Individu punya genetik gout kena lebih waspada. Selain minum banyak air putih, ini yang perlu dilakukan

APABILA sesekali bersua bersama ahli keluarga atau saudara-mara, makan merupakan satu agenda wajib dilakukan.

Pada waktu itulah kita dapat melihat gelagat pak cik, mak cik, sepupu dan anak saudara yang kadangkala makan seperti ‘tak ingat dunia’.

Namun, paling merisaukan, demi nak ambil hati, mereka akan makan apa sahaja sehingga terlupa penyakit yang dihidapi.

Berdasarkan pengalaman penulis sendiri, tatkala perjumpaan keluarga, individu yang mengalami gout selalunya terlupa dengan penyakit yang dialami.

Kredit foto: Terje Sollie

Segala makanan laut seperti udang, sotong, kerang mahupun ketam dihabiskan.

Natijahnya, memang buruk. Walau sering dianggap penyakit biasa, masalah kesihatan itu memangnya tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh mengganggu keupayaan seseorang untuk menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

Untuk pengetahuan semua, gout bukanlah penyakit yang hanya terjadi dalam kalangan penduduk Malaysia sahaja, tetapi ia melanda rakyat seluruh dunia.

Menurut Very Well Health, lebih 9.2 juta orang penduduk AS mengalami isu itu dan kebanyakan mereka ialah orang dewasa dan golongan lelaki.

Kredit foto: Andrea Piacquadio

Berdasarkan data keseluruhan pula, laman perubatan itu berkongsi statistik pada tahun 2017 yang mendapati, dalam 100,000 orang, 92 daripadanya didiagnosis dengan kondisi tersebut.

Tambah Very Well Health lagi, secara umumnya jumlah tersebut meningkat sebanyak 5.5 peratus sejak tahun 1990 lagi.

Melihat kepada keseriusan itu, SinarPlus merujuk perkongsian seorang doktor yang juga Pengarah Poliklinik Damai, Dr Manivannan yang memuat informasi di laman sosial, TikTok miliknya.

Beritahu Dr Manivannan, kebanyakan orang beranggapan bahawa makanan merupakan punca kepada terjadinya gout.

Kredit foto: Andrea Piacquadio

“Benar, tetapi ia adalah faktor kedua. Faktor pertama adalah disebabkan oleh genetik. Bagi mereka yang memiliki keturunan sakit gout, ia mengakibatkan penghasilan dan pengeluaran asid urik tak seimbang di dalam badan kita.

“Paras asid urik di dalam tubuh akan naik, maka mereka yang memiliki sejarah keturunan itu perlu jaga pemakanan seperti memperbanyak minum air putih,” jelasnya.

Dalam pada itu, Healthline dalam penulisannya menjelaskan beberapa pemakanan yang mencetuskan kepada berlakunya gout. Antaranya seperti:

i) Daging merah
ii) Organ dalaman haiwan
iii) Ikan kod, kerang dan salmon
iv) Alkohol
v) Minuman soda
vi) Jus buah-buahan

Kredit foto: Markus Spiske

Di samping itu, laman perubatan yang berpangkalan di AS itu turut berkongsi beberapa jenis ubat-ubatan yang boleh meningkatkan paras asid urik, antaranya:

i) Ubat jenis diuretik atau pil air (digunakan untuk meningkatkan penghasilan air kencing)
ii) Aspirin (ubat untuk mengurangkan kesakitan, demam atau keradangan)
iii) Ubat menurunkan tekanan darah.

Kredit foto: Pixabay

Disebabkan sukar untuk menentukan faktor di sebalik serangan gout, Healthline menyarankan individu yang ada masalah gout untuk membuat catatan harian.

Menerusinya, pesakit boleh menulis perkembangan kesihatan dan makanan yang diambil setiap hari.

Ia penting bagi membantu doktor untuk mendiagnosis penyebab berlakunya gout, jelas Healthline.

SinarPlus berharap agar pesakit tidak ambil mudah dengan keadaan kesihatan yang sedang dialami.

Jika permasalahan tidak terkawal, ia boleh mengakibatkan kesakitan berpanjangan.

Baca juga: Penyakit gout: Kematian diramal meningkat sebanyak 55 peratus pada tahun 2060

Baca juga: [VIDEO] Menangis ketika naik tangga, lelaki ini kongsi tahan azab hadap gout menyerang kepala lutut

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi