KETIKA masih bergelar mahasiswi di sebuah universiti, Hamimah Roslan mempunyai tabiat buruk mengeluarkan semula makanan yang telah dimakan.

Cara yang selalu dilakukan adalah dengan menjolok tekaknya dengan jari telunjuk. Matlamat wanita tersebut cuma satu. Beliau tidak mahu nampak gemuk.

Serentak dengan itu, empunya diri juga kerap melakukan senaman keterlaluan.

Walaupun caranya dilihat umpama satu penyeksaan atau membuli diri sendiri, Hamimah tidak kisah. Seboleh-bolehnya, beliau mahu memastikan diri sentiasa kurus persis seorang model.

Selepas umur mencecah 30-an, anak kelahiran Kuala Lumpur itu baru menyedari bahawa perbuatan tersebut yang dikenali sebagai Bulimia nervosa hanya memakan diri sendiri.

Kini, beliau berdepan dengan masalah gangguan pemakanan yang membahayakan kesihatan fizikal dan juga psikososialnya.

Mengupas lebih lanjut tentang Bulimia nervosa, SinarPlus mewawancara Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Columbia Asia Hospital, Dr Nor Rahidah Abdul Rahim.

Jelas Dr Nor Rahidah, seseorang yang berdepan dengan situasi itu lazimnya mengalami gangguan makan yang serius.

Ini kerana mereka cenderung menghadam makanan dengan banyak dalam jangka masa pendek, kemudian merasa bersalah lalu menghilangkan kalori tersebut dengan cara yang tidak sihat.

“Biasanya pesakit akan mengeluarkan makanan tersebut secara paksa seperti menjolok tekak menggunakan tangan, memakan julap dan mengambil ubat menurunkan berat badan,“ katanya.

Beritahu beliau lagi, pesakit Bulimia nervosa juga sering dilihat mengamalkan diet yang ketat atau berpuasa, selain melakukan senaman berlebihan bagi mencegah kenaikan berat badan.

Genetik dan masalah biologi

Memperincikan lebih lanjut, Dr Nor Rahidah berkata, Bulimia nervosa boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina dan latar belakang sosial.

Pun demikian, masalah tersebut lebih banyak melanda kepada kaum Hawa dengan nisbah 10 wanita berbanding seorang lelaki.

Mengapa situasi itu berlaku? Jawapannya, perempuan mempunyai kemahuan yang lebih tinggi untuk kelihatan mempesona.

Seperkara, mereka juga lebih mudah mendapat atau memberi respons kepada kritikan yang dilontarkan oleh orang sekeliling terutama daripada ahli keluarga.

“Apabila melihat orang lain lebih cantik, wanita juga mempunyai keinginan untuk kelihatan sama atau lebih daripada itu,“ katanya.

Baca juga:  Nak tahu produk itu sesuai atau tidak dengan kita? Pakar kulit ini beri tunjuk ajar

Sementara itu, laman web perubatan antarabangsa, Cleveland Clinic dalam penulisannya menyatakan, Bulimia nervosa biasanya boleh bermula ketika seseorang masih remaja atau baru memasuki alam dewasa.

Healthline pula mendedahkan, penyelidikan sahih menunjukkan, kira-kira 1.5 peratus wanita dan 0.5 peratus lelaki di Amerika Syarikat akan mengalami masalah itu. Dianggarkan, usia median permulaan adalah sekitar 12 tahun.

Bagi mengetahui mereka sedang mengalami Bulimia nervosa, berikut ciri-ciri yang boleh diperhatikan:

  • Sering ke bilik air terutamanya selepas makan.
  • Melakukan senaman berlebihan.
  • Mementingkan imej badan.
  • Terlalu khuatir berat badan akan naik.
  • Kemurungan, kebimbangan atau penyalahgunaan bahan.
  • Rasa bersalah untuk makan dan kurang bersosial dengan rakan dan keluarga.

Dalam pada itu, Dr Nor Rahidah menjelaskan, punca kepada Bulimia nervosa masih tidak jelas, namun keberangkaliannya mempunyai kaitan dengan genetik.

“Jika ada ahli keluarga yang mengalami gangguan pemakanan, seseorang berisiko empat kali ganda untuk mempunyai tingkah laku yang sama,“ katanya.

Selain genetik, Womens Health of United States berkata, kombinasi antara biologi seseorang, imej badan dan harga diri, pengalaman sosial, sejarah kesihatan keluarga serta penyakit kesihatan mental turut menyumbang.

Para penyelidik dunia juga kata mereka, sedang mengkaji aktiviti ‘luar biasa‘ di dalam otak seperti tahap serotonin atau bahan kimia lain yang mungkin berubah, sekali gus boleh menjejaskan pemakanan.

Baca juga:  Akibat suntik breast filler sendiri, dua wanita diserang sawan. Pakar ini kongsi kisah ngeri

Implikasi yang dahsyat

Masyarakat sering melabelkan mereka yang terkait dengan Bulimia nervosa ialah kumpulan individu yang mengalami gangguan psikologi.

Ternyata cakap-cakap itu benar dan turut diakui oleh Dr Nor Rahidah.

“Apa yang saya boleh katakan, kebanyakan mereka yang mengalaminya berasa tertekan dan tidak mempunyai keyakinan diri.

“Malahan, segelintirnya memerlukan rawatan psikologi kerana kebanyakan pesakit dikesan turut mempunyai masalah keresahan,“ jelasnya.

Tidak hanya itu sahaja, terdapat beberapa komplikasi lain yang boleh dihadapi.

Paling menggusarkan pastinya kecederaan pada perut dan jantung yang disebabkan kehilangan mineral penting dan elektrolit.

Seseorang juga boleh berdepan masalah gigi lantaran asid dalam muntah akan menghakis lapisan luar gigi, selain keradangan pada esofagus.

“Selain itu, muka penghidap boleh bengkak, haid tidak teratur, buah pinggang rosak, ketagihan dan penyalahgunaan bahan, kemurungan termasuk gangguan obsesif-kompulsif (sejenis gangguan mental),“ ungkapnya yang tidak menolak kemungkinan risiko kematian juga boleh terjadi.

Baca juga: Boleh hilang ingatan, sakit darah tinggi jika guna pinggan seramik tinggi plumbum. Pakar ini beri penjelasan

Terapi

Biasanya, pesakit Bulimia nervosa sangat sukar dikesan kerana mereka pandai menyembunyikan tingkah laku yang pelik kepada umum.

Hal berkenaan diperakui oleh Pegawai Perubatan Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Duchess of Kent Sabah, Dr Nur‘Athirah Faisal Sabri.

Jelasnya, penyakit yang sukar dilihat dengan mata kasar itu memerlukan doktor untuk menganalisis sejarah penghidap.

Lazimnya, psikoterapi berbentuk terapi tingkah laku kognitif (CBT) merupakan antara pilihan utama yang dipraktiskan oleh kebanyakan ahli terapi dan juga doktor.

“CBT antara lain membantu mereka melihat sejauhmana tahap pemikiran, emosi dan tingkah laku. Walaupun rawatan itu mengambil masa yang panjang, tetapi ia sememangnya mampu memberi impak positif kepada pesakit.

Baca juga: Pak Lah hidap demensia, tak mampu ingat nama anak. Kenali lebih lanjut penyakit ini

Iklan

“Sekiranya perlu, ubat-ubatan kategori Selective Serotonin Reuptake Inhibitors akan disyorkan. Jika digunakan tanpa rawatan psikoterapi, mereka hanya mempunyai 22 peratus kadar pemulihan. Namun, pada pandangan saya, rawatan akan lebih efektif jika CBR dan ubat digabungkan,“ jelasnya.

Dr Nur‘Athirah menambah, aspek psikopendidikan juga perlu diterapkan kepada pesakit dalam usaha untuk memberi pengetahuan berkaitan gaya hidup sihat dan pemakanan yang seimbang.

“Berdasarkan kajian, 40 peratus pesakit akan sembuh walaupun selepas 10 tahun menjalani rawatan susulan, berbanding mereka yang tidak melakukannya langsung,“ ujarnya.

Dalam pada itu, seandainya Bulimia nervosa melanda kanak-kanak dan golongan muda, National Health Services (NHS), United Kingdom mencadangkan kumpulan itu mendapatkan terapi keluarga.

“Pendekatan ini antara lain melibatkan penghidap dan ahli famili berkomunikasi dengan ahli terapi, meneroka bagaimana masalah itu telah menjejaskan pesakit dan cara terbaik untuk menyokong mereka untuk menjadi lebih baik.

“Mereka juga mungkin ditawarkan dengan CBT yang sama dengan CBT orang dewasa,“ kata NHS.

Pun demikian, golongan dengan Bulimia nervosa boleh dimasukkan ke hospital jika berdepan dengan komplikasi kesihatan yang serius.

Biasanya, pesakit dirawat untuk masa yang singkat.

Baca juga: Kanak-kanak pun ada migrain? Ini 7 cara paling baik bantu si kecil atasi penyakit ini

Baca juga: Tiba-tiba rasa pening sampai susah nak buat kerja, pengamal perubatan ini terangkan punca dan akibat

#kisahresponden

NUR TASHA TERPAKSA JUMPA PSIKIATRI

SEORANG pekerja swasta yang dikenali sebagai Nur Tasha Mohammad, 24, mengakui dirinya merupakan bekas pesakit Bulimia nervosa selepas berdepan dengan satu tragedi hitam.

Ketika berusia 16 tahun, Nur Tasya sering diejek dan dibuli oleh rakan-rakan dek badannya yang gempal.

Iklan

“Walaupun pada mulanya saya tidak kisah, tetapi lama-kelamaan saya mula hilang keyakinan diri. Saya juga sentiasa berfikir dan rasa takut mengenai apa yang orang katakan mengenai diri ini,“ katanya ketika dihubungi.

Disebabkan tekanan yang dihadapi, Nur Tasha berkata, beliau bertindak memuntahkan semula kesemua makanan yang dimakan.

Masih bergelar pelajar ketika itu, gadis tersebut juga sudah berani mengambil ubat pelawas untuk memudahkan proses pencernaan.

Segalanya yang dilakukan oleh Nur Tasha itu jelas menunjukkan beliau memiliki ciri-ciri Bulimia nervosa.

Meskipun melakukannya berkali-kali, empunya diri mengakui, tiada seorang pun ahli keluarga yang dapat mengesan perbuatan buruknya itu.

“Saya lakukan secara sembunyi. Pada masa sama, saya juga jarang bersosial dengan kawan dan ahli famili lain.

“Saya akui, menjadi pesakit Bulimia nervosa memang sangat memenatkan dan memang wujud rasa bersalah sebab akan keluarkan balik makanan. Memang susah nak kikis tabiat ini,“ jelasnya.

Takut bakal berdepan dengan implikasi jangka panjang, Nur Tasha mengambil inisiatif untuk mendapatkan kaunseling dengan seorang pakar psikiatri.

“Selepas saya banyak membaca tentang kesan Bulimia nervosa, saya terpanggil untuk merawat diri sendiri.

“Kalau mahu diikutkan, saya sudah menjalani rawatan hampir setahun lamanya. Saya juga sudah maklumkan kepada mak ayah tentang masalah saya ini. Syukur, mereka memberi sokongan dan menasihatkan saya agar tak mengulanginya lagi,“ katanya.

Baca juga: Migrain: Kaum wanita berisiko diserang 3 kali ganda

Baca juga: Salah makan ubat, kurang minum air, stres, kafein punca migrain. Ini cara paling ampuh atasinya

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.