SEGELINTIR wanita kerap kali mengalami senggugut ketika datang haid.

Portal MyHealth dalam penulisannya menyatakan lebih daripada 60 peratus perempuan remaja mengalami senggugut primer dan satu dalam 10 wanita akan mengalami kesakitan yang teruk sehingga mengganggu aktiviti seharian.

Menurut Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad, kedatangan haid bagi wanita normal bukan sahaja dimulai dengan pendarahan haid, tetapi sebahagian wanita mengalami sakit dan rasa tidak selesa pada bahagian abdomen, rasa kembung perut dan sakit kepala.

“Selain berasa sakit pada bahagian bawah perut (suprapubic), ada wanita yang mengadu mengalami lenguh dan kesakitan pada bahagian tengah pinggang (lower back pain). Ia boleh berlaku beberapa hari sebelum atau selepas datang darah haid dan akan hilang selepas beberapa hari,” ujarnya dalam satu hantaran Facebook baru-baru ini.

Jelasnya, sakit bahagian bawah abdomen dan sakit pada bahagian belakang pinggang selalunya dianggap normal akibat pengeluaran hormon prostaglandin yang menggalakkan pengecutan rahim untuk mengeluarkan darah haid daripada dalam rahim.

“Pengeluaran hormon prostaglandin yang banyak akan menyebabkan pengecutan rahim secara berlebihan sekali gus menyebabkan sakit yang kuat.

“Pun begitu, dalam kebanyakan kes, sakit yang terlalu kuat kemungkinan juga disebabkan masalah-masalah penyakit wanita yang lebih serius seperti jangkitan kuman (Pelvic Inflammatory Disease), endometriosis dan fibroid,” terangnya.

Tanda-tanda seseorang wanita itu mengalami masalah yang lebih serius adalah apabila mereka mengalami senggugut yang melampau pada setiap bulan sehingga terpaksa mengambil cuti beberapa hari kerana tidak mampu melakukan kerja.

Justeru, pengamal perubatan itu menasihatkan kaum Hawa yang mengalami tanda tersebut mendapatkan pemeriksaan doktor bagi mengesan masalah yang lebih serius.

“Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal terutama pada bahagian kemaluan untuk memeriksa rahim termasuklah pemeriksaan ultrabunyi bagi mendapat gambaran imej struktur rahim di dalam abdomen,” katanya.

JAGA PEMAKANAN & SENAMAN

Sementara itu, untuk wanita mengelakkan rasa senggugut yang teruk ketika datang haid, Dr Zubaidi ada mengesyorkan beberapa cara yang boleh diamalkan anda. Antaranya:

i. Melakukan senaman ringan. Ada beberapa kajian menunjukkan wanita yang melakukan senaman ringan mendapat manfaat kelegaan bagi sakit senggugut yag kuat.

ii. Mengekalkan pemakanan yang seimbang dan sihat, dan mengambil suplemen yang mempunyai nutrisi vitamin B dan magnesium.

Iklan

iii. Minum air secukupnya iaitu sekurang-kurangnya 1.5 sehingga 2 liter dalam sehari.

iv. Boleh juga tuam menggunakan beg plastik atau beg kulit yang berisi air suam pada bahagian bawah perut bagi mendapatkan kelegaan.

v. Boleh mengambil ubat penahan sakit yang ringan seperti acetaminophen dan paracetamol. Jika tidak berkesan, boleh gunakan penahan sakit yang lebih baik seperti ibuprofen atau naproxen beberapa hari sebelum datang haid.

Mungkin ada salah satu di antara langkah yang dikongsikan berkesan buat wanita yang kerap mengalami senggugut.

Iklan

Baca juga “Lebih kurang period pain je”- 14 jam kontraksi, Neelofa kongsi detik lahirkan Bilal

Apa-apapun, banyakkan berehat juga apabila anda mengalami senggugut ketika haid.

Jika terlalu teruk, cepat-cepat dapatkan pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan yang berhampiran untuk memastikan tiada masalah yang lebih serius.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI