BARU-BARU ini dunia hiburan tempatan dikejutkan dengan perkhabaran kesihatan pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan.

Elizabeth secara terbuka mengakui menghidapi penyakit autoimun.

Difahamkan, krisis kesihatan yang dialami itu bukanlah baru menyerang, tetapi telah terjadi sejak beliau berumur setahun.

Bukan itu sahaja, permasalahan berkenaan menyebabkan selebriti itu mengalami keguguran rambut kritikal atau dalam bahasa saintifiknya, Alopecia areata.

Penyakit yang dialami oleh Elizabeth itu merupakan penyakit sama yang dialami oleh isteri kepada bintang hollywood, Will Smith iaitu Jada Pinkett Smith.

Kredit foto: Instagram Elizabeth Tan

Beritahu penyanyi yang popular dengan lagu Knock Knock itu, keadaan berkenaan telah membawa kepada tompokan botak pada kepala dan ia semakin membesar dari hari ke hari.

Merujuk penulisan Healthline, penyakit autoimun terjadi disebabkan sistem imun tubuh seseorang mulai menyerang badan mereka sendiri.

Biasanya, sebelum sistem pertahanan bertindak balas melawan anasir seperti bakteria atau virus, ia boleh membezakan di antara sel asing dan sel diri sendiri.

Jelas laman perubatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu, tubuh pesakit autoimun beranggapan bahagian tubuh seperti sendi dan kulit adalah sel asing.

Kredit foto: Instagram Elizabeth Tan

“Apabila sistem imun mengesan ada bahan asing, ia akan membebaskan protein yang dipanggil autoantibodi yang menyerang sel sihat. Bukan itu sahaja, sesetengah penyakit berkenaan hanya menyasarkan satu organ.

“Misalnya, diabetes jenis 1 hanya merosakkan pankreas. Bagaimanapun ada penyakit lain yang boleh menjejaskan seluruh tubuh badan iaitu Systemic Lupus Erythematosus (SLE),” tulis Healthline.

Dalam pada itu, Johns Hopkins Medicine menganggarkan sebanyak 3 peratus (10 juta orang) daripada keseluruhan penduduk AS, mempunyai penyakit autoimun.

Bukan itu sahaja, turut dinyatakan 10 jenis penyakit yang berlaku disebabkan oleh penyakit autoimun antaranya seperti:

Kredit foto: Instagram Jada Pinkett Smith

i) Hashimoto (penyakit yang menyerang bahagian tiroid)
ii) Graves (penyakit yang disebabkan oleh penghasilan hormon tiroid yang berlebihan)
iii) Rheumatoid Arthritis (penyakit autoimun dan keradangan yang menyerang sel sihat)
iv) Vitiligo (penyakit kulit yang kronik disebabkan depigmentasi)
v) Diabetes jenis 1
vi) Pernicious (kekurangan darah merah disebabkan oleh defisit vitamin B12)
vii) Multiple sclerosis (penyakit yang boleh mengganggu keupayaan otak dan saraf tunjang)
viii) SLE (penyakit autoimun yang menyerang sel tubuh badan)
ix) Sjogren (penyakit yang menyebabkan mulut dan mata kering)
x) Myositis (penyakit imun yang menyerang otot)

Beritahu Johns Hopkins Medicine lagi, terdapat satu kajian yang dijalankan pada tahun 1997 mendapati, penyakit autoimun kebanyakannya menyerang golongan Hawa terutamanya bagi penyakit Hashimoto.

AGRESIF

Kredit foto: Bennie Lukas Bester

Memperhalusi tentang penyakit Alopecia areata pula, National Institute of Arthritis and Musculoskeletal and Skin Diseases (NIAMS) menyatakan, ia merujuk kepada penyakit autoimun yang menyerang folikel rambut sehingga menyebabkan seseorang mengalami keguguran rambut.

Selain keguguran rambut, pesakit juga merasakan gatal-gatal atau rasa terbakar pada kulit kepala.

Beritahu NIAMS, individu yang ada masalah itu berisiko untuk menghidap penyakit berkenaan tidak kira lelaki mahupun wanita.

Kredit foto: Deena

Penyakit berkenaan juga boleh menjadi begitu agresif sekiranya berlaku kepada kanak-kanak di bawah usia 10 tahun.

Di samping itu, laman perubatan turut memaklumkan individu yang mengalami masalah autoimun seperti tiroid, vitiligo ialah golongan yang lebih berisiko untuk menghidapi Alopecia areata.

Oleh yang demikian, mereka yang mempunyai ciri-ciri seperti yang dinyatakan hendaklah berwaspada dan sentiasa memerhati perubahan fizikal tubuh.

Ini kerana, kebanyakan pesakit tidak berhadapan dengan simptom lain, selain keguguran rambut dan perubahan pada kuku.

Baca juga: Hidap masalah autoimun sejak kecil, Elizabeth Tan dedah rahsia

Baca juga: Will Smith tampar pengacara Oscar seloroh isteri botak, berikut fakta alopecia areata dihidapi Jada

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi