Kemurungan bukan ‘penyakit mengada-ngada’, ini implikasi buruk jika dibiarkan berterusan

BARU-BARU ini pelakon Ummi Nazeera mendedahkan dirinya pernah mengalami kemurungan sewaktu melanjutkan pengajian di Melbourne, Australia beberapa tahun lalu.

Siapa sangka, artis yang terlihat sentiasa tenang dan ceria pernah melalui detik-detik sukar seperti itu.

Beritahu Ummi, masalah berkenaan terjadi disebabkan tuntutannya sebagai seorang pelajar yang memerlukan pengorbanan berjauhan daripada insan tersayang.

Akibatnya, beliau berdepan dengan kesukaran untuk tidur.

“Disebabkan masalah yang saya hidapi itu, saya jumpa pakar terapi yang disediakan oleh pihak universiti. Pakar menasihatkan saya untuk meluahkan segala perasaan yang saya rasa dalam bentuk penulisan.

Kredit foto: Instagram Ummi Nazeera

“Alhamdulillah, setelah menjalani proses tersebut, ia membuatkan saya rasa begitu tenang. Jadi, menulis sangat membantu, selain daripada melakukan aktiviti senaman,” katanya dalam satu rancangan bual bicara.

Cuplikan rakaman video itu turut dimuat naik dalam laman sosial, TikTok @whitv3_malaysia.

Rata-rata warga maya bersetuju dengan apa yang diperkata dan dilakukan oleh pelakon popular dengan drama Rindu Kasih itu.

Berikut antara luahan-luahan pengguna media sosial, antaranya:

“Saya pun suka sangat menulis apa yang saya rasa sebab dah malas nak letak harapan untuk orang lain faham.”

“Sama macam saya, saya tak suka bercerita pada orang tetapi saya akan tulis baru rasa puas.”

Kredit foto: picjumbo.com

“Betul, kalau kemurungan terapi terbaik adalah menulis, luahkan apa yang ingin diperkatakan dan awak akan rasa tenang selepas itu.”

“Ya, betul, apabila saya alami kemurungan, saya banyak menulis dan meluahkan segala yang terpendam.”

“Itu yang saya lakukan apabila tidak dapat meluahkan pada orang lain. Saya luah dalam bentuk penulisan sambil menangis.”

TAK BOLEH PANDANG ENTENG

Baca juga: Ayuh fahami makna sebenar kemurungan, stres dan cemas. Ada beza tau!

Dalam pada itu, laman web perubatan, Mayo Clinic menjelasikan, kemurungan merupakan satu salah satu gangguan perasaan (mood) yang menyebabkan seseorang berasa sedih dan hilang minat secara berterusan.

Kredit foto: Pixabay

Ia akan mempengaruhi perasaan, tingkah laku dan berupaya membawa kepada pelbagai masalah emosi dan fizikal.

Paling merisaukan, kata Mayo Clinic, aktiviti harian seseorang juga boleh ‘rosak’ dan tergendala.

Kadangkala golongan berkenaan turut merasakan kehidupan yang dijalani tidak berbaloi.

SinarPlus kemudian merujuk penulisan American Psychiatric Association yang menegaskan bahawa kemurungan bukan satu perkara yang boleh dibuat main.

Kata sumber itu, seorang daripada 15 orang dewasa boleh berhadapan dengan krisis berkenaan.

Kredit foto: Hichem Deghmoum

Kaum wanita ialah kumpulan yang lebih cenderung untuk menghidapi kemurungan berbanding golongan lelaki.

Berdasarkan satu kajian, satu pertiga daripada kaum Hawa berpotensi menderita depresi dalam kehidupan mereka.

American Psyciatric Association turut berkongsi simptom gangguan kemurungan, berikut inti patinya:

i) Sering berasa sedih atau mengalami gangguan perasaan seperti tertekan.
ii) Hilang minat atau keseronokan terhadap sesuatu aktiviti yang pernah dilakukan sebelum ini.
iii) Perubahan selera makan atau penurunan berat badan.
iv) Mengalami masalah tidur atau terlalu banyak tidur.
v) Cepat hilang tenaga dan sering keletihan.
vi) Meningkatkan aktiviti fizikal tanpa tujuan seperti tidak boleh duduk diam, sering mundar-mandir, kerap menggerakkan tangan atau pertuturan menjadi perlahan.
vii) Merasakan diri seperti tidak berharga atau sering rasa bersalah.
viii) Sukar untuk berfikir, menumpukan perhatian atau membuat keputusan.
ix) Berfikir ke arah kematian dan memiliki perasaan untuk bunuh diri.

Lihat, kemurungan bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh kerana ia ada kaitan dengan nyawa.

Nasihat kami, sekiranya kalian ada kenalan yang menunjukkan gejala tersebut, segera bantu mereka untuk dapatkan rawatan lanjut.

Jangan ketawakan mereka atau anggap mereka mengada-ngada.

Baca juga: Tidak gembira ketika bercuti atau ketika menyanyi? Situasi itu adalah permulaan kepada kemurungan

Baca juga: Masalah peluh berlebihan (hiperhidrosis) boleh membuatkan seseorang stres dan kemurungan. Berikut tip terbaik yang boleh dilakukan pesakit

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi