Ini sebab-sebab kenapa anak kita kencing malam. Mak ayah jangan pandang ringan

KENCING malam atau noctural enuresis memang masalah yang sering berlaku ke atas kanak-kanak terutamanya mereka yang sedang melalui fasa ‘bercerai lampin’.

Tanyalah kepada ibu bapa yang berdepan dengan kemelut berkenaan. Rata-ratanya memang pening kepala untuk membendung isu tersebut.

Pun demikian, kita perlu sedar bahawa perbuatan itu bukan sengaja dilakukan. Si kecil juga tidak malas, tetapi itu semua ada perkaitan dengan isu perkembangan.

Bagaimanapun, wujud pendapat mengatakan bahawa fenomena kes kencing malam adalah petanda awal kepada masalah kesihatan yang lain.

Kredit foto: cottonbro studio

Mengulas lanjut mengenainya, SinarPlus mendapatkan Pensyarah Kanan Psikologi, Pusat Perkembangan Kanak-Kanak, Hospital Pakar Kanak-Kanak, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Dr Yang Wai Wai.

Jelas Dr Wai Wai, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kanak-kanak kencing malam. Antaranya seperti:

i) Latihan tandas yang tidak teratur.
ii) Tabiat tidur yang tidak baik.
iii) Masalah hormon.
iv) Sejarah ahli keluarga yang mempunyai masalah sama.
v) Pengambilan ubat yang boleh mengganggu tidur.

Kata pakar itu lagi, terdapat juga kanak-kanak tidak dapat berasakan pundi kencing mereka sudah penuh. Natijahnya, mereka tidak akan ke tandas.

Kredit foto: Tatiana Syrikova

“Dalam satu situasi lain, segelintirnya bermimpi telah ke tandas, hakikat sebenar, mereka terkencing di atas katil.

“Kanak-kanak yang tidur dengan nyenyak sehingga sukar dibangunkan juga boleh menjadi punca masalah itu tercetus,“ katanya sambil menambah, kanak-kanak lelaki lebih ramai berdepan dengan dilema seperti itu.

Ditanya apa yang mendorong hal berkenaan berlaku, pakar itu berkata, ia mungkin disebabkan budak perempuan lebih cepat matang atau struktur anatomi mereka berbeza dengan lelaki.

Komplikasi kesihatan

Pun demikian, pakar itu memberitahu, hanya 1 peratus daripada si cilik yang menghadapi masalah tersebut kekal berdepan dengan fenomena berkenaan.

Kredit foto: Alex Green

Kenyataannya diperkukuhkan dengan informasi MyHealth yang menyatakan, kanak-kanak akan mula berhenti kencing malam selepas menginjak usia lima atau enam tahun.

Merujuk portal tersebut, kajian menunjukkan 10 hingga 15 peratus kanak-kanak yang berumur lima hingga 12 tahun masih terus kencing malam, walaupun mereka tiada komplikasi terhadap sistem buah pinggang.

Secara statistiknya, di Malaysia, masih terdapat kurang 6.2 peratus daripada kanak-kanak (berumur tujuh hingga 12 tahun) masih berdepan situasi seperti itu.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Wai Wai berkata, kencing malam terbahagi kepada dua keadaan iaitu enuresis primer dan sekunder.

“Enuresis primer adalah merujuk kepada kanak-kanak yang tidak dapat mengawal pundi kencing. Sementara, enuresis sekunder pula adalah mereka yang sudah boleh mengawal pundi kencing sekurang-kurangnya enam bulan, tetapi kembali terkencing selepas tempoh tersebut,“ terangnya.

Kredit foto: Anastasia Shuraeva

Menyentuh mengenai enuresis sekunder, WebMD berkata, ia ada kena mengena dengan emosi si kecil dan salah satu petanda kepada masalah perubatan.

Dalam erti kata mudah, kanak-kanak dengan enuresis sekunder lebih berkemungkinan mempunyai simptom lain, antaranya seperti kencing pada siang hari.

Baca juga: Budak kecil terpaksa ditidurkan akibat jangkitan kencing tikus. Ini fakta penting ramai kena ambil tahu

WebMD menyenaraikan faktor yang mendorong kepada masalah berkenaan:

i) Berlakunya jangkitan pada saluran kencing
– Kerengsaan pundi kencing boleh menyebabkan kesakitan semasa membuang air kecil.
– Mempunyai keinginan yang kuat untuk membuang air kencing.

ii) Kencing manis

Kredit foto: Nataliya Vaitkevich

– Penghidap diabetes mempunyai paras gula yang tinggi dalam darah mereka. Justeru, badan akan meningkatkan pengeluaran air kencing untuk menyingkirkan gula.
– Kencing yang kerap merupakan salah satu simptom penyakit diabetes.

Iklan

iii) Keabnormalan anatomi
– Keabnormalan pada organ, otot atau saraf yang terlibat semasa membuang air kecil boleh menyebabkan incontinens atau masalah urin lain.

iv) Apnea tidur

Kredit foto: Craig Adderley

– Apabila pernafasan anak terganggu, otak mereka bekerja lebih keras menyedut oksigen berbanding fungsi lain seperti pengawalan pundi kencing.
– Apnea tidur pada kanak-kanak selalunya disebabkan oleh pembesaran tonsil dan adenoid (kelenjar) yang menghalang saluran pernafasan mereka.
– Dalam kes tersebut, mengeluarkan tonsil dan adenoid boleh meningkatkan pernafasan termasuk masalah kencing malam itu.

v) Masalah neurologi
– Keabnormalan pada sistem saraf, kecederaan atau penyakit sistem saraf boleh mengganggu keseimbangan saraf halus yang mengawal kencing.

vi. Tekanan emosi

Kredit foto: Alex Green

– Kehidupan di rumah tertekan seperti ibu bapa sering bergaduh.
– Berlaku perubahan besar seperti baru mula bersekolah dan berpindah ke rumah baharu.
– Kanak-kanak yang didera secara fizikal atau seksual kadangkala akan mula kencing malam.

Meskipun perubahan gaya hidup dan kadangkala rawatan ubat boleh membantu mengurangkan permasalahan berkenaan, ia boleh mewujudkan perasaan bersalah dalam diri anak-anak yang akhirnya membuatkan mereka rasa rendah diri, kata sumber perubatan antarabangsa, MayoClinic.

Iklan

“Bukan itu sahaja, ia juga boleh menghilangkan peluang mereka melakukan aktiviti sosial, selain menimbulkan ruam pada bahagian bawah dan alat kelamin kanak-kanak terutamanya jika golongan itu tidur dengan seluar dalam yang basah,“ kata MayoClinic.

Justeru, ibu bapa dinasihatkan agar mempertimbangkan rawatan segera jika anak mereka masih membasahi katil sekitar usia enam dan tujuh tahun.

Bukan itu sahaja, sekiranya si kecil mempunyai keinginan untuk membuang air kecil lebih kerap atau rasa pedih ketika hendak kencing, lekas bertindak bagi mengelak implikasi yang lebih teruk daripada berlaku. -MAZLINA ABDUL MAJID dan NUR SUHAIMA NORDIN

Baca juga: Makanan yang dijual di sekolah punca anak-anak hidap kencing manis? Ini kata pakar

Baca juga: Para ibu kena kawal pemakanan, ubatan dan penyakit kencing manis untuk elak bayi menderita jantung berlubang

Kredit foto utama: Cotton bro 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi