SETIAP kali menjelang musim perayaan, tragedi kemalangan sentiasa menghiasi media massa.

Berdasarkan dapatan data dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, bermula dari tahun 2010 hingga 2019, berlaku pertambahan kes ketika sambutan Aidilfitri.

Pada tahun 2010, sebanyak 16,817 kes dilaporkan diikuti tahun 2011 dengan 19,606 kes, 2012 (17,937 kes), 2013 (17,831 kes), 2014 (18,488 kes), 2015 (20,458 kes), 2016 (20,982 kes), 2017 (22,402 kes), 2018 (22,411 kes) dan pada tahun 2019 sebanyak 24,461 kes.

Terdapat pelbagai faktor kemalangan terjadi. Antaranya berpunca daripada microsleep. Microsleep adalah kondisi seseorang yang tertidur kurang dari satu hingga 30 saat tanpa disedari.

Salah satu insiden yang berpunca daripada keadaan itu pernah berlaku pada Julai 2020.

Ia membabitkan seorang pelajar universiti yang dikenali sebagai Amin Faizz yang maut selepas motosikalnya terbabas di Linggi, Negeri Sembilan. Ketika kejadian, arwah dalam perjalanan pulang dari Kluang, Johor menuju ke kampusnya di Serdang, Selangor.

Bagi memberi kesedaran kepada semua pembaca SinarPlus tentang bahaya microsleep lebih-lebih lagi kita bakal menyambut lebaran beberapa hari lagi, kami akan mengupas lebih lanjut mengenap topik berkenaan.

Kepada Presiden Persatuan Sleep Apnea Malaysia, Prof Madya Dr Louis Adaikalam, beberapa soalan signifikan diajukan.

Ujar Dr Louis, microsleep adalah satu episod tidur singkat yang tidak dapat dikawal. Ketika proses tersebut berlaku, input daripada deria pendengaran dan penglihatan tidak dapat diproses oleh otak.

“Ia terjadi tanpa amaran dan lazimnya berlaku apabila seseorang itu memandu kenderaan di jalan yang lurus. Ia boleh tercetus walaupun dalam keadaan mata pemandu terbuka, tetapi individu itu tidak sedar akan perkara itu,“ jelasnya.

Beritahu beliau lagi, situasi tersebut lebih berbahaya sekiranya seseorang memandu atau sedang mengendalikan jentera yang berpotensi meningkatkan risiko kemalangan yang lebih serius.

Tiada kualiti tidur

Ujar Dr Louis, microsleep boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang mengalami kekurangan tidur tanpa mengira jantina atau usia.

“Ya, gangguan ini (tidur) adalah perkara biasa dan boleh mempengaruhi sesiapa sahaja dalam setiap kelas sosial dan latar belakang etnik,“ ungkapnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kualiti tidur seseorang menyumbang kepada isu microsleep seperti waktu tidur yang konsisten dan jumlah jam yang diperuntukkan untuk lena.

Berdasarkan Sleep Foundation, Amerika Syarikat (AS), kumpulan umur 18 hingga 64 tahun memerlukan tujuh hingga sembilan jam untuk tidur kualiti, sementara mereka yang berumur 65 tahun ke atas perlu tidur sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan jam sehari.

Berikut adalah simptom dan tanda amaran yang menunjukkan anda bakal menghadapi microsleep dan hal-hal itu perlu diawasi. Antaranya seperti:

i. Kelesuan, menguap dengan terlalu kerap dan keletihan.

ii. Mula hilang fokus dan kurang tidak balas dengan sesuatu.

iii. Rasa mengantuk dan pandangan menjadi kosong.

iv. Tiba-tiba terkejut dan mata berkelip-kelip secara perlahan.

Mengenai punca microsleep, SinarPlus merujuk kenyataan Pakar Tidur, Cleveland Clinic Florida, Weston Hospital, AS, Samuel Gurevich.

Katanya, penyebab paling biasa fenomena itu terjadi adalah disebabkan kekurangan tidur.

“Apabila kita mengambil atau ‘meminjam‘ masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk tidur bagi melakukan hal-hal lain seperti bersosial, bekerja atau belajar, otak akan kekal letih dan ‘mahukan tidur yang terlepas itu‘.

“Akhirnya, otak akan secara proaktif menidurkan anda dan selalunya ia berlaku dalam situasi yang bahaya seperti dalam keadaan memandu,“ jelasnya.

Pun demikian ujar Gurevich, tidak cukup rehat bukanlah satu-satunya perkara yang membuatkan badan ‘mendambakan’ untuk tidur. Terdapat beberapa perkara lain yang boleh mencetuskan episod microsleep termasuk:

i. Minum alkohol.

ii. Mengambil ubat dengan kualiti sedatif atau hipnosis seperti antihistamines atau pil tidur.

iii. Mempunyai keadaan perubatan yang menjejaskan tidur seperti sleep apnea atau insomnia.

Dalam pada itu, Healthline melaporkan, antara punca lain microsleep adalah daripada kualiti tidur buruk yang disebabkan daripada beberapa keadaan fizikal dan mental. Antaranya:

i. Masalah kencing manis dan masalah gula dalam darah.

ii. Tekanan darah tinggi.

iii. Obesiti termasuk krisis kemurungan dan kebimbangan keterlaluan.

Kehebatan power nap

Sementara itu, menjawab pertanyaan adakah kuantiti makanan yang dimakan selepas berbuka puasa memicu kepada kondisi microsleep, Pensyarah dan Pakar Otorinolaringologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Eyzawiah Hassan membantu memberi penjelasan.

Terlebih dulu ujar Dr Eyzawiah, kitaran tidur yang dipengaruhi ‘jam tubuh‘ (juga dikenali sebagai ritma circadian) boleh mempengaruhi fungsi fisiologi dan kelakuan. Sebagai contoh, individu yang berpuasa biasanya akan lebih mengantuk pada waktu petang berbanding pagi.

“Selain itu, kandungan atau jenis makanan sewaktu berpuasa dan gaya hidup pada bulan Ramadan turut mempengaruhi. Malah, ada juga individu lebih cenderung tidur lewat dan bangun lebih awal (ketika bulan puasa) untuk menjalankan ibadah-ibadah sunat seperti bertadarus dan bertahajud.

“Kesimpulannya, rasa mengantuk itu tidak hanya semata-mata mengambil kira faktor terlebih makan semasa berbuka puasa dan banyak lagi alasan yang mempengaruhi,“ ujarya.

Kepada satu soalan, Dr Eyzawiah berkata, salah satu pendekatan terbaik dalam mengatasi microsleep adalah dengan mengamalkan konsep power nap.

Power nap adalah tidur pada waktu siang yang dilakukan secara singkat iaitu sekitar 20 hingga 30 minit, di antara pukul 12.30 hingga 1.30 tengah hari.

Amalan itu boleh membuatkan seseorang kembali segar dan bersemangat dalam menjalankan pelbagai aktiviti selepas itu.

“Power nap atau dalam bahasa Arabnya, qailullah sangat baik untuk kesihatan tubuh badan dan merupakan salah satu sunah Rasullullah SAW. Ia juga menggantikan kekurangan tidur pada waktu malam.

“Pendekatan ini secara tak langsung akan memberikan badan dan minda beristirahat seketika, di samping mampu merangsang fokus minda yang lebih baik sepanjang hari,“ katanya.

Kongsi pakar itu, hasil kajian Pakar Psikologi, Universiti of California, AS, Dr. Matthew Walker menunjukkan, penaklukan logikal dan emosi seseorang akan bertambah baik dengan power nap.

Selain itu, cara lain adalah memandu pada awal pagi selepas Subuh kerana kadar kognitif seseorang berada pada tahap tinggi pada waktu pagi dan menurun waktu petang.

“Jika memandu pada waktu tengah hari, faktor haba dan cahaya matahari yang terlalu terang boleh menyebabkan kelesuan dan boleh tercetusnya microsleep,“ katanya.

Iklan

Kafein membantu?

Biasanya, untuk perjalanan jauh, ramai yang akan menikmati secangkir kopi bagi memastikan tidak mengantuk. Namun, adakah metodologi itu berkesan?

Soalan itu dijawab oleh Dr Siti Asmat Md Arepen yang juga pensyarah dan pakar Otorinolaringologi di USIM. Jelasnya, pengambilan kafein secara sederhana boleh membantu meningkatkan fokus dan fungsi kognitif.

Berdasarkan penyelidikan, pengambilan 300 miligram kafein dua kali sehari akan menjadikan seseorang lebih berwaspada dengan persekitaran.

“Namun, perlu diingatkan, jika diminum dalam kuantiti yang banyak boleh menyebabkan peningkatan kekerapan pembuangan urin dan seterusnya mengakibatkan dehidrasi,“ ujar pakar itu sambil menambah, mengenal pasti punca microsleep di samping melakukan langkah pencegahan adalah penting bagi mengelakkan masalah itu berlaku.

Namun, pesanan Dr Gurevich barangkali lebih memudahkan pemahaman anda. Katanya: “Jangan bergantung kepada kafein untuk memastikan anda terus terjaga!.“

Pada masa sama, pemakanan tinggi kalori dan tidak seimbang juga perlu dielakkan termasuk makan ubat-ubatan yang mempunyai kesan sampingan mengantuk.

Berikut beberapa tip lain bagi mengelakkan microsleep yang dikongsikan Dr Siti Asmat:

1. Kekal peka dan aktif melalui cara berinteraksi dengan orang di sekeliling atau penumpang lain.

2. Jika memandu sendirian, buka radio sebagai peneman. Lagu kegemaran boleh mengurangkan rasa mengantuk.

3. Gerakkan badan setempat. Contohnya, melakukan senaman bahu dan leher.

4. Berehat sebentar di samping power nap jika penat dan mengantuk.

5. Pemanduan secara bergilir-gilir juga digalakkan.

Namun, apa-apapun, anda dinasihatkan merujuk doktor jika mengalami episod microsleep atau mempunyai sebarang keadaan perubatan yang mungkin meningkatkan risiko gangguan tidur itu.

Dua kali alami kemalangan, Soraya Bibi elak memandu waktu petang

DUA kali berpengalaman berdepan dengan kemalangan gara-gara terlelap seketika (microsleep) menyebabkan Soraya Bibi Ibrahim, 57, masih trauma sehingga ke saat ini.

Iklan

Meskipun insiden itu sudah berlaku beberapa tahun yang lepas, ingatan beliau tidak pernah luput daripada terus memikirkannya.

Menceritakan kembali tragedi tersebut, Soraya Bibi yang juga seorang penjawat awam berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 3 petang pada tanggal 19 September 2018.

Ketika itu, wanita berkenaan hendak ke pejabat untuk menyelesaikan tugasan setelah pulang daripada mengajar dan menghantar pembantu rumahnya ke klinik.

“Sebenarnya sebelum terbabas melanggar pokok, mata saya sudah merasa berat dan sesekali sempat juga terlelap ketika berhenti di lampu isyarat, tetapi saya kuatkan hati dengan meneruskan perjalanan.

“Saya secara tiba-tiba tersedar selepas mendengar bunyi dentuman yang kuat. Rupa-rupanya kereta yang dipandu saya terbabas sebelum melanggar pokok,“ ceritanya.

Pun demikian, Soraya Bibi tidak mengalami sebarang kecederaan yang teruk. Pipinya sahaja kemerah-merahan akibat hentakan di stereng kereta.

Kemudian, insiden sama berulang pada 8 Mac 2020 berhampiran dengan rumahnya seusai satu mesyuarat.

“Entah mengapa, ketika saya memandu kenderaan untuk pulang, saya langsung tidak sedar yang saya terlelap. Saya hanya terjaga apabila kenderaan yang dipandu melanggar tiang besi dan batu.

“Disebabkan kemalangan itu, saya dimasukkan ke hospital dan ditahan wad selama satu hari,“ ujarnya sambil memberitahu, kejadian itu menyebabkan kereta beliau remuk teruk.

Sejak kejadian berkenaan, Soraya Bibi menjadi takut untuk memandu. Namun, beliau tiada pilihan kerana perlu berbuat demikian untuk ke tempat kerja.

Untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku, wanita berkenaan akan mengambil pendekatan tidak memandu pada jarak yang jauh.

Ketika ditanya adakah dirinya mengalami isu kesihatan, Soraya Bibi berkata: “Kalau ikutkan, saya tiada sebarang masalah (kesihatan). Kedua-dua kejadian yang berlaku dipercayai berlaku kerana mungkin saya dalam keadaan letih dan terlalu mengantuk. Itu rasanya antara faktor utama kemalangan.“

Tragedi itu juga katanya, menjadi iktibar kepada diri beliau agar memiliki tidur yang cukup sebelum melakukan pemanduan.

“Untuk diri saya, seboleh-bolehnya saya cuba elakkan memandu kereta pada waktu petang kerana saya mudah rasa mengantuk. Jika tiada pilihan, saya akan membiarkan muzik menemani saya,“ katanya.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI