Potong usus: Ini jawapan pakar bariatrik untuk cantik atau sihat

potong usus
October 11, 2020
Oleh Izyan Liyana

SIRI 1

BAIK pakar tempatan mahupun luar negara, mereka sudah berkali-kali menegaskan bahawa bariatrik bukan pembedahan kosmetik ataupun kaedah sedut lemak untuk cantik dalam tempoh singkat.

Sebaliknya, bariatrik yang diperkenalkan oleh dua pakar pembedahan di Universiti Iowa, Amerika Syarikat sekitar tahun 1965 itu adalah prosedur untuk menangani obesiti.

Perkara sama turut diakui oleh Pakar Bariatrik KPJ Damansara, Prof Datuk Dr Haron Ahmad yang menjelaskan, pembedahan bariatrik antara kaedah selamat, cepat dan mudah untuk menurunkan berat badan.

DR HARON
DR HARON memberitahu, prosedur bariatrik bukan jalan pintas untuk cantik, sebaliknya membantu individu mengurangkan berat badan selepas gagal menjalani diet dan senaman.

“Lazimnya, alternatif ini disarankan kepada individu obes yang gagal kurus biarpun telah mengamalkan diet seimbang dan bersenam atau sel-sel lemak sudah terlalu degil.

“Pun begitu, kira-kira 90 peratus calon dibenarkan menjalani prosedur bariatrik terdiri daripada mereka yang mempunyai (BMI) lebih 32kg/m selain berdepan dengan masalah komorbiditi seperti diabetes, darah tinggi dan komplikasi jantung,“ katanya ketika ditemui SinarPlus baru-baru ini.

Secara ringkas, bariatrik merupakan pembedahan mengecilkan saiz perut bagi membantu seseorang mengawal selera makan sekali gus menggalakkan seseorang berasa cepat kenyang.

Prosedur tersebut terbahagi kepada tiga kategori iaitu gastrektomi lengan (Sleeve Gastrectomy), pintasan gastrik (Gastric Bypass) dan band gastrik boleh laras (Adjustable Gastric Band). Setiap jenis pembedahan itu mempunyai fungsi tersendiri.

“Apabila bercakap bariatrik dapat mengelakkan makan secara berlebihan, ada berpendapat, tubuh badan akan lemah kerana tiada tenaga. Sebab itu, pesakit perlu bijak memainkan peranan mengatur diet. Lagipun usah bimbang kerana lemak-lemak dalam badan akan bertukar menjadi tenaga.

“Paling utama, selepas melakukan prosedur ini (bariatrik) kualiti hidup pesakit semakin baik. Penyakit berkait rapat dengan obesiti (kencing manis, darah tinggi atau sakit belakang) juga dapat dicegah sedikit demi sedikit,“ ujarnya.
Dr Haron menambah, kajian juga merekodkan hasil keberkesanan pembedahan bariatrik adalah antara 60 hingga 80 peratus.

Segala penyakit kronik yang berlaku, punca utamanya dikatakan berpunca daripada masalah obesiti. Apa respons pakar terbabit?

“Ya, benar. Prosedur bariatrik misalnya, secara tidak langsung dapat membantu mencegah diabetes jenis dua iaitu ‘ibu‘ segala penyakit.

“Ini disebabkan daripada diabetes, seseorang berisiko berdepan penyakit tiga serangkai, penyakit hati dan kanser. Lebih membimbangkan, virus Covid-19 juga mudah menyerang golongan obesiti,“ terangnya kepada SinarPlus.

Iklan

Menjawab soalan adakah seseorang mampu terus bertahan dengan berat badan baharu selepas prosedur, lebih-lebih lagi jika mereka silap percaturan ketika berdiet atau amalan gaya hidup?

“Jawapan saya benar dan tidak benar. Sekiranya pesakit mengambil ringan corak pemakanan tidak mustahil mereka akan naik berat badan. Namun begitu, untuk pesakit kembali pada berat badan asal adalah mustahil kerana saiz perut tak sama seperti sebelum pembedahan,“ katanya.

Pun demikian, beliau menambah, seseorang yang sudah menjalani pembedahan boleh menjalani prosedur buat kali kedua.

“Namun, ia hanya melibatkan pesakit yang melakukan pembedahan gastrektomi lengan, diubah suai pada pintasan gastrik untuk fasa kedua,“ ulas beliau.

diet
SELEPAS melakukan pembedahan bariatrik calon harus bijak mengatur pelan pemakanan untuk memiliki berat badan ideal dan memastikan kestabilan kondisi kesihatan.

Kecilkan saiz hati
Berbicara pra dan pascapembedahan bariatrik pula, Pakar Pembedahan Bariatrik dan Upper Gastroenterologi, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Yeap Chee Loong memberitahu, calon perlu melalui beberapa proses utama antara enam minggu hingga tiga bulan sebelum menjalani prosedur. Proses berkenaan bukan sahaja melibatkan pesakit dan pakar bariatrik, bahkan kumpulan pakar lain turut dirujuk.

“Langkah ini penting untuk memastikan kesihatan mereka stabil. Selain pakar pemakanan yang bertindak mengenal pasti sejarah diari diet, calon juga akan menjalani sesi konsultasi dan ujian saringan bersama pakar fisioterapi, pakar endokrinologi dan pakar jantung.

“Prosesnya bukan datang ke hospital berjumpa doktor, keesokan harinya terus menjalani pembedahan. Praprosedur tahap kesihatan pesakit melibatkan kencing manis, darah tinggi, jantung dan kadar kolesterol harus distabilkan termasuk memasukkan endoskopi (untuk memeriksa bahagian dalam perut),“ jelas beliau.

Pada masa sama, pakar perubatan turut bertindak menjadikan darah pesakit lebih cair bagi mengelakkan ia beku.

Iklan

Selain kesihatan dan persediaan dari segi mental serta fizikal, Dr Chee Loong juga menerangkan, dua minggu sebelum prosedur bariatrik, pesakit disarankan mengamalkan diet kalori sangat rendah (VLCD) atau dikenali diet kebuluran.

Pada fasa ini, mereka perlu mengehadkan hidangan 800 jumlah kilokalori (3,300 kJ) sehari atau kurang berbanding hari normal yang biasanya mencecah 1,500 hingga 2,000 kJ sehari.

“Selain karbohidrat, calon tidak digalakkan mengambil gula dan lemak, sebaliknya meningkatkan makanan tinggi protein untuk jisim otot tanpa lemak serta minum air putih sebanyak dua liter bergantung pada saiz badan.

“Sebab utama VLCD dilaksanakan bertujuan membiasakan calon dengan corak pemakanan baharu dan mempercepatkan proses menurunkan berat badan. Impaknya, lemak-lemak dalam badan juga dapat dikurangkan.

“Ini termasuklah mengecutkan saiz hati terutamanya hati berlemak bagi elakkan risiko pendarahan semasa pembedahan dan kebocoran selepas prosedur,“ terangnya sambil menyatakan saiz hati yang besar akan memberi kesukaran terhadap proses pembedahan kerana menghalang perut.

DR CHEE LOONG
DR CHEE LOONG menunjukkan hati perlu dikecilkan terlebih dahulu bagi mengelakkan risiko pendarahan semasa pembedahan dan kebocoran selepas prosedur bariatrik.

Ujar pakar itu lagi, selepas pembedahan bariatrik, pesakit akan mengamalkan diet cecair rendah lemak dan rendah gula. Jus buah tidak disyorkan kerana tinggi kandungan gula dan kalori.

“Nak atau tak, calon harus mengikut diet cecair yang mana hari pertama selepas pembedahan mereka akan diberikan air putih sahaja. Seterusnya, barulah diikuti minum susu dan sup tertentu.

“Menerusi diet cecair, ia membantu menyembuhkan luka dalaman dan jahitan. Lagipun perut masih belum mampu menampung makanan berat dan keras selepas pembedahan,“ katanya.

Berdasarkan rekod, pada peringkat berkenaan, 90 peratus pesakit berjaya mengurangkan beberapa kilogram daripada berat badan asal.

Dr Chee Loong menambah, selesai diet cecair selama dua minggu, pelan pemakanan pesakit akan berubah pada diet tekstur lembut berasaskan puri dan bubur sebelum dibenarkan menikmati hidangan normal.

Bagaimanapun, perubahan diet bergantung pada progres kesihatan calon bariatrik.

SinarPlus sempat bertanyakan jenis diet bersesuaian dengan gaya hidup dan konsep masakan rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya berasaskan minyak dan santan. Jawapan Dr Chee Loong:

“Dalam aspek pemakanan, tiada kajian khusus menunjukkan sama ada diet keto ataupun diet Intermittent Fasting (IF) ideal untuk seseorang. Secara logik, individu tidak akan mengamalkan diet-diet berkenaan sepanjang hidup.

“Justeru, cara terbaik adalah menitikberatkan output dan input makanan harian. Ambil kira defisit kalori dan kurangkan gula, lemak serta karbohidrat termasuk bersenam tiga kali seminggu.“

bariatrik
JADUAL di atas menunjukkan kelebihan dan kelemahan prosedur bariatrik.