MENURUT Washington Post, 9 peratus daripada penduduk di seluruh dunia bertangan kidal. Sementara hanya 1 peratus yang berupaya menggunakan kedua-dua belah tangan. Rata-ratanya terdiri daripada kaum lelaki.

Berdasarkan beberapa kesimpulan, ramai yang sebulat suara mengatakan orang kidal lebih pintar atau genius dan berketerampilan.

Mereka mengambil contoh beberapa figura terkenal dunia seperti Bill Clinton, Barack Obama, David Cameron, Bill Gates, Steve Job, Oprah Winfrey termasuk Putera William yang tergolong dalam kelompok minoriti itu.

Pun demikian, masyarakat di Asia Barat, India, Pakistan, Bangladesh, waima di Malaysia berbeza sedikit pandangan dan memiliki persepsi yang bertentangan.

Para penduduk di negara-negara yang dinyatakan itu sentiasa menganggap tidak sopan untuk seseorang makan, mengambil, menyerahkan sesuatu ataupun melakukan apa sahaja dengan menggunakan tangan kiri.

Justeru, demi meraikan pandangan yang pelbagai, sempena sambutan Hari Kidal Sedunia kali ini, SinarPlus menghubungi Pengarah dan Pakar Perunding Psikiatri, MSU Clinical Centre of Excellence (MyCeLL), Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi untuk berdiskusi lanjut.

Menurut Dr Muhammad Najib, persoalan mengapa seseorang boleh bertangan kidal adalah dipengaruhi dengan faktor genetik, begitu juga dengan persekitaran.

Fakta yang dikemukakan beliau disokong oleh seorang pakar psikologi dari Ireland, Peter Hepper.

Baca juga: [VIDEO] Gadis kidal isi borang secara terbalik, hasilnya tetap kagum sehingga jadi tumpuan ramai

Beritahu Hepper, ketika melakukan imbasan bayi, 90 peratus daripadanya dilihat menghisap ibu jari kanan masing-masing, bakinya dengan tangan kiri.

Ujar beliau lagi, menjadi satu perkara biasa bagi kanak-kanak menggunakan tangan yang berbeza-beza. Namun, sekitar usia dua tahun, mereka akhirnya akan cenderung memilih satu tangan untuk melakukan banyak perkara.

IQ tinggi dan berseni

Mengenai orang kidal dikatakan seorang yang unik dan berseni, Dr Muhammad Najib bersetuju dengan kenyataan tersebut.

“Dari segi saintifik, otak kiri berfungsi dari segi percakapan, bahasa, penulisan dan semua yang berkaitan. Sementara itu, otak kanan pula berperanan mengawal kreativiti, kemahiran, kesenian, situasi dan tumpuan.

“Justeru, bagi individu kidal, otak kanan mereka berkembang lebih baik dan mereka cenderung menggunakannya berbanding otak kiri. Atas sebab itu, mereka lebih mempunyai daya kreativiti yang tinggi berbanding orang bertangan kanan,“ jelasnya.

Jadi, tidak hairanlah beberapa nama terkemuka yang disebut tadi seperti Obama dan Clinton diangkat dan dijulang disebabkan mereka dalam kumpulan minoriti yang mendominasi tangan kiri untuk melakukan rutin harian.

“Kalau diikutkan, ramai sahaja orang bertangan kanan yang hebat, bijak-bijak dan mempunyai banyak kelebihan, tetapi disebabkan jumlah mereka dalam kumpulan kecil (9 peratus), mereka mendapat lebih perhatian,“ terangnya.

Selepas membuat beberapa rujukan, SinarPlus tertarik dengan artikel bertajuk Adakah Orang Kidal Lebih Pandai? yang disiarkan menerusi Live Science.

Penulisan itu menyatakan, berdasarkan jurnal Frontiers (2017) oleh Giovanni Sala, pelajar kidal mempunyai kelebihan yang ketara dalam menyelesaikan soalan matematik yang sukar.

Apa kena mengena penggunaan tangan dengan keupayaan matematik? Pengkaji yang juga profesor di Fujita Health University, Jepun merujuk jurnal Psychobiology.

Meta analisis dalam penyelidikan ilmiah berkenaan menunjukkan, mereka yang kidal memiliki corpus callosum (jaringan saraf yang menghubungkan antara belahan otak kiri dengan belahan otak kanan) yang jauh lebih besar.

“Hal itu memberi kelebihan kerana matematik biasanya memerlukan konseptual yang lebih luas,“ katanya yang mengendalikan penyelidikan tersebut di Universiti Liverpool, United Kingdom.

Sala juga berkongsi satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Neuroscience and Behavioral Reviews (2017). Merujuk kajian itu yang mengambil sampel lebih 20,400 responden mendapati, individu kidal mempunyai kadar darjah kecerdasan otak (IQ) yang lebih tinggi secara purata.

Pun demikian, kata beliau, terdapat juga antara mereka mempunyai masalah dalam pembelajaran.

Hemat berkenaan selari dengan satu penyelidikan yang diterbitkan dalam Demography pada tahun 2009. Antara inti pati pentingnya adalah kemahiran seperti membaca, menulis, perbendaharaan kata dan pembangunan sosial kanak-kanak dengan tangan kiri mendapat markah yang lebih rendah.

Satu penyelidikan Harvard (2014) yang dipetik dalam Journal of Economic Perspectives turut berkongsi beberapa kenyataan tentang golongan berkenaan. Antaranya seperti:

  • Individu bertangan kidal mempunyai lebih banyak masalah pembelajaran termasuk mengalami disleksia.
  • Mempunyai lebih banyak masalah tingkah laku dan emosi.
  • Tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam persekolahan.
  • Bekerja dalam sektor pekerjaan yang memerlukan kurang kemahiran kognitif.

Baca juga: Waspada, kanak-kanak 10 tahun kini sudah derita diabetes angkara obesiti

Penyakit
Melihat kepada sisi lain, Healthline dalam artikel yang disiarkan berkongsi fakta tentang beberapa risiko penyakit berbahaya yang biasanya dialami manusia kidal. Portal perubatan turut merujuk beberapa jurnal sahih tentang antara krisis kesihatan yang terkait. Berikut huraiannya:

i) Kanser payudara

  • British Journal of Cancer (2007) antara lain mengkaji keutamaan tangan dan risiko kanser. Penyelidikan tersebut mencadangkan bahawa wanita dengan tangan kiri yang dominan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk didiagnosis dengan kanser payudara, berbanding wanita dengan tangan kanan.
  • Perbezaan risiko lebih ketara bagi wanita yang telah menopause. Bagaimanapun, penyelidik menyatakan kajian itu hanya melihat populasi wanita yang sangat kecil dan mungkin terdapat pembolehubah lain yang mempengaruhi keputusan. Kajian itu menyimpulkan bahawa siasatan lanjut diperlukan.

ii) Gangguan pergerakan anggota berkala (PLMD)

  • Kajian American College of Chest Physicians (2011) menyebut, orang kidal mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mengalami PLMD.

iii) Gangguan psikotik

  • Output penyelidikan Universiti Yale (2013) mendapati, 11 peratus daripada pesakit yang dikaji dengan gangguan mood seperti kemurungan dan gangguan bipolar ialah orang kidal.
  • Pada masa sama, kira-kira 40 peratus pesakit yang mengalami masalah psikologi seperti skizofrenia menulis dengan tangan kiri.

Sementara itu, Pakar Pembangunan Manusia dan Penulis, Mastery Academy, Dr Azura Hanim Hashim berkata, cabaran yang dilalui manusia kidal dalam menjalani kehidupan sehari-hari adakalanya boleh mencetuskan emosi negatif.

Mana tidaknya, kebanyakan peralatan yang dibuat khas untuk orang bertangan kanan seperti gunting, kayu hoki, pisau dan sebagainya boleh membuatkan mereka mudah cedera.

Dr Azura Hashim turut berkongsi penyelidikan yang dibuat oleh Persatuan Psikologi British. Katanya, kajian itu telah meminta responden yang bertangan kiri dan kanan menonton satu filem seram.

“Hasilnya, kanak-kanak bertangan kidal lebih mudah ingat dengan jelas semua adegan yang menyeramkan dalam filem dan mudah alami trauma kerana sifat mereka yang lebih visual,“ katanya.

Perbincangan kami seterusnya lebih serius. SinarPlus mengajukan pertanyaan popular dalam kalangan orang ramai yang ingin tahu kesahihan sama ada orang kidal lebih pendek umur?

Jelas Dr Azura Hashim, meskipun ada yang menyatakan bahawa 2,500 kelompok berkenaan terbunuh pada setiap tahun akibat daripada penggunaan peralatan yang diperbuat untuk orang bertangan kanan, kejadian itu tidak boleh diambil sebagai rujukan.

“Pandangan atau kajian itu mempunyai keraguan dari segi responden, lokasi dan bagaimana data dikumpul. Justeru, bagi saya, tidak kira bertangan kiri atau kanan, ia tidak menentukan jangka hayat seseorang,“ jelasnya.

Kepada satu soalan, pakar berkenaan berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang sekiranya anak mereka menggunakan tangan kidal.

“Ia sesuatu yang normal, tetapi mungkin ibu bapa boleh mengajar anak menggunakan tangan kanan ketika melakukan aktiviti melukis dan mewarna.

“Selain itu, mereka juga boleh diajar menggunting kertas agar terbiasa menggunakan tangan kanan. Tak perlu berkeras apa lagi memaksa anak menggunakan tangan kanan,“ ujarnya. -MAZLINA ABDUL MAJID dan NUR SUHAIMA NORDIN

Srikamakshi sukar pegang instrumen pembedahan, Muhammad Nuzul kuasai bidang seni

APABILA Srikamakshi Kothandaraman, 34, memulakan latihannya sebagai pakar bedah di sebuah pusat perubatan di Chennai, India sedekad lalu, beliau berdepan dengan halangan iaitu kepayahan menggunakan peralatan pembedahan.

Kepada CBC Canada, Srikamakshi berkata, lampu, cermin dan beberapa instrumen lain yang digunakan ketika melakukan prosedur agak sukar baginya yang merupakan doktor bertangan kiri.

“Hal-hal ini menyebabkan saya tak tahu bagaimana masa depan saya sebagai pengamal perubatan,“ katanya.

Bukan sahaja wanita tersebut, pemain gitar kidal seperti Jimi Hendrix dan Kurt Cobain dilaporkan terpaksa mengasah kemahiran dengan peralatan muzik yang direka untuk mereka yang dominan dengan tangan kanan.

Menurut CBC Canada lagi, bukan itu sahaja, golongan kidal dari seluruh dunia berdepan dengan halangan paling teruk meskipun untuk membuka tin, memegang gunting dan paling menyedihkan, bagaimana untuk membiasakan diri memegang gear dengan tangan kanan.

SinarPlus turut menemubual seorang remaja tempatan, Muhammad Nuzul Hafiz yang sejak azali menggunakan tangan kiri.

Mewarisi genetik daripada ayahnya yang kidal, Muhamad Nuzul turut merasai keperitan sama dengan orang lain. Selain gunting, beliau mengakui susah untuk menggunakan mesin jahit.

Namun, menariknya tentang pemuda itu, dirinya menguasai bidang kesenian iaitu salah satu ciri istimewa insan bertangan kidal.

“Sejak kecil lagi saya memang boleh menari dan suka ‘benda-benda‘ seni seperti melukis, mekap dan menjahit baju. Itu sebab saya mengambil jurusan Diploma dan Seni Tari di Universiti Pendidikan Sultan Idris,“ katanya yang kini bekerja sebagai penari kebudayaan di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah. – NUR SUHAIMA NORDIN

Baca juga: Masalah obesiti ada kaitan dengan telinga tersumbat? Berikut kata pakar

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.