BERDASARKAN statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, dianggarkan sekitar 49,000 rakyat Malaysia menghidap kanser pada tahun 2020. Angka itu diramal akan terus meningkat mencecah 66,000 setahun menjelang 2030.

Bagi kes kanser payudara, statistik dijangka melonjak hingga 49 peratus dari tahun 2012 ke 2025. Penduduk di negara ini dikatakan mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun yang rendah iaitu sebanyak 63 peratus, berbanding Korea Selatan (92 peratus) dan Singapura (80 peratus).

Mengulas lanjut, Pakar Perunding Pembedahan Am, Payudara dan Endokrin, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Suziah Mokhtar berkata, satu daripada 27 wanita dewasa berisiko untuk mendapat kanser payudara sepanjang hidupnya.

Kemungkinan tersebut akan semakin meningkat jika mereka mempunyai seorang atau beberapa ahli keluarga terdekat yang pernah mempunyai kanser payudara atau ovari.

kanser
GAMBAR hiasan: Sumber PEXELS

Kebanyakan barah payudara, ujar Dr Suziah, bersifat sporadik yang berlaku daripada kerosakan gen dan terjadi secara kebetulan semasa dewasa.

“Namun, tiada risiko untuk anak-anak (pesakit kanser) mewarisi gen tersebut. Kanser yang diwarisi hanya merangkumi 5 hingga 10 peratus dan tercetus apabila berlakunya mutasi yang melibatkan gen BRCA1, BRCA2 serta PALB2 (diwariskan daripada ibu bapa kepada anak),“ jelasnya.

Terdapat beberapa penyebab yang dikaitkan dengan krisis kesihatan itu.

Antaranya seperti hasil gabungan fisiologi dalaman, hormon, gaya hidup dan faktor-faktor persekitaran.

kanser
GAMBAR hiasan: Sumber PEXELS

Dr Suziah menambah, kanser payudara yang kerap berlaku adalah daripada jenis invasif (berupaya untuk merebak) dan in-situ (tiada keupayaan untuk merebak).

Kebanyakannya berlaku di dalam saluran susu (milk duct) dengan invasive ductal carcinoma merangkumi 70 hingga 80 peratus.

Gejala kanser payudara yang biasanya dialami oleh pesakit pula merujuk kepada ketulan pada buah dada, perubahan pada puting dan sakit pada bahagian tersebut.

Baca juga PRS bantu nilai risiko kanser payudara etnik Melayu, Cina dan India dari Malaysia, Singapura dengan lebih tepat

Antara petanda lain yang kurang diketahui termasuklah ketulan pada ketiak (selalunya dianggap sebagai bengkak nodus limpa biasa) dan perubahan pada kulit payudara (selalunya dianggap sebagai ekzema atau alergi).

“Selain itu, simptom yang diakibatkan oleh perebakan sel kanser ke organ-organ lain seperti merebak ke paru-paru sehingga menyebabkan batuk dan sukar bernafas, merebak ke hati menyebabkan penyakit kuning dan busung (ascites) dan menular ke otak menyebabkan sakit kepala berterusan,“ tambahnya.

kanser
GAMBAR hiasan: Sumber PEXELS

Menurut Dr Suziah lagi, mamogram iaitu ujian saringan yang paling utama digunakan untuk mengesan kanser payudara dalam kalangan wanita berusia lebih 40 tahun telah membawa kepada pengurangan kes kematian sebanyak hampir 20 peratus. Bagi wanita yang lebih muda, teknik ultrasound boleh dilakukan.

“Namun, kepada mereka yang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat kanser payudara, amat digalakkan untuk menjalani ujian saringan seawal usia 30 tahun,“ kata pakar tersebut.

Baca juga Kanser payudara, kolorektal, paru-paru paling kerap menyerang rakyat Malaysia

Mengenai jenis rawatan, ujar Dr Suziah, selain pembedahan dan kemoterapi, pihak hospital akan melakukan radioterapi, terapi endokrin dan bersasar.

Dalam satu-satu keadaan, kombinasi rawatan yang berlainan akan diberikan bergantung kepada tahap kanser pesakit.

Sindrom Lynch

Dalam pada itu, International Agency for Research on Cancer (2020) memaklumkan, terdapat 1,836 kes kanser ovari terbaharu di Malaysia.

Masalah itu lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berusia 60 hingga 65 tahun dengan lebih 50 peratus pesakit didiagnos berada pada tahap 3 atau 4.

Iklan

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, SMCV, Dr Wong Yen Shi menjelaskan, hanya 20 peratus daripada kes kanser ovari dikesan pada tahap awal.

kanser
GAMBAR hiasan: Sumber PEXELS

Ini kerana masih belum wujud saringan atau ujian yang dicipta untuk rawatan awal barah tersebut.

“Buat masa ini, imbasan transvaginal dan ujian penanda tumor CA 125 digunakan untuk mengesan kanser ovari, tetapi dengan limitasi.

“Teknik itu (imbasan transvaginal) boleh mengesan sebarang tisu bermasalah, tetapi terdapat sedikit kesukaran untuk membezakan tumor benigna (sel tidak berkanser) daripada tumor malignan (sel berkanser), manakala ujian penanda tumor CA 125 adalah sejenis ujian yang bagus digunakan untuk memantau rawatan, namun ia tidak bertujuan untuk mengesan kanser,“ jelasnya.

kanser
GAMBAR hiasan: Sumber PEXELS

Menyentuh tentang simptom kanser ovari, Dr Yen Shi menyenaraikan keadaan yang perlu dikenal pasti kaum Hawa iaitu seperti kembung dan ketidakselesaan perut, kekerapan membuang air kecil, sembelit, rasa cepat kenyang, penurunan berat badan, keletihan termasuk sakit belakang.

Menurutnya, kadangkala, kanser jenis tersebut boleh disalah anggap sebagai benigna tumor ovari, uterine fibroid, endometriosis dan sindrom prahaid.

Baca juga Tahap kanser ovari hanya diketahui selepas jalani pembedahan. Wanita kena peka dengan simptom!

Iklan

Pun demikian, seseorang wanita perlu berwaspada jika ahli famili mempunyai sejarah kanser payudara, ovari atau usus termasuk sindrom kanser yang boleh diwarisi keluarga seperti gen BRCA dan sindrom Lynch seperti peningkatan usia serta obesiti.

kanser
GAMBAR hiasan: Sumber PEXELS

Faktor risiko lain katanya, adalah seperti merokok, pendedahan kepada asbestos, wanita yang menjalani terapi penggantian hormon, golongan yang tidak pernah mengandung dan melahirkan anak pada usia lewat, datang haid awal, di samping lambat menopaus.

“Jadikan saringan diabetes, kolesterol, kesihatan jantung, payudara dan serviks sebagai rutin supaya anda tahu keadaan diri sendiri. Amalkan pemakanan sihat dan selalulah bersenam. Jaga juga keadaan mental, dapatkan tidur secukupnya dan kawal tekanan,“ saran beliau.

Baca juga Haid lewat, senggugut teruk? Jangan keliru antara endometriosis dan Sindrom Ovari Polisistik

Kesimpulannya, peningkatan statistik sama ada kanser payudara dan ovari adalah petanda penting untuk kaum Hawa untuk sentiasa mengutamakan kesihatan.

kanser
GAMBAR hiasan: Sumber PEXELS

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi