Pesakit wajib habiskan antibiotik yang diberi doktor. Ini kesannya jika arahan tak dipatuhi

MEMETIK kajian bertajuk The State of the World‘s Antibiotics Report (2021) yang diterbitkan oleh Center For Disease Dynamics, Economics and Policy, penggunaan antibiotik secara global telah meningkat sebanyak 65 peratus antara tahun 2000 hingga 2017.

Walaupun pengambilannya semakin meluas, masih ramai lagi yang tidak jelas apa fungsi ubat berkenaan.

Secara umumnya, antibiotik tidak boleh diambil semberono begitu sahaja, sebaliknya perlu mendapat preskripsi daripada doktor terlebih dulu.

Kepada Pakar Perubatan Keluarga, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim beberapa pertanyaan lanjut diajukan.

Kredit foto: Pietro Jeng

Ujar Dr Megat Mohamad, bukan semua patogen (kuman atau virus) boleh dirawat dengan antibiotik. Misalnya, ia tidak diberikan kepada mereka yang dijangkiti kulat, virus dan parasit.

“Antibiotik hanya berkesan kepada pesakit yang diserang bakteria seperti haemophilus influenza dan streptococcus. Ia biasanya menjangkiti manusia sama ada melalui hidung, salur kencing, mata, tekak dan luka,“ katanya.

Pun demikian, ujar pakar itu lagi, ubatan berkenaan boleh digunakan untuk tujuan pencegahan sebelum seseorang dijangkiti bakteria.

“Lazimnya, pengamal perubatan akan beri kepada askar yang ingin melakukan operasi masuk hutan. Golongan ini sememangnya berisiko terdedah dengan virus kencing tikus dan malaria,“ ujarnya

Menjawab satu soalan, Dr Megat Mohamad berkata, tidak menghabiskan antibiotik lantaran yakin diri sudah pulih sepenuhnya daripada penyakit, itu adalah satu tindakan yang tidak tepat.

Kredit foto: CDC

“Bukan sahaja keberkesanannya tak dapat dicapai, malah ia tidak akan membuatkan bakteria mati sepenuhnya. Ia (bakteria) akan bermutasi sehingga menyebabkan kerintangan antibiotik berlaku,“ katanya.

Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), Amerika Syarikat (AS), kerintangan antibiotik boleh berlaku apabila seseorang sedang dirawat di hospital.

Kerintangan antibiotik merujuk keadaan apabila antibiotik hilang keupayaan membunuh atau menghalang pembiakan bakteria sehingga ia menjadi kebal (terhadap antibiotik) dan rawatan sedia ada tidak lagi berkesan.

Ujar CDC, kebanyakan pusat perubatan mempunyai kuman yang memiliki daya tahan terhadap antibiotik.

Kredit foto: Polina Tankilevitch

Sentuhan semestinya tidak dapat dielakkan sekiranya seseorang pesakit memerlukan penjagaan rapi. Keadaan itu secara tidak langsung akan memudahkan penyebaran virus.

Bagi mengelakkannya, jururawat atau doktor disaran sentiasa membersihkan tangan terlebih dulu sebelum memulakan rawatan.

Pun demikian, jika berlakunya kerintangan antibiotik, jangkitan kuman akan semakin sukar untuk dirawat.

Organ rosak & kanser

Dalam pada itu, National Foundation for Infectious Disease, AS, menyenaraikan beberapa kaedah bagi mencegah rintangan antibiotik. Antaranya:

i) Cuci tangan: Mencuci tangan dengan kerap dapat membantu melawan kuman dan mencegah penyakit.
ii) Bertanya soalan: Pesakit ada hak untuk bertanya dengan doktor tentang antibiotik yang diberikan dan kesannya.
iii) Elak berkongsi atau guna sisa antibiotik: Pesakit perlu patuh terhadap jumlah antibiotik yang ditetapkan.
iv) Penyediaan makanan selamat: CDC menjelaskan makanan seperti daging, buah-buahan dan sayur-sayuran mudah tercemar dengan bakteria. Justeru, bersih, asing, masak dan sejukkan bahan makanan tersebut.
v) Vaksin: Orang ramai perlu tahu tentang semua imunisasi yang boleh membantu mencegah penyakit.

Kredit foto: Artem Podrez

Seperti yang diperkatakan tadi, tidak semua kuman boleh dirawat dengan antibiotik. Justeru, perspektif liar yang berlegar kononnya ubat itu berkesan mencegah flu, virus Covid-19 termasuk jangkitan kulat seperti kurap dan yis pada faraj tidak benar.

Iklan

Menurut penulisan bertajuk Kesan Sampingan Antibiotik, Alahan dan Reaksi yang disiarkan menerusi drugs.com, antibiotik kemungkinan akan memburukkan lagi kondisi kesihatan pesakit dan boleh terjadinya rintangan antibiotik.

Adakah ubat itu akan merosakkan buah pinggang? Menurut National Kidney Foundation, AS, ginjal akan bertindak kepada ubat antibiotik.

Namun, apabila ia tidak berfungsi dengan betul, ubat-ubatan tersebut boleh membina dan membawa kepada kerosakan organ itu.

“Itu sebab pengamal perubatan sering memeriksa ujian darah (buah pinggang) sebelum menetapkan antibiotik untuk pesakit,“ kata mereka.

Kepada kaum Hawa yang terlalu bergantung kepada antibiotik, informasi yang disalurkan Medical News Today perlu diberi perhatian.

Kredit foto: ready made

Ujar sumber sahih itu, kesan sampingan jangka panjang antibiotik kepada golongan tersebut mempunyai kaitan dengan perubahan dalam mikrobiota usus.

Mikrobiota ialah mikroorganisma yang terdapat di saluran pencernaan dan mempunyai peranan penting dalam penjagaan kesihatan manusia.

Iklan

Peralihan itu berisiko mencetuskan pelbagai penyakit kronik seperti kardiovaskular dan kanser tertentu.

Penyelidikan tambahan juga mendapati, pendedahan berpanjangan kepada antibiotik mempengaruhi masalah gastrousus (perut) pada bayi pramatang, sepsis (peradangan ekstrem akibat infeksi) dan kematian dalam kalangan bayi yang memiliki kekurangan berat badan.

Baca juga: Para ibu kena kawal pemakanan, ubatan dan penyakit kencing manis untuk elak bayi menderita jantung berlubang

Baca juga: Hilangkan batuk tanpa ubat, wanita boleh cuba cara urutan 3 titik

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi