KIRA-KIRA 12 tahun lalu, rakan penulis pernah ditempatkan di hospital gara-gara
tonsil.

Kami mentertawakannya kerana tertanya-tanya mengapa masalah sakit tekak yang tidak
seberapa memerlukan beliau ditempatkan di wad.

Perbuatan itu sangat dikesali sebaik mengetahui tonsil yang dideritainya berada pada
tahap teruk sehingga doktor mencadangkan pembedahan segera dilakukan.

Selepas menghadam beberapa rujukan mengenai tonsil atau tonsilitis, rupa-rupanya
kondisi berkenaan boleh mendatangkan bahaya kerana boleh mengheret seseorang sehingga ke kancah kematian.

Bagi mendapatkan kepastian, SinarPlus menghubungi Pakar Bedah Telinga, Hidung dan
Tekak, Hospital Sultan Ismail, Johor Dr Ezairy M Salih.

Membuka mukadimahnya, Dr Ezairy berkata, tonsil berlaku disebabkan oleh jangkitan sama ada daripada virus atau bakteria.

“Jika struktur tonsil pada bahagian tekak terkena jangkitan, ia akan membesar atau
membengkak,“ ujar beliau.

Pada kebiasaannya, Dr Ezairy berkata, masalah berkenaan kerap berlaku ke atas kanak-
kanak kerana mereka lebih mudah mendapat jangkitan.

“Pun demikian, orang dewasa juga tidak terkecuali. Jika berlaku kepada warga emas, ia
mungkin akibat daripada masalah lain yang lebih berbahaya seperti kanser.

“Untuk kes sedemikian, doktor yang merawat akan mendiagnosis dan membezakan sama ada masalah itu berpunca daripada jangkitan biasa atau sebaliknya,“ kata pakar tersebut.

Mengulas lanjut, Dr Ezairy berkata, pada kebiasaannya, mereka yang menderita tonsil
akan mengalami demam.

Baca juga: Anemia boleh beri impak sampingan kepada ibu dan kandungannya. Ini saranan penting pakar

Dalam beberapa kes yang teruk, boleh berlaku keradangan tonsil yang akan menyebabkan
pesakit sukar menelan sebarang makanan.

Portal perubatan antarabangsa, WebMD melalui penulisannya menyatakan seseorang yang
berdepan situasi itu akan mempunyai nafas berbau, suara menjadi garau dan telinga akan
berasa sakit.

Paling ketara, terdapat lapisan putih atau merah di dalam lingkungan mulut.

Prosedur pembedahan

Apa implikasi yang bakal dihadapi jika seseorang terus membiarkan tonsil tanpa
sebarang rawatan?

Jawab Dr Ezairy, jangkitan boleh merebak ke kawasan dinding di sekeliling tonsil.

Pada masa sama, ia (jangkitan) turut meningkatkan risiko pengumpulan nanah pada
bahagian belakang tonsil (peritonsillar abscess).

“Ia akan menyebabkan sakit yang luar biasa sehingga seseorang tidak boleh menelan.

“Jika hal itu terjadi, pembedahan kecil (tonsillektomie) terpaksa dilakukan untuk
mengeluarkan nanah tersebut dan ubat antibiotik intravena juga diberikan,“ katanya.

Namun, menurut Healthline, jika seseorang mengalami tonsilitis sekurang-kurangnya lima
hingga tujuh kali setahun, rawatan pembedahan merupakan solusi terbaik bagi
menghentikan keradangan.

“Kajian tahun 2017 juga menunjukkan bahawa pembedahan boleh mengurangkan jangkitan tekak pada kanak-kanak.

“Bagaimanapun, penyelidikan pada tahun 2018 pula mendapati, mereka yang menjalani
prosedur itu ketika kanak-kanak berisiko mempunyai masalah pernafasan dan jangkitan
lain apabila dewasa,“ terang Healthline.

Iklan

SinarPlus turut merujuk portal Hello Doktor tentang masalah tonsil.

Baca juga: Manusia kidal miliki IQ lebih tinggi, tetapi mudah diserang penyakit? Berikut penjelasan pakar

Menurut mereka, antara komplikasi yang mungkin berlaku ke atas pesakit adalah
kesukaran untuk bernafas.

Hal itu tercetus kerana saluran pernafasan penderita tersekat gara-gara tonsil yang
bengkak.

“Ia boleh terjadi semasa sedar ataupun ketika sedang tidur. Situasi berkenaan sangat
berbahaya kerana sekatan ini mungkin boleh mengakibatkan seseorang tercekik atau tidak
mampu bernafas dengan betul,“ kata Hello Doktor.

Sehubungan itu, bagaimana untuk mengelak masalah akut itu?

Pesan Dr Ezairy, orang ramai perlu sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan
menggunakan pelitup muka untuk mencegah jangkitan.

Iklan

“Antara yang boleh dilakukan adalah berkumur dengan air garam atau minum air
sejuk bagi melegakan tekak.

“Selain itu, ubat antibiotik dan nasihat doktor biasanya boleh membantu pesakit untuk
sembuh.

“Namun, sekiranya tonsilitis bukan disebabkan jangkitan dan berlaku ketumbuhan seperti
kanser pada kawasan tonsil, rawatan insentif akan dilakukan bersama pakar onkologi,“
jelasnya.

Baca juga: ‘Kacang cerdik’ boleh kurangkan risiko kanser kolon? Berikut 6 kebaikan pistachio yang perlu tahu 

Baca juga: Uri di bawah ketika hamil, ini komplikasi-komplikasi yang perlu ibu wajib tahu

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan