MASALAH kulit seperti kutil sudah menjadi perkara yang bukan asing lagi.

Kadang-kadang kita lihat leher seseorang penuh dengan kutil. Ada yang tak kisah dan ada yang kisah.

Pun demikian, rata-rata kita akan menganggap hal itu boleh mengganggu penampilan diri dan pada masa sama, hilang keyakinan untuk bersua muka dengan orang ramai.

Jika anda selama ini merasakan masalah itu tidak boleh diselesaikan, pandangan tersebut silap.

Baca juga Pening kepala kulit kaki banyak parut! Guna lima bahan semula jadi ini untuk merawatnya

Bagi mengulas lebih lanjut mengenainya, Pengamal Perubatan Am, Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia, Dr Zubaidi Ahmad baru-baru ini ada berkongsi informasi lengkap mengenai kutil di laman Facebooknya yang sarat dengan ilmu.

Ujar Dr Zubaidi, kutil merupakan sejenis tumbuhan atau lebihan daging kecil yang tergantung pada kulit. Dalam istilah perubatan, ia dikenali sebagai acrochordons atau nama yang biasa digunakan ialah skin tags.

“Kutil kerap muncul di kawasan badan yang mana pakaian cenderung bergesel dengan kulit seperti leher, ketiak, lipatan pangkal peha dan di bawah payudara. Kutil boleh tumbuh pada sesiapa sahaja terutamanya orang dewasa pertengahan umur atau individu obes,” katanya.

Ungkap pegawai perubatan itu, ia mungkin boleh menjejaskan penampilan, namun kewujudannya tidaklah membahaya dan menyebabkan kegatalan.

Terdapat beberapa sebab timbulnya kutil pada badan seseorang. Antaranya:

i. Genetik
ii. Geselan antara kulit
iii. Perubahan hormon
iv. Obesiti
v. Pesakit diabetes (insulin boleh sebabkan masalah kutil)

SEBABKAN BARAH?

Dalam pada itu, terdapat juga persoalan yang ditimbulkan. Adakah kutil boleh sebabkan kanser?

Baca juga Minyak zaitun dapat kurangkan risiko kematian akibat penyakit kronik. Berikut manfaat lain penggunaan

Menjelaskannya, Dr Zubaidi berkata, kebanyakan kes kutil merupakan masalah normal dan tidak boleh menyebabkan barah kulit.

“Kadangkala kerengsaan berlaku disebabkan geselan antara pakaian, perhiasan dan kulit lain.

“Namun, perhatian sewajarnya perlu diberikan jika ketumbuhan kulit seperti ketuat terjadi pada alat kelamin (genital warts).

“Ketumbuhan itu mungkin disebabkan jangkitan HPV, perlu buat pemeriksaan lanjut dan vaksinasi akan diberikan kerana ia berisiko besar menyebabkan kanser servik terhadap wanita,” terangnya lagi.

Secara umumnya, masalah kulit seakan kutil kelamin boleh disebabkan pelbagai perkara. Antaranya:

i. Variasi kulit yang normal.
ii. Jangkitan virus HPV.
iii. Tindak balas alahan.
iv. Jangkitan kelamin seperti Herpes simplex atau sifilis.

Anda tidak pasti ketumbuhan pada kulit normal atau disebabkan jangkitan? SinarPlus sarankan anda segera dapatkan rawatan doktor.

Iklan

PEMBEDAHAN KECIL

Dalam perkongsian yang sama, jelas beliau, dalam sesetengah kes kutil boleh hilang dengan sendiri.

Namun, jika ia tidak hilang dan boleh menganggu keyakinan diri seseorang, boleh juga membuang kutil menerusi pembedahan kecil yang dilakukan doktor.

“Selain itu, krim sapuan untuk menghilangkan kutil juga boleh didapatkan di farmasi.

“Elak membuang kutil menggunakan rambut, gunting dan pisau kerana boleh menyebabkan kecederaan dan pendarahan,” pesannya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

ANEKDOT

ANTARA pendekatan untuk mengurangkan faktor risiko dan memastikan kesihatan kulit yang baik. Berikut adalah perinciannya:

Iklan

1. Mengambil makanan yang rendah lemak tepu dan kalori.

2. Bersenam secara sederhana sekurang-kurangnya 30 minit sehari iaitu lima hari seminggu.

3. Pastikan semua lipatan kulit berada dalam keadaan kering untuk mengelakkan geseran.

4. Keringkan badan sepenuhnya selepas mandi. Sapukan bedak ke lipatan kulit seperti ketiak yang cenderung memerangkap kelembapan.

5. Jangan memakai pakaian atau perhiasan yang merangsangkan geseran pada kulit anda. Pilih kain lembut seperti kapas dan bukannya nilon atau spandeks.

Sumber Pengamal Perubatan Am, Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia, Dr Zubaidi Ahmad

Foto CANVA