Lelaki tak subur 2 kali ganda berisiko hidap kanser payudara. Komplikasi dialami lebih teruk berbanding wanita.

APABILA berbicara mengenai kanser payudara, secara automatik penyakit berbahaya itu dikaitkan dengan wanita.

Namun, pandangan tersebut tidak tepat kerana kaum Adam turut tidak terlepas menghidapnya.

Ya, benar, lelaki sama sekali tidak boleh menyusukan anak. Namun payudara mereka juga mempunyai tisu persis wanita. Antaranya seperti tisu gentian (fibrous tissue), tisu lemak, puting susu, saluran yang membawa susu ke puting dan kelenjar susu.

Disebabkan hormon di dalam badan lelaki telah menyekat pertumbuhan, maka tisu payudara mereka tidak berubah. Pun demikian, golongan berkenaan masih boleh didiagnosis dengan kanser buah dada dan mungkin boleh berada pada tahap yang lebih serius, kata laman web www.breastcanser.org.

Menurut American Cancer Society (ACS) pula, krisis kesihatan itu memang jarang berlaku iaitu mencecah kurang 1 peratus.

Kredit foto: freestocks.org

Di Amerika Syarikat, dengan populasi sekitar 330 juta penduduk, kira-kira 2,350 kes baharu kanser payudara invasif telah didiagnosis pada lelaki. Daripada angka itu, sebanyak 440 orang dilaporkan telah meninggal dunia pada tahun 2015.

Sementara itu, di United Kingdom, seramai 350 lelaki dikesan mempunyai permasalahan sama pada setiap tahun. Di Australia pula, 150 orang dikesan dengan rata-ratanya berumur 50 tahun ke atas.

Secara global, kanser payudara lelaki biasanya dialami oleh mereka dalam lingkungan usia 60 hingga 70 tahun.

SinarPlus turut mengetengahkan topik berkenaan dalam program DNA bertajuk Lelaki Pun Ada Kanser Payudara Juga? baru-baru ini dengan menjemput Pakar Bedah Payudara, Hospital Pakar An-Nur, Prof Dr Norlia Abdullah sebagai panel.

Kredit foto: Miguel Á. Padriñán

Menyentuh tentang senario di Malaysia, beritahu Dr Norlia, Malaysia mencatatkan lebih kurang 6,000 kes kanser payudara pada setiap tahun.

“Seramai 60 orang terdiri daripada pesakit lelaki.

“Benar, ia bukanlah jumlah yang besar jika dibandingkan dengan statistik kanser prostat, tetapi barah payudara dalam kalangan mereka perlu diberi perhatian sewajarnya juga,” katanya.

Mutasi gen & sindrom Klinefelter

Dalam wawancara yang berlangsung selama 30 minit itu, pakar berkenaan menjelaskan, kewujudan kanser tersebut adalah berpunca daripada peningkatan hormon wanita di dalam tubuh badan lelaki.

Kredit foto: Ivan Samkov

“Wanita ada hormon lelaki dan lelaki juga ada hormon wanita, tetapi dengan kuantiti yang sedikit. Namun, apabila lelaki sudah memasuki fasa andropause (keadaan pengurangan hormon lelaki), maka akan berlakunya peningkatan pengeluaran hormon estrogen,” jelasnya.

Dalam pada itu, ACS memberitahu, masalah itu juga boleh tercetus akibat daripada perubahan mutasi gen berdasarkan dua kategori. Berikut huraiannya:

i) Mutasi gen yang sedia ada
Kebanyakan kanser payudara lelaki berlaku bukan disebabkan mewarisi gen daripada orang tua, tetapi peratusan kecil menunjukkan ia berlaku kerana pendedahan kepada sinaran.

ii) Mutasi gen yang diwarisi
Sekiranya golongan berkenaan memiliki salasilah keluarga menghidap kanser payudara, maka peratusan untuk hidap barah tersebut adalah tinggi.

Kredit foto: Martin Lopez

Kepada mereka yang mewarisi barah daripada keturunan, biasanya akan memiliki gen BRCA1 dan BRCA2, kata ACS. Kaum lelaki yang membawa gen itu berhadapan dengan risiko tinggi untuk hidap kanser buah dada dan mungkin beberapa barah lain seperti prostat dan pankreas.

Tidak hanya itu, macmillan.org.uk menyatakan sindrom Klinefelter juga antara sebab yang terkait.

Biasanya, lelaki dilahirkan dengan satu kromosom X dan satu kromosom Y (XY), sementara perempuan mempunyai dua kromosom X (XX). Pun demikian, lelaki dengan sindrom Klinefelter mempunyai satu kromosom Y dan dua atau lebih kromosom X (XXY atau XXXY).

Antara gejala Klinefelter mungkin termasuk:

  • Mengalami peningkatan tisu payudara.
  • Mempunyai tahap testosteron yang lebih rendah
  • Mempunyai zakar yang lebih kecil dan tidak subur.
Kredit foto: Tima Miroshnichenko

“Kebanyakan lelaki, risiko seumur hidup untuk menghidap kanser payudara adalah kurang daripada satu dalam 1,000, namun mereka yang ada sindrom Klinefelter, ia (risiko) lebih hampir kepada 1 dalam 25 orang,” kata mereka.

Menyentuh soal kesuburan, penyelidikan terbaharu pada tahun 2021 menyaksikan lelaki yang tidak subur mempunyai dua kali ganda risiko terkena kanser payudara.

Saintis, Michael Jones dari The Institute of Cancer Research, London, UK berkata, sebabnya masih kurang jelas dan terdapat keperluan untuk menyiasat lebih lanjut mengenai peranan asas hormon kesuburan dalam risiko barah payudara pada lelaki.

Bukan alasan itu sahaja, macmillan.org.uk menambah, terdedah kepada radiasi, misalnya kepada lelaki yang telah menjalani radioterapi untuk merawat limfoma pada usia masih muda juga memberi impak kepada kanser tersebut.

Kredit foto : Pixabay

“Mereka yang bekerja dalam persekitaran panas seperti di relau letupan atau di kilang sebenarnya berupaya meningkatkan kemungkinan (risiko) kerana haba yang panas akan merosakkan buah zakar.

“Beberapa kajian juga telah mendedahkan, pendedahan dalam jangka panjang kepada petrol dan asap ekzos turut memicu kepada kanser payudara pada lelaki,” kata mereka.

Bagaimana untuk mengenal pasti seseorang bakal menjadi penghidap kanser jenis itu? Menjawab pertanyaan tersebut, Dr Norlia berkata, ia boleh dikesan dengan kewujudan ketulan yang tidak sakit.

Baca juga: SofeaRose dedikasi koleksi Carissa Leilani yang menawan untuk pejuang kanser payudara

 

“Tandanya sama sahaja seperti yang dilalui oleh para wanita cuma bagi lelaki, mereka lebih mudah untuk mengesan ketumbuhan itu kerana payudara mereka kecil berbanding wanita,” jelasnya.

Selain itu, lelehan pada puting merupakan salah satu petanda. Seandainya cecair tersebut berwarna gelap atau merah tua dan bukannya jernih, ia merupakan simptom barah yang berada pada tahap serius

Kata Dr Norlia, jenis kanser payudara yang sering terjadi kepada kaum Adam adalah Ductal carcinoma atau nama lainnya, Invasive carcinoma of no special type iaitu sel kanser bermula pada saluran, kemudiannya tumbuh di luar saluran dan merebak ke bahagian lain tisu payudara.

Kaedah sama 

SinarPlus turut mewawancara Pensyarah dan Pakar Perunding Patologi (Payudara dan Endokrin), Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Wan Faiziah Wan Abdul Rahman.

Kredit foto: Polina Kovaleva

Sebelum mengulas mengenai rawatan kanser payudara dalam kalangan lelaki, Dr Wan Faiziah menambah faktor tentang sebab-sebab yang boleh mendorong kepada penyakit yang ditakuti itu.

“Pengambilan karsinogen (agen penyebab kanser) juga salah satu aspek yang turut menyumbang. Antara contoh produk yang ada kasinogen ialah rokok, barangan kosmetik seperti sesetengah ubat jerawat dan makanan seperti daging proses. Pengambilan bahan-bahan tersebut boleh merosakkan DNA seterusnya menyebabkan perubahan gen seseorang,” katanya.

Kredit foto: Polina Kovaleva

Menjawab pertanyaan asal, beritahu Dr Wan Faiziah, cara untuk merawat barah payudara lelaki dan wanita adalah sama. Namun, ia bergantung kepada tahap ia mula dikesan.

“Jika kanser itu diketahui awal, doktor akan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tersebut. Dalam prinsip perubatan, apa jua benda (ketumbuhan) yang tidak patut ada pada tubuh perlu dilenyapkan dengan segera.

“Bagaimanapun, sekiranya barah dikesan lewat dan telah merebak ke bahagian lain, rawatan yang akan dilakukan adalah dengan membuang keseluruhan payudara,” ujarnya.

Iklan
Kredit foto: RODNAE Productions

Seandainya, sudah berada pada paras berbahaya, kemoterapi, radioterapi atau rawatan hormon akan disyorkan pengamal perubatan.

Pun demikian, sekiranya hasil pemeriksaan tisu kanser menunjukkan ekspresi beberapa reseptor contohnya estrogen, maka penghidap akan diberi ubat antiestrogen.

Seperti penyakit-penyakit lain, kanser payudara dapat dicegah atau dikurangkan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Berikut saranan Dr Wan Faiziah:

i) Amalan pemakanan sihat: Elak memakan makanan yang mengandungi karsinogen seperti daging proses, minuman beralkohol, tembakau dan makanan yang mengandungi gula yang tinggi.

Kredit foto: Dana Tentis

ii) Kekal aktif: Digalakkan melakukan senaman dengan kerap untuk menguatkan sel badan supaya sistem pertahanan tubuh dapat melawan kasinogen anasir luar yang memasuki tubuh termasuk karsinogen

iii) Elak kegemukan: Obesiti merupakan sejenis penyakit keradangan seluruh badan. Lemak berupaya untuk meningkatkan penghasilan hormon estrogen di dalam tubuh. Paras estrogen yang teratur boleh buat kita cantik, namun estrogen berlebihan terutamanya pada lelaki turut menyumbang ke arah kanser payudara.

Baca juga: Duit boleh cari, ibu inilah satu-satunya- Chef Wan tolak tawaran, kanser Cik Ani makin merebak

#KesResponden 

Ketulan sebesar duit syiling 50 sen tumbuh pada payudara Mohd Zullaimy

MOHD Zullaimy Muhammad antara salah seorang lelaki di Malaysia yang disahkan menghidap kanser payudara.

Meskipun permulaan kepada detik ngeri itu berlaku pada tahun 2003, kejadian tersebut masih terpahat dalam ingatannya.

“Saya masih ingat dengan jelas ketulan kecil yang tumbuh pada payudara saya sebelah kiri. Namun, saya membiarkan sahaja benjolan itu kerana ia tidak menyakitkan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Pun begitu, dua tahun kemudian, beliau menyedari ketulan tersebut mulai membesar secara agresif hingga menjadi sebesar duit syiling 50 sen.

Iklan
Kredit foto: cottonbro studio

“Sebelum ini, saya tak rasa sakit, tapi selepas ia membesar, kesakitannya tidak terperi. Apabila ketulan itu bersentuhan dengan baju, saya tak tahu bagaimana mahu menahan rasa nyeri itu,” katanya.

Melihat kondisi kesihatannya yang semakin teruk, Mohd Zullaimy terus melakukan pemeriksaan lanjut di sebuah klinik swasta di Kuala Lumpur.

Sebagai permulaan, pembedahan kecil dicadangkan oleh doktor. Ia bertujuan untuk mengambil sampel tisu ketulan pada payudara sebelum dihantar ke makmal untuk dianalisis.

“Setelah dua minggu menanti keputusan, saya terperanjat besar apabila disahkan menghidap kanser payudara tahap 3. Masakan tidak, selalunya wanita yang dapat kanser jenis ini, tetapi saya sebagai lelaki yang ‘kena’.

Kredit foto:Tima Miroshnichenko

“Saya betul-betul terduduk sehinggakan terfikir adakah saya mampu untuk hidup lama seperti orang lain?,” ceritanya yang kesal tidak bertindak awal dan pernah berasa malu lantaran menghidap penyakit yang sering dikaitkan dengan wanita itu.

Pun demikian, atas sokongan moral keluarga dan kenalan terdekat, Mohd Zullaimy kembali bersemangat untuk mendapatkan rawatan susulan dengan harapan akan sembuh seperti sediakala.

“Saya tak menunggu lama, pada tahun yang sama juga, saya bersetuju untuk menjalani pembedahan major di sebuah hospital swasta. Menerusi prosedur itu, segala lemak yang ada pada bahagian tengah dada hingga bawah ketiak dibuang. Usai pembedahan saya menjalani kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur sebanyak enam kali selama enam bulan,” kata bapa kepada tujuh anak itu.

Rawatan untuk membunuh sel kanser tersebut tidak terhenti di situ. Selang sebulan setelah habis kemoterapi, beliau menjalani radioterapi selama dua minggu pada setiap hari.

“Alhamdulillah, dengan berkat doa dan pertolongan daripada-NYA, saya kini telah sembuh sepenuhnya. Saya bersyukur kerana ALLAH memberi peluang untuk saya teruskan kehidupan bersama keluarga tersayang,” ujarnya.

Baca juga:Mulanya sangka bahu terkehel, rupanya lelaki ini hidap kanser tulang

Baca juga: Seorang daripada 19 orang wanita di Malaysia dijangka hidap kanser payudara

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi