JIKA ramai menganggap imsonia dan tidur mikro (microsleep) satu kondisi yang berbahaya, terdapat lagi satu situasi yang lebih serius iaitu narkolepsi.

Satu laman web khas yang dibangunkan di Amerika Syarikat (AS) yang khusus memperincikan tentang penyakit itu, https://narcolepsynetwork.org mendedahkan, satu dalam 2,000 penduduk AS menderita masalah berkenaan.

Namun, hanya 25 peratus pesakit yang tampil ke depan untuk didiagnosis dan menerima rawatan.

Para penyelidik di negara itu juga telah mengenal pasti genetik merupakan antara penyebab yang paling kerap dikaitkan dengan narkolepsi dan terjadi kepada kira-kira satu perempat daripada populasi umum penduduk AS.

Memperincikan lebih mendalam mengenai topik itu, SinarPlus mewawancara Pakar Perunding Perubatan, Paru-paru dan Permasalahan Tidur, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa.

Sebelum menjawab beberapa pertanyaan lanjut, Dr Nurul Yaqeen terlebih dulu memberi definisi jelas narkolepsi. Ujar beliau, ia adalah satu permasalahan tidur kronik yang menyebabkan seseorang mengalami masalah mengantuk pada waktu siang yang terlampau.

“Bukan itu sahaja, mereka juga kerap tertidur pada waktu yang tidak sepatutnya. Pesakit narkolepsi juga pada kebiasaannya mengalami masalah untuk berjaga pada waktu yang lama. Sudah semestinya senario ini akan mengganggu aktiviti harian mereka,” terangnya.

Kongsi pakar tersebut lagi, berbanding dengan AS, dianggarkan 30,000 penduduk di United Kingdom mengalami krisis kesihatan itu.

“Sesiapa pun, sama ada lelaki atau perempuan boleh mengalami penyakit ini. Namun, beberapa kajian menunjukkan ia cenderung berlaku kepada kaum lelaki. Simptom narkolepsi ini biasanya sudah mula tercetus pada usia remaja lagi. Kebanyakannya yang didiagnosis dalam kalangan mereka berumur 20 hingga 40 tahun,” ujarnya.

Baca juga: Sebelum jalani ujian pap smear untuk kesan kanser serviks, berikut 5 perkara yang tak boleh wanita lakukan

Satu fakta yang menarik perhatian dan selari dengan dapatan kajian di AS, sejarah keluarga nampaknya sangat mempengaruhi narkolepsi.

Seperti kata Dr Nurul Yaqeen, seseorang lebih berisiko mendapat penyakit tersebut 20 hingga 40 kali ganda lebih tinggi jika salah seorang ahli keluarga mereka menghidapnya.

“Pun demikian, risiko mendapatkan penyakit ini secara keturunan adalah rendah iaitu sekitar 1 peratus sahaja. Kajian juga menunjukkan bahawa ia kemungkinan terkait dengan pendedahan terhadap swine flu (H1N1 flu), namun begitu ia masih di peringkat kajian lagi,” ujarnya.

Keterujaan, kesediaan terlebih

Menyambung hujah, Dr Nurul Yaqeen berkata, punca sebenar narkolepsi sehingga kini masih belum diketahui.

Di sebalik itu semua, ungkapnya, penyelidikan sahih mendapati, pesakit narkolepsi didapati mempunyai kandungan bahan kimia hypocretin dalam otak yang rendah berbanding individu normal. Hypocretin merupakan satu bahan kimia di dalam otak yang sangat penting untuk mengawal selia aktiviti berjaga (wakefulness) dan tidur.

“Oleh kerana kandungannya didapati sangat rendah terutamanya dalam kalangan pesakit narkolepsi yang turut menghidap cataplexy (kondisi yang menyebabkan otot seseorang lemah secara tiba-tiba), ia kemungkinan terkait dengan reaksi autoimun,” jelasnya.

Dr Nurul Yaqeen memberitahu, simptom narkolepsi boleh menjadi semakin teruk untuk beberapa tahun pertama dan boleh berterusan seumur hidup.

Berikut antara signal awal seseorang bakal menderita narkolepsi:

i) Mengantuk yang terlampau pada waktu siang
Pesakit narkolepsi boleh tertidur tanpa sebarang tanda amaran di mana-mana dan pada bila-bila waktu.
Sebagai contoh, ketika bekerja atau ketika bercakap dengan rakan, pesakit boleh tiba-tiba tertidur untuk beberapa minit atau beberapa jam. Apabila terbangun, pesakit akan berasa segar.Namun begitu, akan kembali mengantuk semula.

ii) Kelumpuhan sementara
Pesakit narkolepsi sering mengalami kelumpuhan sementara ketika mahu masuk tidur dan baru bangun daripada tidur. Episod itu kebiasaannya ringkas dan berlaku selama beberapa saat atau minit, namun ia sangat menakutkan. Pesakit boleh merasai dan mengingati kelumpuhan tersebut, tetapi mereka tidak boleh mengawalnya.

iii) Perubahan fasa tidur semasa Rapid Eye Movement (REM) atau pergerakan mata yang cepat
Ia merupakan fasa yang menyebabkan mimpi berlaku. Ia boleh terjadi pada bila-bila masa pada waktu siang. Pesakit kebiasaannya boleh mendapatkan tahap tidur REM setelah tertidur selama 15 minit.

iv) Halusinasi
Dipanggil sebagai halusinasi hypnagogic jika ia berlaku ketika pesakit ingin masuk tidur. Halusinasi hypnopompic pula sekiranya pesakit baru bangun daripada tidur. Misalnya, mereka merasakan terdapat orang asing yang berada di dalam bilik. Situasi tersebut biasanya kabur dan menakutkan kerana berlaku sebelum pesakit lena sepenuhnya dan ia seolah-olah seperti satu realiti.

Menjawab satu soalan lain, pakar perubatan itu memberitahu, kadangkala pesakit narkolepsi turut mengalami masalah kelumpuhan otot sementara iaitu cataplexy.

“Biasanya, ia berpunca daripada perubahan emosi. Narkolepsi yang dialami bersama cataplexy dipanggil jenis 1, manakala narkolepsi yang berlaku tanpa cataplexy dalam kategori jenis 2,” terangnya.

Memperincikan lebih mendalam, beritahu beliau, simptom-simptomnya mula dapat dilihat sekiranya percakapan seseorang individu tidak jelas dan seluruh otot lumpuh yang mana kedua-dua keadaan itu berlaku selama beberapa minit.

“Cataplexy ini tidak boleh dikawal dan hal ini terjadi disebabkan kondisi emosi yang ketara (positif) seperti keterujaan dan ketawa yang terlebih.

“Bukan saja dari sudut positif, adakalanya ia disebabkan ketakutan, terkejut atau amarah. Contohnya, apabila ketawa, kepala pesakit akan tiba-tiba terlentuk tanpa kawalan dan lutut tiba-tiba menjadi lemah sehingga individu itu boleh jatuh tersungkur di atas lantai,” katanya.

Baca juga: Sup ketam, jus betik sembuhkan demam denggi? Ini penjelasan pengamal perubatan

Tiada penawar

Menyentuh soal rawatan, SinarPlus merujuk informasi menerusi laman perubatan terkemuka, Healthline.

Menurut Healthline, terdapat beberapa beberapa penilaian tidur yang biasanya akan disyorkan doktor bagi mengesan narkolepsi. Antaranya:

Iklan
  • Ujian Polysomnogram (PSG): Memerlukan pesakit bermalam di hospital. Pakar akan memantau dan menggunakan elektrod semasa pesakit tidur untuk mengukur aktiviti otak, kadar ritma jantung, pergerakan mata dan otot serta pernafasan.
  • Skala Mengantuk Epworth (ESS): Doktor akan meminta pesakit berkongsi sejarah tidur secara terperinci yang dapat melengkapkan ESS. ESS adalah soal selidik mudah dalam menentukan kemungkinan pesakit akan tidur dalam keadaan yang berbeza.
  • Diari tidur: Doktor akan mengarahkan pesakit menyimpan diari terperinci tentang pola tidur selama seminggu. Rekod tidur ini akan membantu menunjukkan tentang hubung kait di antara kewaspadaan dengan corak tidur.
  • ActiGraph: Ia adalah sistem pemantauan rumah yang menjejaki cara dan waktu seseorang tertidur. Peranti tersebut dipakai seperti jam tangan.
  • Ujian Kependaman Tidur Berbilang (MSLT): Ia menentukan berapa lama masa yang diperlukan untuk pesakit tertidur pada siang hari dan berapa cepat seseorang itu memasuki tidur REM. Ujian tersebut selalunya diberikan sehari selepas PSG. Pesakit perlu mengambil empat hingga lima jam waktu tidur siang (sepanjang hari. Setiap tempoh itu memerlukan sela masa dua jam.

Menurut laman perubatan itu lagi, sehingga kini, narkolepsi tidak mempunyai penawar dan tidak dapat dicegah.

Bagaimanapun, terdapat rawatan khusus yang boleh membantu pesakit mengurang dan menguruskan masalah itu dengan lebih baik, sama ada melalui ubat-ubatan, pelarasan gaya hidup dan mengelakkan aktiviti yang berbahaya.

Baca juga: Jangan pandang remeh masalah tonsil, selain boleh cetuskan kanser, ia boleh akibatkan kematian

Berikut perincian kelas ubat yang akan dicadangkan oleh pakar:

  • Perangsang: Ia termasuk armodafinil (nuvigil), modafinil (provigil) dan methylphenidate (ritalin).
  • Serotonin-norepinephrine reuptake inhibitors (SNRIs): Salah satunya ialah venlafaxine (effexor) yang boleh membantu merawat cataplexy, halusinasi dan kelumpuhan tidur.
  • Selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs): Antaranya seperti fluoxetine (prozac) juga boleh membantu mengawal tidur dan meningkatkan mood pesakit.
  • Natrium oxybate (xyrem): Satu-satunya rawatan yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) untuk mencegah cataplexy dan mengatasi rasa mengantuk yang berlebihan pada siang hari.
  • Pitolisant (wakix): Ia membantu mengeluarkan histamine dalam otak untuk mengurangkan rasa mengantuk pada siang hari. Ia juga telah diluluskan oleh FDA.
    Sebagai peringatan, semua ubat mesti disesuaikan dengan tingkat keparahan, usia, riwayat penyakit, kondisi kesihatan dan kesan sampingan yang mungkin terjadi. -SITI FARAH ELIANI SOLLEH

‘Saya hampir mustahil untuk hidup normal seperti orang lain’

SEORANG rakan penulis dari Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Tamara, 39, antara individu yang sedang bergelut dengan narkolepsi dengan cataplexy sejak usianya awal 30-an.

Ujar Tamara, beliau tidak mengerti kenapa masalah mengantuk pada siang hari terjadi sedangkan durasi masa tidurnya mencukupi.

“Saya tidak pasti apa puncanya, tetapi saya tak menolak kemungkinan pemergian kehilangan ibu saya ketika saya berumur 31 tahun telah mengubah kehidupan saya secara total. Saya sangat terkejut dengan kehilangannya kerana pada hari sebelumnya arwah sihat belaka, tapi esoknya beliau jatuh, lalu meninggal,” katanya ketika ditemu bual melalui Google Meet baru-baru ini.

Lebih memburukkan keadaan, senario tersebut telah membuatkan kariernya sebagai pengamal media terjejas teruk ketika itu. Masakan tidak, Tamara kerap tertidur ketika berada di depan komputer, lambat menghadiri janji temu, waima sedang mewawancara respondennya.

Iklan

“Rasa mengantuk secara tiba-tiba pada siang hari menjadi ‘ancaman’ kepada saya kerana ia sangat menyusahkan. Bayangkan, bukan saja tugas di pejabat terganggu, malah saya bergelut untuk melakukan kerja rumah seperti menyediakan makanan untuk anak dan suami termasuk mendobi.

Baca juga: ‘Kacang cerdik’ boleh kurangkan risiko kanser kolon? Berikut 6 kebaikan pistachio yang perlu tahu

“Kemuncak kepada masalah saya ini adalah saya tertidur ketika sedang menunggu lampu hijau di tengah-tengah kota Jakarta sehingga polis trafik terpaksa mengetuk cermin kereta saya. Saya keluar dari kenderaan dan kemudian terjatuh secara tiba-tiba.

“Saya bingung melihat diri sendiri, saya ke hospital dan dirujuk dengan pakar psikiatari, pakar saraf dan pakar tidur. Akhirnya mereka mengesahkan saya menghidap penyakit narkolepsi dengan cataplexy ,” ceritanya yang kerap dituduh mengalami sakit mental.

Ditanya apa perkembangan konsultansinya, Tamara berkata, pakar memberikan beliau sejenis ubat. Wartawan itu juga diminta mencatatkan rutin harian seperti masa tidur, makanan yang dimakan dan aktiviti sehariannya.

“Saya masih belum pulih sepenuhnya dan saya hampir mustahil untuk hidup secara normal seperti orang lain. Saya masih terlelap terutama ketika membaca, menonton televisyen dan kadang-kadang ketika berada di meja makan,” ujar beliau.

Disebabkan narkolepsi, Tamara sudah melepaskan jawatannya sebagai wartawan dan beliau juga sudah berpisah dengan suaminya.

“Itu lebih baik kerana saya tidak mahu membebankan sesiapa, namun saya risau juga kerana saya kini tinggal bersendirian di rumah,” luahnya yang kini menjalankan bisnes online menjual makanan. -MAZLINA ABDUL MAJID

Baca juga: Kencing manis: Ibu hamil kena lebih hati-hati elak air ketuban berlebihan

Baca juga: Tunda ujian MRI akibat takut berada di ruangan sempit, pakar ini kongsi cara atasi ketakutan itu

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan