MESKIPUN tiada lagi kematian yang disebabkan oleh penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di Selangor setakat hari ini, ramai ibu bapa terutama yang tinggal di Selangor meluahkan kebimbangan.

Masakan tidak, setakat Jumaat lalu, 4,383 kes dilaporkan dengan 103 kluster melibatkan 497 kes. 95 peratus daripadanya melibatkan kluster di taska, tadika termasuk pusat jagaan harian.

Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam satu kenyataan menggesa orang ramai khususnya pengusaha serta penjaga kanak-kanak untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti sentiasa memastikan kebersihan premis terutama lantai, bilik air dan peralatan yang digunakan kanak-kanak.

Selain itu, pihak yang terbabit perlu membuat saringan di pintu masuk premis, sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan ketika menguruskan kanak-kanak, memastikan lampin pakai buang dibuang dalam tong yang bertutup serta melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berdekatan.

Apa itu HFMD dan apakah implikasinya kepada kesihatan? Adakah ia tidak boleh disembuh dan memudaratkan?

Untuk memberi pencerahan lanjut, SinarPlus merujuk soal jawab yang disediakan oleh Sektor Zoonosis, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Baca juga 5 wabak pernah melanda Malaysia termasuk Zika, selesema burung

1. Apakah penyakit HFMD?
-HFMD disebabkan oleh enterovirus. Dua jenis virus utama penyebabnya adalah Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus-71 (EV71).

2. Siapa yang berisiko mendapat jangkitan HFMD?
-Sesiapa sahaja pada semua peringkat umur, tetapi tetapi kanak-kanak berusia di bawah lima tahun mudah mendapat jangkitan. 90 peratus kes HFMD berlaku pada kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke bawah.

3. Apakah tanda dan gejalanya?
-Ia biasanya bermula dengan demam, rasa tidak sihat yang disusuli dengan kurang selera makan. Dalam sehari atau dua, luka (ulser) pada mulut akan timbul.
-Sebilangan kanak-kanak mungkin mengalami ruam merah pada tapak tangan atau celah jari yang berkemungkinan menjadi lepuh.
-Ruam ini juga boleh terjadi pada lutut, siku dan bahagian bawah badan kanak-kanak. Ruam merah ini biasanya tidak menyebabkan kegatalan.
-Kekeringan badan atau dehidrasi akan mudah terjadi disebabkan ada sebilangan kanak-kanak menjadi kurang selera makan dan minum akibat sakit pada mulut.
-Perlu diketahui, tidak semua kanak-kanak yang dijangkiti penyakit ini akan mengalami tanda dan gejala yang sama.
-Sesetengahnya mungkin hanya mengalami ruam merah atau lepuh pada kulit atau luka pada mulut. Sebilangan kanak-kanak lain mungkin dijangkiti tanpa kehadiran sebarang tanda atau gejala.

4. Bagaimana ia berjangkit?
-Penyakit HFMD adalah sejenis penyakit berjangkit. Virus penyebab penyakit ini boleh ditemui pada hidung, tekak, cecair lepuhan kulit dan pada najis pesakit.
-Virus akan tersebar daripada pesakit kepada orang lain (khususnya kanak-kanak) adalah melalui:

i) Batuk atau bersin.
ii) Hubungan rapat, contohnya bermain.
iii) Berlaku sentuhan dengan cecair lepuhan atau najis pesakit.
iv) Perkongsian peralatan makanan seperti sudu, garpu atau peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan berus gigi.
v) Bersentuhan dengan permukaan atau barang yang telah dijangkiti virus seperti pemegang pintu tandas.
vi) Pesakit boleh menyebarkan virus dalam tempoh seminggu ia mengalami gejala dan tanda-tanda penyakit HFMD.

5. Berapa lama enterovirus boleh hidup di permukaan?
-Enterovirus boleh hidup beberapa hari atas permukaan dalam suhu bilik. EV71 adalah virus tanpa selaput, maka ia amat sukar untuk dimusnahkan oleh suhu persekitaran biasa.
-Kajian menunjukan virus EV71 di atas permukaan plastik yang didedahkan kepada persekitaran panas dan lembap masih berupaya menyebabkan penyakit dalam masa tiga hari.

6. Bagaimana penyakit HFMD dirawat?
-Tiada ubatan atau rawatan khusus untuk membunuh virus penyakit ini. Rawatan diberi bagi mengurangkan suhu badan (akibat demam) dan kesakitan pada mulut sahaja.
-Amat penting kanak-kanak yang dijangkiti penyakit HFMD diberikan minuman secara berterusan untuk mengelakkan dehidrasi.
-Jangkitan penyakit ini selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan ia sembuh dengan sendiri dalam tempoh tujuh hingga 10 hari apabila ketahanan atau imuniti tubuh terbentuk.

Baca juga Dua beradik hidap penyakit jantung berlubang mohon bantuan orang ramai, si adik memerlukan pembedahan segera

7. Bagaimana untuk mengesan penyakit HFMD yang teruk?
-Apabila penyakit ini membawa kesan kepada otak ataupun jantung, kanak-kanak yang dijangkiti biasanya akan menunjukkan gejala seperti berikut:

i) Sakit kepala, pening dan ketegangan pada leher.
ii) Perasaan cepat marah, mengantuk dan menjadi keliru.
iii) Sawan atau pergerakan tak normal.
iv) Pernafasan cepat atau menjadi pucat atau lesu.

9. Adakah penyakit HFMD memudaratkan?

-HFMD selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan ia akan sembuh dengan sendiri.
-Namun begitu, segelintir pesakit HFMD yang disebabkan oleh jangkitan virus EV71 boleh menyebabkan komplikasi seperti radang otak dan jantung.

10. Bolehkah seorang mendapat penyakit HFMD semula?

Ya, boleh kerana penyakit HFMD disebabkan oleh pelbagai virus di dalam kumpulan enterovirus sekiranya jangkitan kedua disebabkan oleh virus yang berbeza.

Iklan

11. Bolehkah seorang wanita mengandung dijangkiti HFMD dan apakah kesannya?

-Ya, risiko jangkitan perempuan mengandung adalah sama seperti orang dewasa yang lain.
-Sehingga kini, tiada kajian menunjukkan kesan kepada bayi dalam kandungan.

-Namun, sekiranya ibu mendapat jangkitan HFMD sekitar minggu terakhir mengandung dan kelahiran, terdapat risiko anak yang dilahirkan akan mendapat jangkitan penyakit HFMD.

12. Bolehkah penyakit ini dielakkan?
-Sehingga kini, tiada ubat atau vaksin yang boleh mencegah penyakit HFMD. Oleh itu, orang awam perlu mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

i) Kerap cuci tangan terutamanya selepas menyentuh pesakit HFMD atau barangan yang digunakan pesakit.
ii) Elakkan sentuhan langsung dengan pesakit.
iii) Elakkan daripada berkongsi peralatan makanan dan barangan peribadi dengan pesakit HFMD.
iv) Jangan menyentuh bahagian tubuh seperti mata, hidung dan mulut selepas menyentuh pesakit HFMD.
v) Pastikan kebersihan persekitaran rumah atau tempat kerja dengan mencuci atau menyahkuman permukaan lantai dan tandas.

13. Bagaimana menguruskan pesakit di rumah?

Iklan

Kanak-kanak yang mendapat jangkitan ringan boleh dirawat di rumah dengan panduan berikut:

-Mendapat rehat yang secukupnya.
-Diberi rawatan perubatan sebagaimana dinasihatkan untuk mengurangkan demam dan sakit mulut.
-Galakkan pesakit meminum air dan mengambil makanan dan minuman kegemaran mereka.
-Buat pemantauan rapi bagi mengenalpasti tanda dan gejala yang serius seperti kekeringan atau dehidrasi badan dan keletihan yang teruk.

Justeru, kepada semua ibu bapa di luar sana, berwaspadalah. Tahap bahayanya HFMD sama seperti jangkitan-jangkitan lain.

Pastikan pusat jagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah sentiasa dalam keadaan bersih. Tegurlah pengusaha secara berhemah jika mereka tidak mengamalkan kebersihan seperti yang disyorkan demi kebaikan bersama.

Satu lagi yang SinarPlus nak ingatkan, jangan lupa buang lampin terpakai anak-anak ke dalam tong sampah yang bertutup. Bukan apa, ramai yang abaikan amalan ini. #kitajagakita

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI