ISU mengenai pelitup muka yang perlu mempunyai MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd memang hangat diperkatakan sejak minggu lalu.

Ramai mempersoalkan kenapa sekarang? Kenapa ia tidak terus dilaksanakan sewaktu pandemik bermula?

Meskipun cop SIRIM ditangguhkan buat seketika dan hanya akan dikuatkuasakan pada Januari tahun depan, ramai sudah buat banyak andaian.

Telahan paling popular pastilah harga pelitup muka akan melambung tinggi.

Baca juga “Ini semua kerja mafia!”- Isu pelitup muka ‘hauk’, Jovian sebenarnya tuju penjual mask tiruan

Apabila berbicarakan hal tersebut, ia bukan sahaja menarik perhatian netizen, malah beberapa pegawai perubatan turut tampil memberikan pandangan.

Salah satunya ialah Pegawai Perubatan, Klinik Ajwa Shah Alam, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman.

Memulakan hujahnya, Dr Arisman berkata, undang-undang baharu itu iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Pelitup Muka Bukan Perubatan) 2022 yang diwartakan berlaku kepada pelitup muka bukan perubatan atau Non Medical Face Mask (iaitu pelitup muka yang dijual di pasaran tanpa ada kelulusan dari Medical Device Authority (MDA)).

“Kalau kita beli pelitup muka perubatan seperti 3 ply surgical mask, N95 dan KN94 yang ada cop kelulusan dari MDA, itu bermakna kita bebas daripada hukuman undang-undang tersebut, jangan risau.

“Kita faham bahawa pelitup muka perubatan adalah satu bahagian daripada barang perubatan atau medical device. Jadi penghasilan, penjualan dan penggunaan pelitup muka perubatan juga ada undang-undang yang mewakilinya iaitu di bawah Medical Device Act 2012 (Akta 737)” katanya.

Justeru, kata Dr Arisman, semua pelitup muka perubatan di pasaran wajib menepati penilaian standard keselamatan dan keberkesanan pelitup muka di bawah pengawasan MDA. Wajib ada kelulusan dan cop MDA pada kotak pelitup muka.

Baca juga Pelitup muka ‘non medical’ wajib penandaan MS SIRIM mulai 4 Julai ini

Berikut antara syarat atau penetapan yang perlu ada pada setiap pelitup muka perubatan iaitu:

-Boleh tapis (filter) bakteria/virus minimum 95 peratus.

-Tidak bocor jika terkena air.

-Selesa dan senang untuk bernafas.

Pendek kata, tujuannya adalah untuk berikan perlindungan maksimum kepada pengguna. Bukan sekadar untuk menutupi mulut dan hidung semata-mata.

“Jadi, untuk pelitup muka bukan perubatan pun kalau boleh mempunyai kriteria lebih kurang sama kalau tidak sampai 95 peratus pun sudah cukup jika boleh melebihi 80 peratus perlindungan,” katanya.

DEMI KESELAMATAN & MENGAPA SIRIM?

Mengulas lanjut, pegawai perubatan terkenal tersebut berkata, kerajaan mengenakan tindakan undang-undang berkenaan hanya kepada pelitup muka bukan perubatan yang dijual laris dan terlalu banyak jenis dalam penjualan internet mahupun di kedai-kedai.

Begitu juga yang datang dari negara luar seperti dari China yang mana kita tak tahu keselamatan dan keberkesanan pelitup muka tersebut.

Daripada tinjauan, kebanyakan pelitup muka bukan perubatan tersebut tidak menepati syarat keselamatan dan keberkesanan pelitup muka yang dimahukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia atau yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Iklan

Bagi Dr Arisman, undang-undang berkenaan sebenarnya adalah sangat bagus dan tujuan utama adalah untuk melindungi pengguna.

“Kita yang akan memakai atau menggunakan pelitup muka ini apabila keluar rumah dan kita sangat-sangat berharap dan bergantung dengan pelitup muka ini dapat melindungi kita daripada penularan virus di luar.

“Namun, jika pelitup muka itu hanya sekadar kain biasa, hanya sebagai tutup untuk hidung dan mulut agar tidak kelihatan, hanya sekadar mengikuti prosedur kerajaan, tetapi bukan dengan tujuan melindungi dengan keberkesanan dan keselamatan yang sepatutnya perlu dipenuhi, ia sia-sia dan membazir bahkan merisikokan diri kepada penyakit. Walaupun harganya sangat murah tetapi itu masih tidak berbaloi dan buka pilihan tepat,” tegasnya.

Berkenaan, isu politik, kroni atau sebagainya, beliau enggan komen dan tidak tahu menahu fasal itu.

Dr Arisman turut menjelaskan mengapa SIRIM yang dipertanggungjawabkan?

Jawab beliau, mungkin SIRIM antara badan yang boleh melaksanakan tugas tersebut dengan baik dan meniru seperti mana MDA lakukan dalam proses penapisan dan memberi kelulusan dengan menjalani proses yang ketat.

“Sama seperti produk elektrik dan elektronik yang kita pakai di rumah. Kita pun sibuk nak cari cop SIRIM baru rasa yakin, selamat dan tahan lama kan?,” soalnya.

Iklan

KETERLALUAN

Berkenaan dengan tindakan undang-undang atau saman yang dikenakan, bagi pegawai perubatan itu, ia agak keterlaluan jika dikenakan kepada pengguna.

Jumlah ratusan ribu dan penjara sangat kepada si penjual kerana menipu dalam isu keselamatan dan kesihatan kepada pengguna, komennya.

“Namun, bagi si pembeli atau pengguna, itu keterlaluan. Hukumlah si penjual dan pengedar.

“Kerajaan perlu memahami kerana atas keterbatasan ekonomi rakyat dan masalah kewangan semakin ketara ini, harga pelitup muka bukan perubatan yang ada cop SIRIM ini perlulah dibincangkan agar harganya tidak mahal dan ia masih mampu milik seperti harga runcit di pasaran sekarang. Ini adalah terbaik bagi kami,” akhirinya.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI