BERSAMA Pakar Bedah Telinga, Hidung, Tekak dan Leher, Dr Ezairy M Sallih

SOALAN 1

SAYA mempunyai masalah polip pada hidung. Apabila musim hujan, polip sebelah kanan akan membesar sehingga menutup saluran pernafasan. Kadangkala, saya seperti sesak nafas.

Pada musim panas terik pula, situasi yang sama berlaku sehingga mengeluarkan cecair berwarna kehijauan seperti kahak. Mengapa keadaan tersebut berlaku dan bagaimana cara untuk ingin mengatasinya doktor?

INSAN BUNTU, SHAHRIL HAFIZI MAZLAN, 33
Tanah Merah, Kelantan

JAWAPAN:

SEBENARNYA, kita semua perlu cakna dan sedar bahawa masalah sinus dan resdung boleh menyebabkan pesakit berhadapan gejala-gejala seperti hidung tersumbat, hidung mengeluarkan cecair berbau dan berwarna kehijauan.

Pun demikian, seseorang itu perlu menjalankan pemeriksaan lebih terperinci di hospital bagi mengesahkannya.

Jika diamati, terdapat beberapa prosedur yang perlu dilalui oleh pesakit bagi mengenal pasti simptom yang berlaku kepada mereka.

Pertama, pemeriksaan pada bahagian hidung dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kepada simptom-simptom tersebut.

Baca juga Varian Delta boleh membiak dalam hidung, 5 fakta mengenainya perlu tahu

Ia melibatkan pemantauan dari segi saiz atau gred polip sama ada berada pada gred 1, 2 atau 3.

Seterusnya, proses rawatan akan bermula dengan pemberian ubat-ubatan.

Jika kaedah tersebut gagal ataupun tidak dapat membantu pesakit, rawatan pembedahan akan dilakukan.

Sekiranya gred (polip) terlalu besar sehingga menutupi keseluruhan rongga pernafasan atau dalam hidung seseorang, rawatan pembedahan juga akan dilakukan sebagai jalan penyelesaian terbaik.

Iklan
SETIAP individu perlu peka dengan simptom-simptom polik pada hidung supaya tidak berhadapan dengan masalah yang lebih kronik.

 

Pada masa sama, orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa peka dengan simptom-simptom biasa yang lazimnya berlaku ke atas pesakit yang mengalami resdung (allergic rhinitis) atau sinusitis.

Penting untuk diketahui bahawa sinusitis itu sendiri terdiri daripada beberapa jenis, sama ada dalam kategori kronik ataupun ia hanya disebabkan oleh kulat, bakteria, virus dan sebagainya.

Oleh sebab itu, apabila hidung seseorang tersumbat dan cecair kehijauan keluar, itu adalah satu simptom atau gejala umum bahawa mereka mungkin sedang berhadapan dengan masalah sinus.

Baca juga Perjuangan pesakit cilik bebas kanser leukimia, kisah penuh inspirasi Burge buat ramai kagum

SOALAN 2

DOKTOR, saya kerap mengalami masalah tiba-tiba sukar untuk bernafas. Apabila hal tersebut berlaku, saya tidak tahu tindakan apa yang perlu dilakukan. Apakah langkah yang sesuai untuk diambil jika situasi itu tercetus? Kemudian, boleh cadangkan cara terbaik untuk mencegahnya? Mohon pencerahan daripada doktor.

Iklan

INGIN TAHU, MAZZURA BAKRI, 39
Sungai Dua, Pulau Pinang

JAWAPAN:

SUKAR untuk bernafas bukanlah satu masalah yang jarang berlaku dalam kalangan pesakit. Dalam pemerhatian saya di hospital, kes seumpama itu memang terjadi, namun jangan sesekali memandang mudah gejala berkenaan.

Kita perlu tahu apabila seseorang berdepan dengan hal sebegitu, sudah pasti hidung mereka tersumbat atau kehadiran lendiran (mucus) yang banyak di dalam hidung.

Pada masa sama, masalah hidung tersumbat juga boleh mengganggu seseorang kerana  hidung mereka sedang membengkak akibat penebalan. Selain itu, ia barangkali berpunca daripada pembengkakan di dalam rongga hidung dan sinus.

Faktor lain yang boleh terjadi adalah merujuk kepada jangkitan atau pengumpulan nanah (di dalam rongga hidung).

Buat mereka yang sedang berhadapan situasi itu sehingga gagal bernafas dengan baik, kenal pasti puncanya terlebih dahulu.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Jika ia disebabkan masalah sinus atau hingus kerap berkumpul di dalam hidung, cubalah untuk menghembusnya keluar dan pastikan hidung dicuci dengan bersih.

Namun, seandainya kemelut yang dihadapi masih berlanjutan dan disertai dengan jangkitan, doktor akan memberi ubat yang lebih sesuai seperti antibiotik dan ubat semburan hidung.

Sekiranya situasi yang sama masih berulang-ulang dan tidak dapat dikawal, segera dapatkan pemeriksaan lanjut dengan menetapkan janji temu dengan doktor di klinik atau hospital berdekatan.

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID