ISU eksploitasi kanak-kanak menggunakan internet boleh membarah memandangkan kanak-kanak dan remaja hari ini membesar dengan gajet yang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk kandungan tidak sesuai dalam talian.

‘Sajian internet‘ saban hari dibimbangi memberi implikasi negatif kepada minda dan rohani mereka, malah situasi tersebut turut membebankan ibu bapa yang bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan anak mereka daripada menjadi mangsa penjenayah siber.

Dalam hal tersebut, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memainkan peranan signifikan untuk membanteras jenayah siber termasuk melibatkan kanak-kanak.

Menerusi satu jawapan bertulis kepada Bernama, SKMM memaklumkan, dalam mewujudkan persekitaran digital yang selamat untuk golongan itu dalam talian, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah merangka satu Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara.

Baca juga Internet lemah guru, anak lelaki terpaksa PdPR di dalam kereta

Ia bagi memastikan mereka mendapat perlindungan jika terdapat pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi. Dari segi penguatkuasaan pula, SKMM sentiasa menjalin kerjasama baik dengan Polis Diraja Malaysia khususnya Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), KPWKM termasuk pihak Interpol (di peringkat antarabangsa).

 

“Selain itu, SKMM turut melaksanakan pemantapan platform advokasi dan kesedaran sedia ada seperti Klik Dengan Bijak (KDB) dan Malaysian ICT Volunteer (MIV),“ kata SKMM.

Mengenai bilangan laman web berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak yang disekat setakat ini, difahamkan antara tahun 2015 sehingga Julai tahun lalu, sejumlah 407 laman sudah diambil tindakan.

Berhubung dengan peruntukan undang-undang pula, Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Kanun Keseksaan adalah dirujuk.

Dalam pada itu, SKMM menegaskan, langkah mengawal selia akses terhadap sesuatu kandungan dalam internet bukan menjadi tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata, tetapi melibatkan semua pihak termasuk ibu bapa.

Oleh yang demikian, suruhanjaya itu menggerakkan inisiatif berbentuk kesedaran di seluruh negara seperti dengan KDB dan MIV bagi mendidik masyarakat mengamalkan kawalan kendiri, menggunakan internet secara berhemah dan memupuk budaya penggunaan media baharu secara bijaksana.

Baca juga Simpan cita-cita mahu menjadi pakar psikologi, Che Puan Sarimah ligat perjuangkan isu kesihatan mental

Inisiatif Parental Control Tools turut digerakkan dengan kerjasama Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) bagi menyaring kandungan yang diakses oleh keluarga dan anak-anak.

Kesan psikologi

Berkongsi pandangan, Pensyarah Kanan Kaunseling (Keluarga & Perkahwinan), Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Norhayati Mohd Noor berkata, naluri kanak-kanak yang suka kepada perkara yang menyeronokkan dan banyak pergerakan tingkah laku turut mendorong kesan negatif internet terhadap psikologi mereka.

Menurut Dr Norhayati, kanak-kanak ialah individu yang sentiasa menerima apa sahaja yang dilihat dan didengar dengan pancainderanya.

“Tahap kebolehan dan kemampuan kognitif menganalisis dan menapis maklumat yang diterima hasil daripada apa yang dilihat dan didengar oleh kanak-kanak juga masih rendah.

“Oleh itu, apa jua maklumat yang dipaparkan di media massa yang ada di internet, sudah pasti si cilik ini tidak boleh membezakan mana yang positif dan mana yang negatif tanpa bimbingan orang dewasa,” katanya.

Mengulas situasi kanak-kanak zaman kini yang lebih berisiko dan mudah untuk dipergunakan serta dieksploitasi dalam talian, Dr Norhayati mengakui kewujudan masalah berkenaan.

Beliau juga bersetuju bahawa sebahagian besar kehidupan kanak-kanak terancam dengan gajet dan internet. Malah, ujar beliau, persekitaran kehidupan golongan itu tidak kira di mana sahaja, waima ketika mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah pun dilakukan secara online.

Baca juga Mata merah, tinggi daripada manusia, pengamal perubatan dedah rakaman interaksi makhluk halus

“Kini, segala-galanya dalam talian. Kita boleh lihat, iklan dan apa saja drama serta media massa juga memaparkan seolah-olah kehidupan tidak sempurna tanpa gajet. Oleh yang demikian, gambaran dalam kognitif kanak-kanak hanya tertanam keseronokan hidup dengan gajet. Bagi mereka, tanpa gajet kehidupan ini tidak seronok dan tidak bermakna,“ jelasnya.

Berdasarkan pengalaman beliau sendiri ketika mengendalikan ketagihan kanak-kanak dalam sesi kaunseling, si kecil mempelajari sikap tantrum (pemarah) dan menangis yang melampau sebagai cara mahukan keinginan mereka terhadap gajet dipenuhi oleh ibu bapa.

“Hal demikian juga akan membentuk satu sikap yang berpanjangan iaitu pada satu masa, kanak-kanak ini akan menjadi remaja dan kemudian membesar sebagai orang dewasa yang tiada kemahiran mengawal diri, sekali gus menjadikan mereka seorang yang panas baran,“ katanya.

Perhalusi akta semula

Mengulas lanjut, Dr Norhayati berkata, kecenderungan seseorang menjadi mangsa eksploitasi sama ada seorang budak atau orang dewasa bergantung di mana dan siapa ibu bapa atau penjaga mereka.

“Seperti yang kita tahu, kanak-kanak ialah individu yang lemah dan mudah mendapat simpati daripada orang dewasa terutama dalam kalangan masyarakat Malaysia.

GAJET memang boleh melekakan dan ‘mendiamkan’ anak-anak daripada terus merengek, namun jika tidak dikawal sebaiknya, ia boleh memberi implikasi kurang baik kepada si kecil.

“Sering kali kita lihat ramai anak kecil sejak sekian lama dijadikan pengemis atau peminta sedekah, bahkan ramai ibu warga asing menggunakan anak-anak sebagai alat menagih simpati,“ katanya yang juga tidak menolak kemungkinan boleh tercetus pelbagai ‘aktiviti perniagaan‘ yang tidak sihat menggunakan kanak-kanak.

Antaranya yang membimbangkan adalah mungkin berlakunya transaksi menjual foto kanak-kanak kepada pelaku pornografi seperti yang sudah berlaku di luar negara.

“Perkara yang membimbangkan saya juga, ada individu perseorangan yang mencari sumber kewangan atas nama NGO menggunakan kanak-kanak dalam meraih belas. Golongan yang masih tidak dapat berfikir dengan baik itu juga boleh dijadikan duta iklan menjual alat-alat permainan yang tidak sihat,“ katanya.

Dalam pada itu, pensyarah berkenaan juga mengesyorkan agar Akta Kanak-kanak 2001 diperhalusi semula.

Iklan

“Perlu lihat semula bagaimana akta ini turut mampu melindungi dan menjaga keselamatan kanak-kanak, bukan sahaja dari segi keselamatan fizikal, tetapi dari aspek emosi dan mental terutama yang boleh menyebabkan masalah mental mereka terjejas teruk.

Baca juga Free Guy; apabila dunia permainan video menjadi realiti

“Pada masa sama, penguatkuasaan undang-undang ke atas ibu bapa yang mengabaikan keselamatan anak-anak mereka (dari segi emosi dan mental juga) seharusnya diambil kira sebagai pengabaian tanggungjawab,“ katanya.

Sementara itu, Pakar (Pelawat) Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Hospital Columbia Asia Iskandar Puteri, Dr Nor Rahidah Abd Rahim turut melontarkan pandangannya. Ujarnya, cara terbaik untuk menjaga keselamatan kanak-kanak ketika berada di alam maya adalah dengan keterlibatan ibu bapa.

“Mudah sahaja, ibu bapa sendiri perlu tetapkan peraturan yang jelas mengenai sesuatu perkara yang sesuai melibatkan pemaparan, bahasa, maklumat peribadi dan sebagainya dengan cara menerangkan kesan yang bakal berlaku sekiranya berkongsi informasi dengan orang luar,“ terangnya.

Berikut tiga peraturan yang mudah diikuti kanak-kanak dan penjaga ketika melayari internet:

  • Kawal maklumat peribadi seperti merahsiakan nama penuh, alamat, nombor telefon dan gambar.
  • Menjauhkan diri dengan orang yang tidak dikenali iaitu tidak memulakan interaksi dengan mereka.
  • Sentiasa memberi peluang kepada anak untuk berkongsi pengalaman dengan ibu bapa terutamanya melibatkan sesuatu yang membuatkan mereka rasa tidak selesa.

“Bukan itu sahaja, sebagai ibu bapa, sentiasalah berkomunikasi dengan anak-anak sehingga dapat memupuk hubungan saling percaya. Paling penting, bersungguh-sungguhlah dalam memantau semua aktiviti online mereka dan apa yang mereka sedang buat, ke mana mereka pergi dan dengan siapa mereka berkomunikasi, ” ujarnya.

Terpedaya! Anak sanggup tipu wang ibu RM5,000 untuk beli telefon untuk kekasih maya

SEORANG ibu, Asmara Irdina Watie Faizal, 40, meluahkan rasa kesal gara-gara terlalu memberi kebebasan kepada anak gadisnya terdedah dengan alam maya secara keterlaluan.

Menjelaskan lebih lanjut, konsultan di sebuah syarikat swasta di ibu kota itu berkata, disebabkan tidak mempunyai banyak masa bersama anak perempuan tunggal beliau yang berusia 13 tahun di rumah, hal yang tidak diinginkan oleh ibu bapa telah terjadi.

 

Iklan
IBU bapa atau penjaga dinasihatkan agar sentiasa memantau aktiviti anak-anak waima ketika mereka berada di dalam rumah.

“Salah saya juga kerana terlalu ikutkan kemahuannya membeli telefon bimbit atau gajet-gajet lain seperti perakam video, komputer dan lain-lain.

“Itu satu hal, tetapi yang membuatkan saya betul-betul kecewa, rupa-rupanya dalam diam, dia berhubungan dengan seorang lelaki yang sudah dianggapnya sebagai kekasih. Tak tahulah siapa lelaki itu dan apa latar belakangnya.

“Namun, apa yang pasti, anak saya memang angau dengannya. Sepanjang masa, dia akan terperap di dalam biliknya dengan memegang telefon,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Kongsi Asmara Irdina lagi, cahaya matanya kemudian telah meminta wang sebanyak RM5,000 dengan alasan mahu membeli basikal yang kini menjadi trend orang ramai beriadah.

Melihat situasi tu, beliau fikirkan anaknya mahu mentransisikan diri menjadi ‘orang baharu’ sempena tahun 2022, namun telahan tersebut meleset.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

“Saya gembira bila dia kata nak beli basikal. Bukan apa, saya rimas dan risau dengan sikap dia yang asyik terkurung di dalam bilik saja.

“Pun demikian, selang seminggu, sambil menangis, anak saya beritahu wang berkenaan telah diserahkan kepada kekasih mayanya yang mahu pinjam duit itu untuk beli telefon baharu.

“Anak saya tahu ia satu penipuan apabila lelaki itu sudah nyah aktifkan semua akaun laman sosialnya. Saya tidak kisah sangat duit saya ‘hangus’ macam itu sahaja, tetapi saya bersyukur kerana anak saya tidak diapa-apakan,” ujarnya.

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID