SETIAP kali bulan Ramadan, masing-masing menyimpan satu cita-cita yang menggunung. Tidak lain tidak bukan adalah mahu kurus dan langsing.

“Tahun 2020 dan 2021, matlamat itu gagal. Jadi bulan puasa tahun ini, aku nekad untuk turun sekurang-kurang 10 kilogram. Selain itu, selepas saja berbuka puasa, aku akan ke gimnasium.”

Itu antara kata-kata penuh semangat rakan penulis ketika kami berbual di corong telefon baru-baru ini. Penulis hanya tertawa kecil kerana kenyataannya itu ibarat hangat-hangat tahi ayam. Sejak dari kampus lagi, beliau ‘melafazkan ikrar’ serupa!

Bukan mahu memperlekehkan, tetapi objektif tersebut tidak pernah tercapai. Dengan nada sedih, beliau memberitahu tentang kegagalannya sekali lagi. Persoalannya, adakah cara ‘berdiet’ kawan penulis itu salah atau terdapat sebab lain?

Bagi mendapatkan kepastian, SinarPlus menemui Pakar Perubatan Keluarga yang juga Pengarah Perubatan Klinik Temasya di Shah Alam, Selangor, Dr Ayu Hasida Hassan.

Terlebih dahulu, ujar Dr Ayu Hasida, berpuasa pada bulan Ramadan secara automatik akan mengubah corak pemakanan dan pengambilan air seseorang bermula daripada sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam kepada bersahur dan berbuka puasa sahaja.

Baca juga Pesakit diabetes kena dapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa, elak risiko koma, sawan dan pengsan

“Secara fisiologinya, apabila seseorang berpuasa, badan sememangnya akan membakar semua kalori yang telah dimakan. Apabila sumber makanan telah habis, tubuh akan beralih ke glikogen yang tersimpan di dalam organ hati dan otot badan untuk dipecah-pecahkan menjadi sumber tenaga, kemudian baru memasuki fasa lipolisis (pecahan lemak).

“Memang benar, seharusnya berpuasa boleh mendorong kita mengurangkan berat badan berlebihan, tetapi kena ingat, ia bergantung juga pada kualiti dan kuantiti makanan yang dimakan sewaktu berbuka puasa dan bersahur,” jelasnya.

Tanggapan salah

Memperincikan lebih lanjut, Dr Ayu Hasida berkata, ironinya kenaikan berat badan semasa bulan Ramadan sering kali terjadi kepada sesiapapun.

“Antara sebab berlakunya peningkatan (berat badan) itu adalah berpunca daripada pengambilan makanan yang tinggi kalori seperti terlebih makan nasi beriani, nasi yang berminyak dan makanan berlemak lain.

“Ketika berpuasa juga, jarak masa yang panjang untuk makan selalunya akan menyebabkan tahap kelaparan meningkat. Kesannya, kita akan cenderung membeli makanan mengikut hawa nafsu dan berbuka secara berlebihan,” ujarnya.

Pada masa sama, pakar itu mengambil kesempatan untuk memperbetulkan kembali satu persepsi yang sering dipegang kepada mereka yang mahu kurus.

“Pandangan yang mengatakan bahawa apabila berpuasa sepanjang hari, kita selayaknya boleh makan secara keterlaluan untuk menggantikan jumlah makanan ketika berpuasa selama berjam-jama adalah salah sebenarnya.

“Dengan minum minuman manis termasuk makan makanan berlemak, bergoreng dan makanan bergaram memang akan menyumbang penambahan berat badan yang ketara, walaupun kita berandaian, boleh makan apa saja bagi menggantikan perut yang telah lama kosong itu,” terangnya.

Bukan sahaja dari aspek tersebut, tidur selepas sahur atau moreh juga sangat mempengaruhi.

Perbuatan itu memang sangat tidak digalakkan kerana ia akan menyebabkan sistem penghadaman tidak efektif untuk membakar kalori dan makanan yang terkumpul akan menjadi lemak di dalam badan.

“Seperkara, kelazimannya, kebanyakan orang tidak aktif beraktiviti atau bersukan. Apabila penggunaan tenaga menjadi semakin perlahan, berat badan akan bertambah atau kekal sahaja,” ujarnya.

Jantina tidak pengaruhi

Mengenai had pemakanan yang ideal untuk berbuka puasa, pakar itu berkata, ia bergantung kepada keperluan individu.

“Namun, masyarakat disarankan menggunakan konsep suku-suku separuh iaitu separuh makanan yang mempunyai karbohidrat seperti mi, nasi putih atau nasi perang dan boleh juga digantikan dengan ubi keledek atau jagung.

“Suku lagi boleh ditambah dengan makanan berprotein seperti ayam atau ikan untuk memperbaiki sel otot yang hilang ketika berpuasa. Selebihnya, sayur-sayuran dan buah-buahan,” ujarnya yang turut menasihatkan orang ramai masak makanan secara sihat sama ada dibakar, direbus atau menggunakan minyak yang sedikit.

Semasa berbuka puasa, Dr Ayu Hasida berkata, amalan terbaik untuk dipraktikkan sepanjang sebulan adalah minum air kosong terlebih dahulu, disusuli dengan makan satu hingga tiga biji kurma dan buah-buahan sebelum mengambil makanan berat.

Ketika bersahur pula, perbanyakkan sumber tenaga seperti bijirin oat yang dicampurkan dengan yogurt termasuk makanan tinggi protein untuk mengelak kita cepat lesu.

Kepada satu soalan, pakar itu memberi pencerahan. Katanya, pertambahan berat badan tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan jantina. Tidak kira sama ada lelaki atau perempuan, masing-masing boleh mengalami proses yang sama.

“Pada masa sama, ia bergantung kepada gaya hidup dan pemakanan seseorang. Sekali lagi, ingin saya tekankan bahawa keseimbangan dalam pengambilan makanan dan aktiviti harian sangat penting jika bercita-cita mahu menurunkan berat badan,” katanya lagi.

Tidur mencukup

Apabila berpuasa, bagaimana untuk mengimplemenkan saranan pengambilan lapan gelas air sehari? Adakah ia boleh dilakukan pada bulan Ramadan?

Persoalan berkenaan memang kerap ditanya dan bagi menghuraikannya, SinarPlus menghubungi Pegawai Pemakanan, Pantai Hospital Laguna Merbok, Kedah, Norhamizah Sohaimi. Berikut jadual waktu pengambilan air bagi mengelak seseorang mengalami dehidrasi:

i. Ketika bangun sahur
ii. Selepas bersahur
iii. Selepas azan Maghrib
iv. Selepas solat Maghrib
v. Selepas berbuka
vi. Selepas solat Isyak
vii. Selepas solat tarawih
viii. Sebelum tidur

Menyambung diskusi, Norhamizah berkata, satu tabiat yang selalu dilakukan oleh rata-rata daripada kita adalah akan meneguk air manis yang banyak.

“Hal itu perlu dihindarkan kerana ia boleh memicu kepada kandungan paras gula tinggi yang tinggi, sekali gus akan menyumbang kepada faktor kegemukan,” katanya.

Menurut penulisan dalam Health Canal, makanan bergula akan menyebabkan proses metabolisme dalam badan manusia menjadi lebih cepat dan menjadikan sesiapa sahaja mudah merasa lapar.

Namun, sumber gula semula jadi daripada buah dan madu amat disyorkan, kata sumber berkenaan.

Iklan

Setelah membicarakan banyak perkara, Norhamizah berkongsi teknik terbaik kepada mereka yang memahat impian untuk kurus dan langsing bersempena bulan Ramadan.

Hal pertama yang perlu dititik beratkan adalah menjaga bentuk pola pemakanan ketika bersahur dan berbuka puasa, cadang beliau.

Selain itu, senaman yang berintensiti sederhana atau rendah seperti berjalan perlahan, berkebun atau berjoging boleh dipraktikkan.

“Pun begitu, senaman haruslah tidak dilakukan secara keterlaluan sehingga menyebabkan dehidrasi. Satu lagi, kalau boleh lakukan aktiviti di dalam rumah. Bersenam sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit juga sudah memadai,” katanya.

Dalam pada itu, tidur yang cukup juga boleh membantu untuk menurunkan berat badan meskipun sedang berpuasa, kata Hello Sehat.

“Apabila kita kurang tidur, ia akan ganggu sistem metabolisme dan hasilnya tubuh tidak membakar cadangan lemak secara efektif. Kesan kurang tidur juga dapat meningkatkan hormon ghrelin yang boleh menambah nafsu makan. Justeru, dengan mendapatkan kualiti tidur adalah solusi paling baik walaupun kadang-kadang ada antara kita sukar untuk lena saat berpuasa,” katanya.

Seandainya kalian dalam kelompok berkenaan, Hello Sehat mencadangkan petua untuk mendapatkan tidur yang cukup pada bulan Ramadan:

i) Tidur selama 20 minit untuk mendapatkan semula tenaga.
ii) Kurangkan makanan berlemak atau manis sebelum tidur.
iii) Elak minuman berkafein beberapa jam sebelum lena.
iv) Tidak menggunakan telefon bimbit, komputer atau menonton televisyen menjelang waktu tidur.
v) Tidur di tempat yang tenang dan gelap.

Daripada 94kg, berat badan Wan Nur Ilyana kini cuma 58kg

BANYAK manfaat yang boleh diperoleh daripada amalan berpuasa. Selain merehatkan sistem dalam badan, ibadah mulia itu juga boleh menjadi salah satu titik permulaan mengurangkan berat badan.

Begitulah yang dilakukan Wan Nur Ilyana Najihah Wan Rojas yang memulakan proses diet dengan berpuasa setiap hari.

Cerita gadis berusia 24 tahun itu, beliau mula berdiet pada Februari 2019 dengan berpuasa setiap hari dan berterusan sehingga bulan Ramadan iaitu pada Mei pada tahun tersebut.

Tidak cukup dengan itu, Wan Nur Ilyana berpuasa enam selepas sambutan Syawal dan mengamalkan pemakanan yang seimbang seperti yang disyorkan.

Iklan

“Berat badan saya sebelum ini mencecah 94 kilogram (kg) dan setelah mengamalkan puasa selama lebih lima bulan, saya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 22 kilogram pada 1 Syawal.

“Saya memang cukup gembira dan ia telah menaikkan lagi semangat saya untuk terus konsisten. Jangan tak percaya, berat badan saya kini cuma 58kg,” ungkapnya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Ditanya apa dorongan utama yang membuatkan beliau nekad berdiet, jawab wanita itu, tiada siapa yang memberi sokongan atau dokongan kepadanya.

Apa yang dilakukan adalah semata-mata mahu kurus bagi membolehkan segala perkara termasuk melakukan aktiviti fizikal dapat dilakukan dengan mudah.

“Saya juga tiada guru atau pakar yang membimbing, sebaliknya saya pelajarinya menerusi bacaan dalam talian. Pada masa sama, saya juga berfikir, adalah lebih baik sekiranya saya berpuasa kerana selain tambah amal, banyak faedah lain yang saya dapat,” kata mahasiswi di sebuah universiti tempatan.

Tidak mahu episod kegemukan berulang kembali, Wan Nur Ilyana berkata, beliau secara terus menerus menerapkan disiplin yang ketat dalam aspek pemakanan.

“Saya sentiasa mengawal jumlah makanan yang diambil dan mengelakkan pengambilan kalori secara berlebihan. Pada masa sama, saya praktikkan pemakanan diet suku suku separuh iaitu lengkap karborhidrat, protein, buah-buahan dan sayur-sayuran dalam satu hidangan.

“Antara makanan yang selalu jadi pilihan saya adalah seperti telur, isi ayam, ikan, sayuran, buah-buahan, nasi, roti kaya serat dan oat,” jelasnya sambil memberitahu, aktiviti mengeluarkan peluh seperti senaman kardio, mengangkat berat badan termasuk berzumba juga telah membantu dalam proses diet beliau.

Seperkara, ujar Wan Nur Ilyana, selepas mendapat berat badan yang demikian, sesekali beliau akan amalkan diet sela (Intermittent Fasting atau IF).

IF merupakan diet yang menggabungkan konsep puasa dan menikmati makanan sihat untuk menguruskan badan.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI