan di PPV, rupa-rupanya fobia lihat jarum suntikan

Baca juga: Fobia, cemas, takut melihat badut adalah satu penyakit mental. Atasinya dengan cara ini

 

#kisahresponden

‘SAYA RASAKAN SEPERTI DIPAKSA MASUK KE LIANG LAHAD DAN AKAN MATI.’

Kredit foto: MART PRODUCTION

“APABILA saya memasuki terowong untuk ujian MRI (pengimejan resonan magnetik), saya merasakan saya seperti dipaksa masuk di liang lahad. Saya membayangkan terowong itu akan menghimpit saya dan akan membuatkan saya mati.“

Demikian gambaran dahsyat Anissa, 41, yang memiliki sindrom klaustrofobia ketika beberapa kali diminta melakukan MRI di hospital.

Kepada SinarPlus, Anissa tidak malu mengatakan dirinya berada pada tahap kronik dan fobianya itu sukar untuk dipulihkan.

Cerita wanita itu, situasi tersebut mula berlaku selepas beliau merentas satu pengalaman yang cukup memeritkan ketika bercuti di Vietnam.

Iklan

“Ketika kami dibawa meneroka kawasan sejarah dan salah satunya ialah lorong bawah tanah yang menjadi tempat persembunyian tentera lokal daripada penjajah. Kata pemandu pelancong itu, lorong tersebut sangat besar dan tiada masalah untuk kami melaluinya.

“Rupa-rupanya dia hanya buat lawak. Lorong itu sangat kecil. Lebih memburukkan keadaan, di depan saya ialah seorang ‘mat saleh‘ yang berbadan besar.

 

“Disebabkan dia sukar berjalan, saya dan beberapa pelancong lain terhimpit dan sesak nafas. Ketika itu saya sedang hamil, jadi keadaan itu membuatkan saya trauma,“ imbaunya dengan penuh perasaan.

Sejak insiden tersebut, ujar Anissa, beliau sangat takut untuk memasuki ruangan sempit, termasuk lif yang bersaiz terlalu kecil.

Peristiwa buruk itu juga membuatkannya sering berfikir bukan-bukan lebih-lebih lagi tentang kematian.

“Entahlah, kejadian di Vietnam terus menghantui saya sehingga kini. Kadangkala saya bermimpi saya ditolak ke dalam lubang dan ditimbus dengan tanah. Saya tak boleh bernafas, lalu mati,“ luahnya.

Ditanya adakah beliau berjumpa dengan pakar untuk mendapatkan pandangan tentang kondisinya, kata Anissa: “Sudah banyak kali, tapi tak pernah berhasil. Namun, atas nasihat seorang ustaz, saya diminta mengamalkan bacaan tertentu termasuk sentiasa beristighfar untuk meredakan hati saya.”

Ujar wanita berkenaan, pendekatan tersebut sedikit sebanyak membantunya. Pun demikian, Anissa akan memastikan dirinya menjauhi kawasan yang terlalu sempit.- MAZLINA ABDUL MAJID

Baca juga: Si kecil takut mandi laut, kolam? Ini cara atasi fobia air ibu boleh cuba

Baca juga: Tunda ujian MRI akibat takut berada di ruangan sempit, pakar ini kongsi cara atasi ketakutan itu

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi