BIASANYA, ibu-ibu pasti akan menyapu minyak panas pada kaki dan perut si kecil untuk mengelak masalah kembung perut.

Tidak dapat dinafikan, minyak panas sememangnya boleh memberi kelegaan pada si pemakai, tetapi tahukah anda sesetengah produk tidak sesuai digunakan untuk si kecil?

Mengapa? Berdasarkan perkongsian laman Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), minyak panas atau lebih popular lagi ‘minyak urut’ mengandungi bahan aktif iaitu Metil salisilat (bahan analgesik untuk mengurangkan sakit dan inflamasi pada otot dan sendi).

Baca juga Bayi boleh terkena sawan tarik, kembung jika minum air putih? Ibu bapa sila ambil perhatian

Walaupun sesuai untuk kegunaan orang dewasa namun, ia bahaya jika dipakaikan ke atas kanak-kanak terutamanya bayi kerana boleh menyebabkan keracunan!

Selain loya, golongan itu akan mengalami muntah, berdengung pada telinga dan paling menakutkan, mereka boleh terkena sawan dan koma.

“Kesannya turut bergantung kepada jumlah pendedahan kepada racun berkenaan,” ujar KKM lagi.

AMBIL KESEMPATAN

Menjelaskan lebih lanjut, Pusat Racun Negara dalam hantaran Facebooknya baru-baru ini berkata, perkataan Metil salisilat (𝗺𝗲𝘁𝗵𝘆𝗹 𝘀𝗮𝗹𝗶𝗰𝘆𝗹𝗮𝘁𝗲) biasanya akan dijumpai pada minyak panas atau minyak urut untuk merawat lenguh-lenguh dan sakit badan.

Metil Salisilat merupakan bahan analgesik yang digunakan untuk mengurangkan sakit dan inflamasi pada otot dan sendi.

Secara farmakokinetik, bahan itu akan meresap ke dalam kulit untuk sampai ke bahagian sakit di dalam badan. Kepekatan bahan aktif itu (Metil salisilat) pada setiap produk berbeza mengikut jenis kesediaan bahan ini, jelas PRN.

Iklan

Seperti kenyataan KKM, PRN sekali lagi menegaskan, bahan itu tidak sesuai digunakan pada kanak-kanak terutamanya pada bayi kerana berisiko menyebabkan keracunan pada bayi.

“Hampir setiap minggu Pusat Panggilan Keracunan, PRN menerima kes keracunan Metil salisilat yang melibatkan kanak-kanak sama ada secara sengaja atau tidak sengaja,” ujar mereka.

Namun, satu hal yang membimbangkan beritahu PRN, terdapat pihak yang mengambil kesempatan melariskan jualan produk yang mengandungi Metil salisilat untuk rawatan ruam lampin, meskipun indikasi maklumat produk tidak menyatakan sedemikian.

Iklan

Baca juga Awas cendawan beracun boleh bawa maut, ini cara kenalinya

“Saranan seperti itu adalah sangat berbahaya dan tidak beretika. Jika disapu pada kulit, bahan ini akan meresap ke dalam kulit dan masuk ke dalam badan.

“Bayangkan risiko keracunan yang mungkin berlaku jika ia disapu dua hingga tiga kali setiap hari untuk rawatan ruam bayi,” kata kenyataan itu lagi.

Justeru, saran PRN, jika produk hanya untuk kegunaan dewasa sahaja, elakkan digunakan ke atas kanak-kanak! Lebih baik mencegah, daripada mengubati. #kitajagakita #cegahkeracunan

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram!