BERDASARKAN statistik, wanita lebih berisiko untuk mengalami jangkitan saluran kencing ataupun Urinary Tract Infection (UTI) 30 kali ganda berbanding lelaki.

Jika masalah tersebut atau lebih dikenali dengan istilah kencing kotor berlaku ke atas wanita hamil, ia lebih berbahaya.

Kajian bertajuk UTI During Pregnancy yang diterbitkan oleh National Institutes of Health, Amerika Syarikat menyatakan, UTI biasanya berlaku gara-gara perubahan salur kencing dan imunologi tubuh ibu mengandung.

Kebanyakan UTI berlaku pada bawah saluran urinari iaitu pada bahagian uretra dan juga pundi kencing. UTI jenis itu dikenali sebagai cystitis.

Kredit foto: Sora Shimazaki

Cystitis merupakan kondisi yang berlaku apabila pundi kencing mengalami jangkitan yang menyebabkan rasa sakit atau pedih pada bahagian bawah abdomen.

Bagi membincangkan isu tersebut, SinarPlus mewawancara Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nor Elyana Noordin.

Jelas Dr Elyana, hormon ketika kehamilan memicu kepada penyakit tersebut kerana pada ketika itu sistem kencing akan menjadi lemah dan membuatkan urin tertakung di dalam saluran ureter.

Kredit foto: Sora Shimazaki

“Hormon progesteron yang dirembeskan menyebabkan saluran ureter tidak berfungsi dengan baik. Saiz kandungan juga antara faktor berlakunya jangkitan berkenaan.

“Apabila bayi semakin membesar di dalam perut ibunya, semakin tinggi peluang si ibu menerima jangkitan kerana saiz yang besar telah menekan saluran ureter menjadi lebih lemah dan ruang pundi kencing juga menjadi terhad,“ katanya.

Jangkitan merebak

Mengulas lanjut, Dr Nor Elyana berkata, petanda ibu hamil yang mengalami kencing kotor sama seperti wanita normal.

Kredit foto: turek

“Simptom biasa yang akan mereka lalui adalah kerap membuang air kecil, sakit pada bahagian ari-ari, berasa sakit ketika kencing dan air kencing berbau,“ jelasnya.

Selain itu, terdapat gejala lain yang disenaraikan oleh American Pregnancy Association iaitu:

i) Wujudnya perasaan terdesak untuk mengeluarkan urin.

ii) Darah atau lendir dalam air kencing.

iii) Sakit semasa melakukan hubungan seksual.

iv) Menggigil, demam, berpeluh dan air kencing mengalir keluar tanpa disedari.

v) Terjaga daripada tidur semata-mata keinginan untuk kencing.

vi) Perubahan kuantiti urin sama ada lebih atau kurang.

Kredit foto: Polina Tankilevitch

Dr Elyana memberitahu, kadangkala wanita hamil tidak berdepan dengan sebarang gejala dan hal itu amat dibimbangi.

“Jika tiada (gejala), masalah itu biasanya akan ditemui ketika pemeriksaan sampel air kencing,“ jelasnya.

SinarPlus kemudian merujuk penyelidikan berjudul Urinary Tract Infection in Pregnancy terbitan NIH.

Kajian itu antara lain menerangkan bakteriuria (kehadiran bakteria dalam air kencing) jenis asimtomatik (ASB) sering menyerang mereka yang tidak bergejala.

Kredit foto: Martin Lopez

“ASB mencatatkan lebih 100,000 organisma/mililiter. Jika tidak dirawat semasa kehamilan, kadar UTI boleh mencecah hingga 25 peratus,“ kata NIH.

Baca juga: “Terduduk dibuatnya, buah pinggang rosak tahap 2, air kencing berdarah”- Dr Say nasihat buat pemeriksaan

Ditanya apakah implikasi yang bakal diterima, Dr Elyana berkata, jangkitan kuman pada sistem perkumuhan si ibu boleh menjadi serius jika tidak dirawat dengan segera.

Seandainya dilengahkan, nyawa ibu dan anak dalam bahaya. Antaranya boleh menyebabkan jangkitan sistemik (penyakit yang menjejaskan beberapa organ lain dan tisu).

Iklan

Pakar itu menambah, apabila kuman telah merebak ke organ lain seperti buah pinggang dan hati, wanita hamil akan menderita sakit belakang, menggigil, demam dan muntah-muntah.

Kredit foto: Andrea Piacquadio

“Ia juga boleh mengakibatkan komplikasi yang lebih serius seperti kelahiran bayi pramatang, pendarahan termasuk kematian bayi ketika dalam kandungan dan si ibu boleh meninggal dunia,“ ujarnya.

Dari aspek rawatan, Dr Elyana memberitahu, lazimnya pesakit akan dibekalkan dengan antibiotik untuk menghentikan perkembangan mikroorganisma di dalam tubuh.

“Bagaimanapun, itu merupakan salah satu cara perawatan yang boleh kami berikan, namun ibu hamil juga perlu memainkan peranan sama untuk mencegah dan memulihkan dari daripada dijangkiti,“ katanya.

Dalam pada itu, American Pregnancy Association memberi saranan seperti berikut:

Kredit foto: Pixabay

i) Minum sekurang-kurangnya lapan gelas air setiap hari dan elakkan minuman berkafein serta bergula.

ii) Mewujudkan tabiat membuang air kecil sebaik sahaja merasakan keinginan untuk membuang air kecil.

iii) Selepas membuang air kecil atau besar, sebaik-baiknya lap kemaluan. Pastikan anda mengelap dari hadapan ke belakang.

Iklan

iv) Elakkan daripada melakukan persetubuhan semasa UTI.

v)Tukar seluar dalam setiap hari dan elakkan memakai seluar ketat.

vi) Jangan berendam di dalam tab mandi lebih dari 30 minit atau lebih dua kali sehari.

Baca juga: Kencing manis: Ibu hamil kena lebih hati-hati elak air ketuban berlebihan

Baca juga: Kencing kotor pada wanita hamil bahaya! Ketahui punca, cara rawat yang betul

Kredit foto utama: Sora Shimazaki 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan