ADIK perempuan Fatimah Ibrahim, Maimumah meninggal dunia kerana kanser payudara beberapa dekad lalu.

Justeru, apabila beliau berasa seperti ada ketulan kecil pada payudara kanannya ketika mahu memakai coli, rasa cemas menyelubungi dirinya.

“Perkara itu berlaku pada tahun 2008, usia saya masa itu 65 tahun. Saya fikir saya kena bertindak segera. (Adik tu) pun, dia dah terlepas kan. Pasal dia tak tahu, kes dia dah terbiar. Nak merawat pun, benda tu dah merebak,” katanya berkongsi cerita dengan Bernama ketika dihubungi di rumah kediamannya di Perak.

Tanpa berlengah, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu kemudiannya ke hospital, membuat mamogram dan biopsi. Hasilnya mengesahkan beliau menghidap peringkat awal kanser payudara tahap 2.

Kredit foto: Leeloo Thefirst

Untuk yang berusia antara 50 dan 74 tahun dan dengan sejarah keluarga menghidap kanser payudara, Fatimah sepatutnya melakukan mamogram secara tahunan. Beliau tidak melakukannya dan hanya bergantung kepada pemeriksaan sendiri payudara.

Panduan Amalan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyorkan wanita yang berusia antara 50 dan 74 melakukan mamogram sekali setiap dua tahun, sama seperti yang disyorkan di Amerika Syarikat.

Untuk wanita yang berisiko tinggi untuk kanser payudara (berusia 40 hingga 60 tahun dan selepas usia 60 tahun), mereka perlu melakukan mamogram sekali setiap dua tahun.

Namun di sebalik panduan ini, Yayasan Kanser Payudara Malaysia dan pakar perubatan mengesyorkan mamogram tahunan untuk wanita berusia 40 tahun ke atas.

Kredit foto: Leeloo Thefirst

Pakar di lapangan memberitahu Bernama, pengesanan awal sebagai sebahagian daripada penjagaan diri masih jarang dilakukan di Malaysia.

PENGESANAN AWAL

Pakar perubatan meletakkan risiko kanser payudara untuk wanita di Malaysia, seorang dalam setiap 20 orang.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser payudara adalah kanser paling lazim dalam kalangan wanita iaitu 32.9 peratus atau 8,418 kes baharu pada tahun 2020, diikuti kanser kolorektal (11.9 peratus) dan kanser ovari (7.2 peratus).

Kadar survival dan jangka hayat lima tahun bagi pesakit kanser payudara di Malaysia adalah 66.8 peratus, seperti diperincikan dalam laporan Malaysian Study on Cancer Survival 2018 (MyScan 2018).

Kredit foto: Nadezhda Moryak

Kadar berkenaan adalah lebih baik berbanding sesetengah negara seperti di Thailand dan India, tetapi lebih rendah daripada negara maju dan China iaitu 80.4 peratus.

Menurut Pakar Radiologi dan Pengimejan Payudara, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Maninderpal Kaur, amat penting untuk mengesan awal kanser payudara.

Sebaik sahaja dikesan, banyak pilihan rawatan boleh dibuat daripada membiarkan ia merebak dan datang apabila tidak ada apa lagi yang boleh dibuat.

Kadar keterukan kanser payudara terdiri daripada beberapa tahap.

Kredit foto: Leeloo Thefirst

Daripada tahap 1 iaitu ketumbuhan kanser kurang daripada 2 sentimeter (sm) lebar dan hanya didapati di dalam tisu payudara atau di dalam kelenjar limfa hampir kepada payudara hingga kepada tahap 4 (bermakna serangan barah menjalar ke bahagian lain badan, demikian menurut Cancer Research UK).

Di Malaysia, tahap 1 mempunyai 87.5 peratus kadar survival untuk sekurang-kurangnya lima tahun selepas diagnosis, sementara tahap 4, 23.3 peratus kadar survival.

Tahap paling biasa untuk diagnosis kanser payudara di Malaysia ialah tahap 2, apabila ketumbuhan kanser payudara antara 2sm dan 5sm garis pusat, sama ada dalam payu dara atau berhampiran kelenjar limfa atau kedua-duanya sekali.

Ini adalah peringkat awal kanser payudara dan mempunyai kadar survival 80.7 peratus.

Pakar Onkologi Sunway Medical Centre Velocity, Dr Hafizah Zaharah Ahmad memberitahu Bernama, kebimbangan paling utama adalah apabila kanser merebak ke kelenjar limfa (bahagian sistem imun badan).

Kredit foto: Thirdman

“Jika ia merebak ke kelenjar limfa, ia akan merebak ke organ lain,” katanya.

Apabila kanser menular, semakin sukar untuk merawat dan kadar survival menurun.

Sebaik sahaja pesakit mencapai tahap 4, rawatan semasa melibatkan penjagaan paliatif, secara asasnya cuba menyekat kanser daripada merebak dan sebarang kesakitan.

Doktor swasta mempunyai lebih ramai pesakit kanser payudara tahap awal berbanding doktor di hospital kerajaan.

Sementara itu, Ketua Onkologi dan Radioterapi, HKL, Dr Ros Suzanna Ahmad Bustaman, berkata, berita berkenaan bukanlah satu berita yang suram dalam sistem penjagaan kesihatan awam.

Kredit foto: SHVETS production

“Hakikatnya, lebih ramai pesakit yang datang pada tahap yang awal. Kami menerima lebih ramai pesakit tahap 1 dan tahap 2,” katanya.

Apa-apa pun, tahap kesedaran tentang kanser payudara semakin meningkat berbanding puluhan tahun lalu, berdasarkan perangkaan laporan pertama Daftar Kanser Kebangsaan 2007–2011.

APA YANG MENGHALANG PENGESANAN AWAL?

Menurut Cancer Research Malaysia, kadar saringan yang rendah, satu daripada 10 wanita yang membuat saringan berlaku kerana sebahagian besarnya berasa takut, salah maklumat, stigma dan tidak ada kena mengena dengan tahap pendidikan.

Menurut Dr Hafizah, kebanyakan pesakit tahap lewat beliau berpendidikan, tetapi takut untuk ke hospital apabila mengesan ketulan dalam payudara sehinggalah mereka berasa sakit yang kebiasaannya sudah agak terlewat.

Kredit foto: Alex Green

Berkongsi pandangan Dr Hafizah, Pakar Bedah Payudara dan Endokrin, Dr Saladina Jaszle Jasmin berkata, ‘rasa sakit bukan gejala kanser payudara (pada tahap awal).’

Apabila kanser payudara menyebabkan rasa sakit dalam payudara, ia kerana ketumbuhan telah membesar dan menembusi kulit, menyebabkan kesakitan, ada lelehan cecair, gatal dan bau busuk.

FAKTOR BUDAYA

Kredit foto: Anna Shvets

Faktor budaya mungkin memainkan peranan kesejahteraan pesakit. Kaum Melayu, di sebalik mempunyai kadar satu dalam 30 untuk mendapat kanser payudara, tetapi kadar survival 44.9 peratus selepas lima tahun.

Wanita Cina mempunyai kadar kes tertinggi iaitu satu dalam 22, tetapi mempunyai kadar survival 55.5 peratus, sementara wanita India, mempunyai satu dalam 28 orang mendapat kanser payudara dan kadar survival 58.3 peratus, menurut MyScan.

Iklan

Doktor yang dtemu bual memberitahu Bernama, sebahagian besar pesakit Melayu mereka, pesakit paling ramai dalam sistem penjagaan kesihatan aewam, memilih untuk rawatan alternatif.

Antara sebab yang mereka berikan untuk menolak rawatan konvensional termasuk tidak mahu kehilangan payudara mereka serta takut dengan kesan sampingan rawatan kanser.

Kredit foto: Thirdman

“Sewaktu kami berbincang dengan pesakit, kami akan berterus terang. Apa yang terjadi, apa potenSi kesan sampingan. Jadi kebiasaannya, kami akan bentangkan semua dan pesakit akan menyoal tentang kesan sampingan dan sudah tentu mereka akan lari. Namun, perubatan alternatif, mana ada (bagi amaran). Semua akan janji yang baik-baik, tak ada kesan sampingan, tak perlu bedah, memanglah siapa yang tak nak?

“Dal hal ini, kami akan kehilangan pesakit yang memilih rawatan alternatif,” katanya.

Selain rasa takut, kos dan sumber turut menjadi cabaran.

Kaum wanita di luar bandar dan pusat bandar berasa sukar untuk mendapatkan kemudahan saringan dan rawatan kerana komitmen masa.

Kredit foto: Anna Tarazevich

Hospital di kawasan luar bandar juga tidak mempunyai banyak sumber seperti HKL dan hospital swasta. Untuk ke hospital dari kawasan luar bandar melibatkan masa dan wang.

Pakar bedah payudara, hanya ada kira-kira 30 orang di Malaysia. Meskipun, semua hospital kerajaan mempunyai mesin mamogram, bukan semua mesin versi yang terkini.

Pertubuhan bukan kerajaan seperti Breast Cancer Wellness Association (BRCWA) cuba memenuhi jurang dengan pergi ke kawasan luar bandar untuk menyediakan kemudahan pemeriksaan klinikal payudara dan mengajar mereka cara melakukan sendiri.

Pesara jururawat dan Pengurus Outreach Komuniti di BRCWA, Datin Matron Zainab Abdullah memberitahu Bernama, walau sumber untuk wanita di luar pusat bandar sudah bertambah baik, namun masa menunggu hanya menunjukkan sedikit peningkatan.

“Kalau boleh, masa menunggu untuk mereka berjumpa (pakar) itu dapat dipendekkan. Hingga kini, memang ada penambahbaikan, tapi belum lagi mencapai tahap cepat yang kita nak sasarkan,” katanya sambil menambah, di sesetengah tempat, masa menunggu itu mungkin sehingga dua bulan.

INFO
TAHAP kanser payudara:

Iklan
Kredit foto: Thirdman

Tahap 1 – Ketumbuhan di bawah 2sm dan belum merebak ke kelenjar limfa. Jarang boleh dikesan dengan sentuhan. Mempunyai peluang survival 88 peratus. Kanser payudara Tahap 1 bermakna kanser adalah kecil dan hanya berada dalam tisu payudara atau mungkin didapati di dalam kelenjar limfa hampir kepada payudara. Kadar survival 87.5 peratus.

Tahap 2 – Ketumbuhan antara 2sm dan 5sm. Kanser sama ada di dalam payudara atau di dalam kelenjar limfa atau kedua-duanya sekali. Ini adalah peringkat awal kanser payudara. Kadar survival lima tahun selepas didiagnosis di Malaysia, 80.7 peratus.

Tahap 3 – Kanser lebih daripada 5sm lebar dan merebak dari payudara ke kelenjar limfa hampir kepada payudara atau kulit payudara atau dinding payudara. Kadar survival selepas lima tahun didiagnosis di Malaysia, 59.3 peratus.

Tahap 4 – Kanser sudah merebak ke bahagian lain badan. Kadar survival lima tahun selepas didiagnosis di Malaysia, 23.3 peratus.

Sumber: Cancer Research UK; Dr. Hafizah Zaharah Ahmad; 2018 MyScan*

Nota: Kesemua sumber dari Bernama

Baca juga: Enggan cepat mengalah, kisah perjuangan bekas pesakit kanser payudara ini menyuntik inspirasi

Baca juga: Kadar kelangsungan penghidap kanser payudara rendah di Malaysia. Buat saringan awal kurangkan kes kematian

Kredit foto utama: Anna Tarazevich 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi