Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

APABILA seorang ibu membuat pengakuan di media sosial bahawa anaknya sudah dua kali dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di taska dan kemudiannya menderita wabak Covid-19, ramai yang meluahkan rasa simpati.

Rata-ratanya mengatakan, Malaysia kini sedang dihambat dengan dua ‘bencana‘ yang menakutkan dan berkemungkinan akan berterusan dalam jangka masa yang panjang.

Berdasarkan statistik, pada Januari hingga 17 Mei lalu, sebanyak 31,661 kes HFMD direkodkan.

Seandainya keadaan semakin kritikal, kemungkinan besar beberapa negeri tiada pilihan, selain mengambil keputusan selamat dengan menutup taska, tadika dan pusat jagaan.

Itu cerita HFMD. Negara juga masih belum menarik nafas lega berikutan perkembangan virus Covid-19 yang masih mencatatkan angka yang agak membimbangkan.

Mengenali asas kepada HFMD, ia adalah disebabkan oleh enterovirus meliputi Coxsackie Virus A16 (Cox A16) dan Enterovirus 71 (EV 71). Penyakit itu mula tercetus di Malaysia pada tahun 1997 apabila kira-kira 30 kanak-kanak meninggal dunia akibat virus tersebut.

Pada tahun 2000, sebanyak 1,178 kes dilaporkan dengan kebanyakannya berlaku di Johor selepas wabak berkenaan dikesan di Singapura sebulan sebelumnya.

Penularan HFMD adalah melalui rembesan dari hidung atau cecair tekak, air liur, cecair daripada lepuh, najis dan titisan air yang disembur ke udara selepas batuk atau bersin. Sentuhan pada permukaan dan alatan permainan yang tercemar dengan virus HFMD turut menyumbang.

Berbicara lanjut, SinarPlus mendapatkan Doktor Perubatan, Klinik Iris di Shah Alam, Selangor, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan lazim yang kerap dibangkitkan oleh ibu bapa.

Pertama, kata Dr Arisman, HFMD paling cepat berjangkit terutama dalam kalangan kanak-kanak yang berusia bawah lima tahun.

Meskipun si kecil dilihat masih aktif walaupun mereka demam dan sakit tekak, ia tetap berbahaya terutama jika terjadi kepada bayi yang tidak mahu menyusu atau enggan makan minum ubat demam disebabkan sakit dalam mulut (ulser).

“Apa yang perlu dilakukan, asingkan segera anak yang dijangkiti HFMD dengan anak-anak lain terutama yang masih bayi.

“Jangan benarkan mereka (pesakit) mendekati, mencium pipi, menyentuh atau batuk di hadapan bayi. Perkara yang paling penting yang ingin diingatkan, jangan sesekali anggap HFMD yang terkena pada kanak-kanak berusia enam tahun, sama kesannya pada bayi yang berusia setahun,“ ujar beliau.

Apa yang perlu dilakukan?

Antara soalan paling popular ditanya ramai, adakah pesakit HFMD disyorkan makan ubat antibiotik untuk memulihkan jangkitan? Jawapannya, tidak perlu!

Pada masa sama, HMFD juga tidak mempunyai ubat antiviral khusus untuk merawatnya, beritahu Dr Arisman.

“Ia bersifat self-limiting disease yang bermaksud kuman virus akan mati dengan sendiri dan rawatannya adalah symptomatic iaitu cara merawatnya sesuai dengan gejala yang dialami pesakit,“ katanya.

Bercakap mengenai antibiotik, fakta yang dikemukakan pengamal perubatan terkemuka itu disokong oleh Pegawai Perubatan dari Calcutta National Medical College & Hospital, Dr Ananya Mandal.

Kata Dr Ananya kepada News Medical, antibiotik bukan sahaja tidak berkesan, malah penggunaannya sama sekali tidak digalakkan.

Antibiotik jelas beliau, bertindak ke atas jangkitan bakteria, sementara HFMD adalah berpunca daripada virus.

SinarPlus turut merujuk informasi terkini yang dimuat naik oleh laman web perubatan antarabangsa, WebMD.

Ujar mereka, tiada penawar atau vaksin untuk HFMD. Lazimnya, penyakit tersebut akan hilang dengan sendirinya selepas tujuh hingga 10 hari.

Justeru, apa yang boleh dilakukan oleh penjaga? Berikut pendekatan yang disyorkan oleh WebMD:

Berikan ubat penahan sakit seperti ibuprofen atau acetaminophen (semburan mulut). Jangan gunakan aspirin kerana ia boleh menyebabkan penyakit serius pada kanak-kanak.

Iklan

Boleh hidangkan makanan sejuk seperti ais pop, yogurt atau smoothie untuk melegakan sakit tekak. Elakkan jus dan soda yang mengandungi asid yang mungkin merengsakan.

Guna losyen antigatal seperti calamine.

Penulisan itu turut mengingatkan, selepas tujuh hari si kecil dijangkiti, virus masih tinggal di dalam badan mereka selama beberapa hari atau minggu dan boleh merebak melalui air ludah atau najis mereka.

Pun demikian, langkah-langkah yang disenaraikan boleh mengurangkan kemungkinan jangkitan daripada berlaku. Antaranya seperti:

Ibu bapa, penjaga atau pengasuh diminta berhati-hati terutamanya selepas menukar lampin atau mengelap hidung kanak-kanak. Pastikan mereka sentiasa menjaga kebersihan tangan.

Baca jugaSerang si kecil bawah 6 tahun, bahaya penyakit HFMD, ini ibu bapa wajib tahu


Ajar si kecil menutup mulut dan hidung apabila bersin atau batuk. Tisu juga boleh dijadikan pelapik.

Nyah kuman permukaan termasuk barangan yang dikongsi seperti alatan permainan dan tombol pintu.

Iklan

Perkara paling signifikan, jangan memeluk apalagi mencium seseorang yang mempunyai HFMD.

Jangan berkongsi cawan atau sebarang perkakas dengan pesakit.

Diminta tidak menghantar anak-anak ke sekolah atau pusat jagaan harian sehingga simptom mereka betul-betul hilang.

Bagi menjawab pertanyaan terakhir mengenai kemungkinan ibu hamil dijangkiti HFMD, SinarPlus kembali merujuk Dr Arisman.

Ungkap beliau, golongan itu juga tidak terkecuali, namun risikonya masih rendah.

“Buat masa ini juga, tiada kajian menunjukkan kesan atau implikasi virus kepada bayi dalam kandungan juga,“ katanya.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI