BARU-BARU ini tular gambar seorang doktor yang sedang memeriksa seorang pesakit dengan meletakkan stetoskop pada mata bukannya dada.

Foto tersebut telah dijadikan bahan jenaka oleh netizen.

Mereka beranggapan bahawa pegawai perubatan itu tidak mengetahui fungsi sebenar alatan berkenaan.

Perkongsian tersebut telah menarik perhatian Pengasas Bersama Medical Mythbusters Malaysia, Dr Mohd Syamirulah Rahim untuk memberi komentar.

Kredit foto: Karolina Grabowska

Menjelaskan situasi berkenaan, Dr Mohd Syamirulah berkata, tindakan doktor berkenaan adalah untuk mengesan bruit (bunyi luar biasa) pada salur darah mata.

“Kaedah itu digunakan untuk mengenal pasti jika seseorang ada penyakit seperti masalah salur sarah, grave’s disease (penyakit tiroid) atau anemia (kekurangan darah merah),” katanya.

Pun demikian, Dr Mohd Syamirulah memaklumkan, zaman serba maju kini menyaksikan sudah ada banyak akses kepada teknologi.

Boleh dikatakan hampir setiap klinik sudah ada mesin ultrabunyi dan analisis darah, ujar beliau.

Kredit foto: Pavel Danilyuk

“Bagaimanapun, tidak semua kawasan dapat menikmati kemudahan itu, terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar dan pedalaman.

“Oleh yang demikian, pegawai perubatan yang bertugas di kawasan tersebut akan menggunakan kemahiran dan pengalaman yang ada untuk diagnosis penyakit yang dihidapi pesakit,” ungkapnya.

Dalam perkongsiaan sama juga, pakar berkenaan turut berkongsi cerita tentang pengalaman beliau yang pernah berhadapan dengan situasi tersebut.

Kredit foto: Los Muertos Crew

“Ketika itu saya sedang memeriksa seorang pesakit di klinik dan dia baru sahaja keluar wad kerana disyaki mengalami serangan strok.

“Saya pun menggunakan stetoskop untuk mendengar bunyi jantung dan paru-paru pesakit dengan teliti. Kemudian, saya meletakkan alatan itu pada tepi leher dan tanpa disangka-sangka waris bertanya, mengapa saya berbuat sedemikian?,” kongsinya.

Tujuan pemeriksaan pada tepi leher adalah untuk mendengar bunyi bruit karotid (bunyi salur darah sempit).

Jika kondisi itu berlaku, ia boleh menyebabkan darah beku dan menjadi punca kepada serangan strok, ujar Dr Mohd Syamirulah.

Kredit foto: Thirdman

Bagaimanapun, pegawai perubatan itu memuji kepekaan waris kerana teliti dan mempunyai keinginan untuk mengetahui prosedur pemeriksaan kesihatan yang sedang dijalankan.

Menurut Cleveland Clinic, sekiranya anda mengalami bruit karotid, ia mungkin petanda kepada masalah kesihatan yang serius seperti Carotid Artery Stenosis (CAS).

CAS merupakan satu keadaan salur darah besar pada tepi leher iaitu arteri karotid tersumbat.

Bagi mereka yang mengalami masalah bruit karotid, Cleveland Clinic menerangkan, ia boleh dirawat dengan pemberian ubat kawalan darah tinggi dan kolesterol.

Iklan
Kredit foto: Julie Viken

Laman perubatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu turut mengingatkan orang ramai tentang peri pentingnya penjagaan gaya hidup. Berikut amalan yang disarankan mereka, antaranya:

i) Elak merokok dan hentikan penggunaan produk yang mengandungi tembakau: Tembakau boleh memberi kesan buruk kepada salur darah dan akan meningkatkan faktor risiko penyakit kardiovaskular.

Kredit foto: Ella Olsson

ii) Makan makanan yang sihat: Pemakanan yang sihat dan seimbang perlu diamalkan. Kurangkan pengambilan makanan yang mengandungi lemak, natrium dan gula. Di samping itu, elakkan pengambilan daging merah dan sebaik-baiknya makan isi ayam tanpa lemak, ikan dan ayam belanda.

iii) Selalu bersenam: Senaman tidak seharusnya dilakukan secara drastik. Boleh mula dengan perlahan dan secara beransur-ansur lakukan senaman sehingga 150 minit setiap minggu.

Justeru, jangan mudah cepat melatah jika pegawai perubatan sedang melakukan pemeriksaan kesihatan. Mereka ialah pakar, sudah semestinya mereka tahu apa yang harus dilakukan.

Iklan

Sekiranya prosedur pemeriksaan terlihat agak pelik, ringankan mulut untuk bertanya supaya anda mengetahui kondisi kesihatan tubuh badan sendiri.

Baca juga: Bahaya jika kerap rasa kebas

Baca juga: Stres, penat, migrain ketika bekerja, itu petanda diri ‘burn out’. Ini 7 cara mengawalnya

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi