BAGI menjamin kualiti makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) akan sentiasa memastikan keberkesanan sistem kawalan makanan berada di landasan yang betul.

BKMM juga akan memastikan semua makanan yang dipasarkan di pasar raya terjamin kualitinya termasuk produk yang dieksport. Ia selaras dengan objektif utama BKMM
untuk melindungi orang ramai daripada bahaya kesihatan dan penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan
makanan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika Program Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan memberitahu, BKMM bekerjasama rapat
dengan syarikat p-hailing seperti GrabFood, FoodPanda dan ShopeeFood untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengusaha yang disenaraikan dalam aplikasi mereka untuk menjaga kualiti makanan supaya tidak tercemar ketika penyediaan dan penghantaran.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Tengah) menyampaikan sijil kepada wakil syarikat penghantaran makanan dalam program Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2022.

Katanya, pandemik Covid-19 menyebabkan mereka yang bekerja dari rumah menjalankan perniagaan ‘home based’ berikutan banyak permintaan makanan di pelbagai platform talian.

“Kawalan kualiti makanan penting untuk memastikan Keluarga Malaysia mendapat makanan yang selamat.

“BKMM juga akan sentiasa mengawal dan memantau segala produk makanan yang dijual di atas talian termasuk makanan proses yang diimport,” katanya dalam sidang media Program Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan
di Hotel Sama-Sama Sepang KLIA, pada Selasa.

Menurut Khairy, ujian turut dijalankan terhadap kualiti makanan untuk memastikan keselamatannya terjamin.

Jelasnya, jika terdapat sebarang aduan daripada pelanggan atau tidak melepasi syarat piawaian yang ditetapkan, BKMM akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memastikan tiada lagi penjualan dilakukan pengusaha tersebut.

Mengulas lanjut, pengusaha makanan di rumah turut digalakkan mendaftar perniagaan mereka di bawah KKM.

Permohonan juga perlulah mengikut kriteria yang ditetapkan dan pengusaha akan disenaraikan dalam laman web kementerian
apabila semuanya melepasi piawaian.

Langkah itu katanya, untuk memastikan kualiti makanan yang disediakan terutama dari segi penjagaan suhu dan penyimpanan
dilakukan dengan selamat.

“Bagaimanapun, buat masa ini pendaftaran tersebut tidak diwajibkan tetapi peniaga digalakkan untuk mendaftar,” jelasnya.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI

Artikel Menarik