Para ibu kena kawal pemakanan, ubatan dan penyakit kencing manis untuk elak bayi menderita jantung berlubang

PENYAKIT jantung kongenital (CHD) merujuk kepada kecacatan pada bahagian organ utama manusia dan ia berlaku sejak lahir lagi.

Terdapat tiga jenis CHD iaitu jantung berlubang, masalah saluran darah tidak normal dan injap bocor atau sempit.

Menurut Pediatric Heart Specialists, Amerika Syarikat (AS), kanak-kanak yang menderita CHD kebanyakannya menghidap jantung berlubang.

Kredit foto:Puwadon Sang-ngern

Jelas laman perubatan itu, permasalahan berkenaan berlaku disebabkan oleh kewujudan lubang pada salah satu dinding yang memisahkan ruangan jantung.

Bagi mengupas lebih lanjut mengenai CHD jenis jantung berlubang, SinarPlus menghubungi Pakar Perunding dan Pakar Kardiologi Kanak-Kanak, Klinik Keluarga Dr Mia, Prof Madya Datin Dr Asmiati Abd Hamid.

Jelas Dr Asmiati, kebiasaannya jantung berlubang dalam kalangan bayi adalah berpunca dari ruangan terbuka atau berlubang di bahagian septum jantung yang memisahkan ruangan jantung kiri dan kanan yang mana bahagian tersebut tidak tertutup dengan sempurna sebelum mereka dilahirkan.

Secara umumnya, terdapat dua keadaan jantung berlubang yang kerap berlaku iaitu:

  • Kecacatan septum ventrikel (VSD): Ia merujuk kepada lubang pada dinding (septum) yang memisahkan ventrikel kiri dan kanan
  • Kecacatan septum atrium (ASD): Merupakan rongga yang terjadi pada dinding atrium kiri dan kanan.
Kredit foto: Lukas

Berdasarkan rekod, VSD dan ASD merupakan antara penyakit yang sering terjadi pada kanak-kanak di AS.

Centers for Disease Control and Prevention, AS berkongsi data kelahiran bayi yang menghidap jantung berlubang. Berikut statistik yang dinyatakan:

  • ASD: Setiap 1,859 bayi yang lahir di AS, satu daripadanya menghidap komplikasi berkenaan. Seramai 2,118 bayi yang dilahirkan dalam tempoh setahun memiliki ASD.
  • VSD: Setiap 10,000 bayi yang dilahirkan, 42 daripadanya menghidap VSD. Jumlah keseluruhan bayi yang lahir dengan VSD pada setiap tahun adalah seramai 16,800 orang.

Tahap keseriusan

Kredit foto:MART PRODUCTION

Kepada SinarPlus, Dr Asmiati memberitahu, tahap keseriusan kanak-kanak yang menghidap jantung berlubang sebenarnya bergantung kepada beberapa keadaan.

“Kedua-dua masalah jantung ini sememangnya berbahaya kerana ia melibatkan organ utama tubuh badan manusia.

“Namun, sebagai pakar, kami akan meneliti beberapa faktor penting untuk diagnosis sama ada ia memerlukan lebih pemantauan atau sebaliknya. Aspek yang diambil kira biasanya adalah saiz dan tempat lubang itu berlaku,“ katanya.

Kredit foto: Karolina Grabowska

Ujar beliau, golongan yang hanya memerlukan pemantauan adalah penghidap ASD dengan saiz lubang kurang 4 milimeter (mm). Ini kerana rongga tersebut mempunyai kebarangkalian untuk tutup dengan sendirinya adalah tinggi.

Sementara itu, bagi mereka yang memiliki saiz lubang di antara 4 hingga 8mm, kemungkinan untuk ia tutup (dengan sendirinya) adalah 50 peratus.

“Bila saiz lubang melebihi 8mm, ia memerlukan pemantauan lebih daripada pakar kerana mereka perlu mendapatkan rawatan pembedahan untuk menutup bukaan berkenaan,“ jelasnya.

Dalam pada itu, bagi VSD, ia tidak mendatangkan masalah serius selagi lubang tidak terlalu besar (kurang 4mm).

Pun demikian, Dr Asmiati berkata, kepada kanak-kanak yang memiliki lubang pada jantung yang terlalu besar, terdapat beberapa implikasi yang terpaksa dihadapi.

Kredit foto: cottonbro studio

Antaranya seperti:

  • Tumbesaran si comel terbantut.
  • Mudah terkena jangkitan seperti demam dan selesema.
  • Boleh mendorong kepada kegagalan jantung (jantung lemah).
  • Kebarangkalian jangkitan paru-paru meningkat.
  • Peluang untuk hidup tipis.

Corak pernafasan

Mengulas lanjut, Dr Asmiati berkata, kelazimannya doktor dapat mengesan tanda-tanda awal jika si kecil sudah terdedah kepada penyakit berbahaya berkenaan.

Paling ketara adalah ketika bayi tiba-tiba menjadi tidak stabil akibat terkena jangkitan kuman yang begitu serius.

“Selain itu, ia juga boleh dikesan melalui pemeriksaan kandungan oksigen dalam darah. Jika nilainya menunjukkan kurang daripada 95 peratus, maka langkah untuk mengetahui punca-puncanya akan dijalankan,“ ujarnya.

Kredit foto: Rene Asmussen

Pun demikian, kata pakar tersebut, adakalanya tidak semua kanak-kanak yang menghidap masalah jantung jenis itu boleh dikesan sejak lahir. Terdapat sesetengah berlaku ketika mereka mencecah usia dua hingga tiga tahun.

 

Sehubungan itu, ibu bapa memainkan peranan yang sangat signifikan dalam melihat transisi si kecil sama ada dari segi kesihatan atau kelainan rupa.

“Segala perubahan tak kira apa pun, mak ayah kena ambil peduli,“ ungkapnya.
Sebagai panduan, Dr Asmiati memberitahu beberapa gejala yang biasa terjadi kepada kanak-kanak jantung berlubang. Berikut inti patinya:

  • Kadar degupan jantung melebihi 160 dan kurang 100 seminit.
  • Tubuh badan si kecil menjadi sejuk terutamanya pada bahagian tangan dan kaki.
  • Warna kulit kanak-kanak kelihatan kebiru-biruan.
  • Corak pernafasan sangat laju.
  • Golongan itu juga menunjukkan perubahan menjadi kurang aktif dan kelihatan lemah.
  • Lebih suka berdiam diri.

SinarPlus kemudian mewawancara Pakar Perunding Kanak-Kanak, Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur, Dr Faisal Mohd Fadzli.

Kredit foto:Tima Miroshnichenko

Kami mendapatkan pencerahan daripada beliau tentang faktor-faktor yang mengakibatkan penyakit jantung berlubang berlaku ke atas kanak-kanak, selain disebabkan genetik.

Katanya, corak kehidupan yang dipraktikkan oleh si ibu mempengaruhi perkembangan bayi di dalam kandungan.

“Jika wanita hamil mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok dan minum arak, ia akan menyebabkan berlakunya gangguan kepada tumbesaran organ bayi,“ katanya.

Kredit foto: Dominika Roseclay

Pengambilan ubat-ubatan yang tidak bersesuaian ketika kehamilan turut memicu kepada permasalahan tersebut.

Memberi komentar lanjut, ujar Dr Faisal, wanita mengandung diingatkan agar tidak sesekali mengambil ubat-ubatan yang mengandungi teratogenik.

Antara ubatan yang mengandungi sebatian berkenaan adalah seperti ubat antikanser dan ubat sawan.

Dalam pada itu, Healthline menerusi penulisannya menyatakan, mereka yang makan jenis ubat tersebut akan memberi tindak balas kepada janin dalam tempoh yang singkat iaitu di antara 10 hingga 14 hari sahaja.

“Berdasarkan perangkaan, kira-kira 4 hingga 5 peratus kanak-kanak yang dilahirkan dengan kecacatan disebabkan oleh pendedahan kepada teratogenik,“ kongsi laman perubatan itu.

Kepada para ibu yang menghidap kencing manis yang serius, anda juga perlu berwaspada.

Healthline berkata, jika penyakit itu tidak terkawal pada awal kehamilan, ia akan memberi kesan kepada pembentukan jantung bayi.

Kredit foto: PhotoMIX Company

Selain itu, diabetes juga boleh dikaitkan dengan kecacatan seperti sacral agenesis yang menyaksikan tulang punggung bayi tidak terbentuk dengan normal, kecacatan sistem saraf otak dan paling serius boleh membawa kepada kematian janin.

Oleh sebab itu, kesihatan diri perlu diberi penekanan. Jika tidak, akibatnya akan ditanggung oleh si kecil.

Beritahu Dr Faisal, di Malaysia kanak-kanak ataupun orang dewasa yang menghidap komplikasi jantung memerlukan perbelanjaan besar.

“Pada masa sama, tidak semua doktor boleh melakukan pembedahan jantung, hanya mereka yang ada kepakaran sahaja yang layak melakukan prosedur berkenaan kerana ia sangat berisiko.

Iklan

“Bukan itu sahaja, segala alatan dan teknologi yang diguna pakai dalam pembedahan begitu mahal, bahkan kos penelitian sebelum dan selepas pembedahan juga salah satu sebab mengapa kosnya begitu tinggi,“ ujarnya.

Kredit foto: Vidal Balielo Jr.

Hasil carian SinarPlus mendapati, nilai rawatan termasuk pembedahan mencecah RM80,000 hingga RM100,000.

Seperkara, terdapat ‘pantang larang‘ yang perlu dipatuhi oleh kanak-kanak yang mengalami penyakit jantung berlubang.

Pesan beliau, golongan itu tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan rawatan gigi sama ada tampalan mahupun mencabut gigi.

“Ibu bapa perlu memaklumkan kepada pegawai perubatan yang bertugas mengenai kesihatan anak-anak kerana jika masing berbuat sedemikian, ia boleh mendorong kepada berlakunya infeksi seperti endocarditis (infeksi pada endokardium),“ ujarnya.

Pun demikian, ibu bapa atau penjaga dinasihatkan tidak mengehadkan aktiviti anak-anak, tetapi perlu mengetahui keupayaan tubuh si kecil. Biasanya, jika tidak larat, mereka biasanya akan berhenti sendiri.

Baca juga: Angkat berat badan kurangkan risiko strok dan jantung? Ini penjelasan pakar dalam kajian baharu

Baca juga: Makanan berkeju tinggi kolesterol, boleh menyebabkan serangan jantung

#kesresponden

Tekanan darah tinggi punca Nur Atirah tak dapat jalani pembedahan tutup lubang jantung seumur hidup

Kredit foto: cottonbro studio

NOR ALIZA Mohd Sarip, 45, terpaksa menerima hakikat bahawa anaknya bukan sahaja mengalami sindrom Down, malah turut didiagnos menghidap penyakit jantung berlubang.

Kata wanita tersebut, anaknya Nur Atirah Rosdhi, 11, menderita masalah kardiovaskular itu sejak berada di dalam kandungan lagi.

Secara spesifiknya, Nur Atirah menghidap masalah jantung jenis kecacatan septum ventrikel dengan saiz yang agak besar.

Iklan

“Melihat kondisi yang ditanggung oleh anak saya, hanya ALLAH mengerti perasaan ini dan sukar saya nak gambarkan dengan kata-kata,“ katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Beritahu Nor Aliza lagi, pada awalnya si kecil berkenaan dijadualkan untuk menjalani pembedahan untuk menutup bukaan pada jantungnya.

Pun demikian, selepas pakar membuat penelitian semula, Nur Atirah dikesan mempunyai masalah tekanan darah tinggi.

Kondisi kesihatan tersebutlah menyebabkan pembedahan tidak dapat dijalankan.

“Semuanya berpunca daripada masalah jangkitan kuman pada jantungnya.

“Kadar oksigen menurun hingga 60 peratus. Kesannya, dia terpaksa ditidurkan selama 12 hari. Saya sangat sedih melihat anak saya hanya terbaring kaku ketika itu,“ imbaunya.
Lebih membuatkan si ibu itu hiba, rupa-rupanya sepanjang kehidupan Nur Atirah, memang tiada sebarang pembedahan berkaitan jantung boleh dilakukan bagi mengelak komplikasi lain yang lebih bahaya.

Semenjak itu, doktor menasihati Nor Aliza untuk sentiasa lebih peka dengan kesihatan Nur Atirah dan seboleh-bolehnya mengelak daripada sebarang jangkitan kuman.

Lubang di dalam jantungnya yang begitu besar antara sebab masalah itu tidak boleh terjadi.

“Doktor minta saya sentiasa berdoa dan meminta pertolongan daripada ALLAH. Nyawa Nur Atirah bergantung kepada keajaiban-NYA,“ katanya sambil memberitahu anak kesayangan beliau itu sentiasa dipantau teliti oleh doktor.

Baca juga: Jantung bengkak boleh sebabkan kegagalan jantung. Pesakit diabetes, hipertensi antara yang kena waspada

Baca juga: “Terus jantung macam jatuh.”- Datuk Aaron Aziz cemas bila isteri terlibat kemalangan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi