BERHADAPAN dengan masalah senggugut setiap kali datang haid sememangnya mengganggu emosi, corak pemakanan dan membuatkan tubuh rasa begitu lesu.

Sudah tentu kesakitan itu boleh mengganggu rutin harian penghidapnya.

Cerita rakan SinarPlus, senggugut pada zaman remajanya begitu teruk. Banyak kalilah beliau pengsan angkara tidak dapat mengawal kesakitan yang melampau.

Sebenarnya, mereka yang melaluinya pasti telah melakukan pelbagai cara untuk mengurangkan rasa nyeri.

Antaranya dengan makan ubat tahan sakit, tuam perut dengan air panas, menyapu minyak angin dan macam-macam lagilah. Namun, sakit itu hilang buat sementara waktu sahaja.

Kredit foto: Victoria Bowers

Kalau ‘dibelek’ petua di laman sosial, ramai yang berkongsi bermacam-macam cara mengurangkan senggugut.

Antara yang sempat SinarPlus baca adalah dengan minum air suam, air kunyit dan kerapkan bersenam.

Bagaimanapun, terdapat satu perkongsian di laman sosial, TikTok yang telah menarik perhatian kami iaitu hantaran yang dibuat oleh @_sitimariamzainon.

Siti Mariam telah memuat naik tentang kebaikan pengambilan safron ketika datang haid.

Kredit foto: Sora Shimazaki

Beliau telah mengamalkan safron lantaran haidnya yang tidak teratur dan kerap mengalami senggugut.

“Bagi mereka yang ada masalah senggugut dan haid disebabkan pengambilan pil perancang, amat digalakkan untuk ambil safron,” katanya.

Baca juga: Panadol bukan untuk sayur, petua tidak relevan dan boleh memudaratkan. Ini 2 cara mudah pastikan herba tahan lebih lama

Hal berkenaan juga dibincangkan oleh seorang pegawai perubatan, Klinik Mahsuri, Langkawi, Perlis, Dr Sandra Raman yang turut memberi komentar tentang khasiat safron.

Kredit foto: cottonbro studio

Menerusi rakaman berdurasi tiga minit itu, Dr Sandra berkata, terdapat keunikan yang ada pada safron jika digunakan oleh wanita.

Antaranya ia dapat meningkatkan semula hormon serotonin (hormon yang menggembirakan di dalam badan).

“Biasanya wanita yang berhadapan dengan stres boleh menyebabkan haid tidak teratur. Apabila seseorang ambil safron, ia dapat membantu mengurangkan tekanan dan boleh membetulkan kembali kitaran darah kotor.

“Bukan itu sahaja, sesetengah wanita mengalami senggugut teruk sebelum bermulanya haid. Jadi, mereka digalakkan untuk mengambil safron kerana ia dapat mengurangkan gejala-gejala tersebut,” jelasnya.

Kredit foto: Pixabay

Kelebihan yang terakhir adalah ia dapat mengurangkan oxidative stress. Ia merupakan ketidakseimbangan antara penghasilan radikal bebas dan keupayaan badan untuk melawan atau menyahtoksin bahan berbahaya.

“Apabila safron mengurangkan oxidative stress, badan kita akan berasa lebih ringan dan bertenaga,” tuturnya.

Bagaimana pula cara pengambilan safron bagi mereka yang sedang ambil ubat-ubatan?

“Untuk pengetahuan semua, suplemen-suplemen tambahan seperti itu boleh bercanggah dengan ubat anda. Jadi, sebelum mengamalkan safron, pastikan anda bertanya terlebih dahulu kepada doktor, adakah suplemen tersebut sesuai untuk dimakan?” katanya.

Kredit foto: freestocks.org

Dalam pada itu, laman perubatan Healthline turut menyenaraikan keistimewaan safron, antaranya:

i) Dapat mengurangkan risiko penyakit jantung.
ii) Boleh mengurangkan kandungan gula dalam darah.
iii) Berupaya untuk meningkatkan keupayaan melihat bagi orang dewasa yang ada degenerasi makular berkaitan umur.
iv) Boleh membantu meningkatkan ingatan bagi golongan yang ada penyakit Alzheimer.
v) Berupaya untuk mengurangkan selera makan dan bantu mengurangkan berat badan.

Kebaikan safron tidak dapat disangkal lagi, namun bagi mereka yang ingin mengambil suplemen herba itu, sebaiknya dapatkan konsultansi daripada doktor.

Sebelum itu, pengambilan safron (untuk dijadikan air) disarankan diminum untuk sekali seminggu sahaja.

Baca juga: Awas! Anak-anak yang terlalu hiperaktif mungkin ada ADHD. Ini cara berkesan untuk mencegah masalah itu

Baca juga: Membayangkan tekak dibasahi Air Soda Laici Herba memang menggiurkan

Kredit foto utama: Sora Shimazaki & Victoria Bowers

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi