PERNAH tak pembaca SinarPlus mendengar sindrom mata kering dan ia kononnya disebabkan kepada pakai contact lens dan tonton televisyen (TV)?

Mungkin ramai anggap hal itu merupakan sesuatu yang normal dan tidak perlu dirisaukan.

Pakar Oftalmologi, Hospital Mata JEC Kedoya, Indonesia Dr Anna Nur Utami mempunyai jawapan tentang pelbagai soalan mengenai sindrom berkenaan.

Kata Dr Anna, masalah mata kering atau keratoconjunctivitis boleh terjadi kepada semua orang tidak mengira jantina, peringkat umur dan latar belakang.

"Dalam hal ini, ingin saya kongsikan bahawa air mata sangat penting untuk mengekalkan kesihatan mata supaya penglihatan lebih jelas.

"Apabila mata tidak menerima pelinciran yang cukup daripada air mata, maka sindrom mata kering boleh terjadi," katanya.

Bagaimanapun, selain disebabkan oleh penghasilan air mata yang berkurangan, Dr Anna turut menyenaraikan beberapa punca lain. Antaranya seperti:

1. Umur

-Umur memang memberi kesan kepada masalah mata. Disebabkan itu warga emas dikatakan lebih terdedah kepada sindrom mata kering.

2. Penyakit tertentu

- Diabetes, penyakit sistem lupus, gangguan hormon tiroid dan kekurangan vitamin A boleh menyebabkan seseorang mengalami sindrom mata kering.

Baca juga Tidak boleh niat menunjuk-nunjuk, menyerupai mata binatang berikut pemakaian kanta lekap dalam Islam

3. Pengambilan ubat-ubatan tertentu

- Pengambilan ubat-ubatan seperti antidepresi, hipertensi, jerawat, penyakit Parkinson atau ubat terapi penggantian hormon boleh menyebabkan sindrom mata kering.

4. Penggunaan contact lens

- Penggunaan yang kerap dan tidak bersih boleh menyebabkan berlakunya sindrom itu. Tanggalkan kanta lekap setiap enam hingga lapan jam selepas penggunaan.

RAWATAN

Persoalannya, bolehkah masalah itu dapat diatasi?

MyHealth dalam artikelnya berkongsikan tip penjagaan diri tertentu di rumah yang mungkin boleh membantu. Antaranya:

i) Humidifier membantu melembabkan udara persekitaran.
-Dengan lebih kelembapan dalam udara, kadar penyejatan air mata akan lebih perlahan dan mata akan jadi lebih selesa.

ii) Penyaman udara akan mengurangkan kelembapan udara.
-Elakkan pergerakan udara yang berlebihan dengan mengurangkan kelajuan kipas siling atau dinding.
-Jumlah debu atau zarah lain dalam udara yang banyak boleh memburukkan lagi gejala mata kering.

iii) Tuam panas dan urut kelopak mata menggunakan syampu bayi dapat membantu menjadikan lapisan lipid lebih stabil dan tebal.
- Pendekatan ini akan membantu jika seseorang mengalami masalah kelenjar meibomian disfungsi, rosacea atau blepharitis.
- Haba daripada tuam panas akan memanaskan minyak dalam kelenjar meibomian dan ini memudahkan pengaliran minyak untuk keluar.
- Sementara, proses urutan pula membantu mengeluarkan minyak daripada kelenjar.
- Teknik skrub pula dapat mengurangkan bilangan bakteria yang memecahkan minyak.

Ujar MyHealth lagi, jika mata kering terjadi terutamanya semasa membaca atau menonton TV, kita perlu merehatkan mata dengan menutup dan berkedip untuk membolehkan organ itu lembap dan selesa.

"Tutup mata selama 10 saat bagi setiap lima hingga 10 minit akan meningkatkan keselesaan.

"Mengambil minyak ikan (atau lain-lain sumber yang mengandungi asid lemak omega-3 yang berkualiti tinggi) setiap hari juga boleh membantu dalam mengurangkan gejala mata kering," ujar portal kesihatan berkenaan.

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI