MAJORITI dalam kalangan penduduk di Malaysia amat menggemari kopi.

Kepada yang betul-betul kaki kopi, bukan sahaja pada waktu pagi, malah petang, malam sehingga tengah malam pun masih minum kopi.

Kumpulan itu juga biasanya mahir tentang ilmu kopi. Tanyalah apa sahaja, semua mereka tahu.

Merujuk kepada perkongsian Pensyarah Kanan Kimia, Universiti Teknologi Mara, Dr Fatimah Salim, beliau seorang penggemar minuman berkenaan.

Namun, pada bulan puasa, beliau tidak minum kopi. Ujar beliau, tujuannya minum kopi hanyalah sebagai penggalak fokus dan untuk terus segar.

"Lazimnya, saya akan ambil air kopi satu hingga dua cawan iaitu pada waktu pagi saya minum kopi bergula, manakala makan tengahari pula kopi kosong.

"Bagaimanapun, pengambilannya boleh jadi empat cawan sehari ketika menghadiri seminar atau bersantai dengan rakan,” katanya.

Dr Fatimah juga berkata, beliau akan mengelakkan minum kopi pada waktu petang kerana akan menghadapi kesukaran tidur malam.

“Kalau sahur memang saya lebih utamakan air kosong. Jadi, saya tidak akan sentuh minuman manis atau kopi,” terangnya.

Mengulas lanjut, pakar kimia terkenal itu berkata, kafein merupakan bahan kimia aktif yang terdapat di dalam kopi yang berfungsi untuk meningkatkan daya fokus.

“Kafein merupakan sejenis molekul semula jadi daripada alkaloid yang banyak didapati dalam tumbuhan seperti kopi, teh dan koko. Ia merupakan perangsang sistem saraf pusat,” katanya.

Tambah beliau lagi, walaupun kafein ada baiknya, tetapi ia juga mempunyai kesan sampingan bergantung kepada dos dan penerimaan badan individu. Antaranya:

i. Sakit kepala
ii. Resah
iii. Gelisah
iv. Loya
v. Keletihan
vi. Kerap kencing

Iklan

Disebabkan implikasi yang dinyatakan, maka fahamilah kita jika ramai yang tidak mengambil kopi.

Bagaimanapun, jelas Dr Fatimah, kesan sampingan akan hilang dalam masa 10 hari pengambilan air kopi secara tetap kerana badan sudah mula bertoleransi dengan kehadiran kafein.

KURANGKAN RISIKO PENYAKIT BAHAYA

Dr Fatimah terus berkongsi fakta. Ujar beliau, semua jenis kopi mengandungi bahan kimia seperti acrylamide yang menjadi pencetus dan penggalak kanser.

“Namun, sebaliknya ada kajian yang mengatakan kandungan antioksida termasuklah bahan kimia kafein, asid klorogenik, ferulik dan n-komerik yang terdapat dalam kopi boleh mengurangi risiko menghidap beberapa jenis kanser seperti kanser kulit, darah, usus, hati dan payu dara,” kongsinya.

Iklan

Malah, penyelidikan juga menunjukkan individu yang minum kopi dua hingga tiga cawan sehari berupaya mengurangi risiko menghidap penyakit jantung, hati, depresi, parkinson dan alzheimer.

Baca juga Minum kopi terlalu banyak waktu hamil mudaratkan ibu, janin boleh terjaga

Dalam pada itu, ujarnya, apa sahaja yang berlebihan boleh membawa mudarat.

Food and Drug Administration, Amerika Syarikat mengehadkan pengambilan kopi empat hingga lima cawan sehari iaitu bersamaan kandungan maksimum kafein berjumlah 400 miligram.

Nasihat Dr Fatimah seterusnya memang penting untuk kita ingati.

Katanya, kopi yang mempunyai banyak kebaikan hanyalah kopi kosong dan kopi susu sahaja!

“Kopi berperisa yang lain mengandungi banyak gula, pewarna dan perisa tambahan yang boleh mengurangi kebaikan kopi!” tegasnya.

Kesimpulannya, andaian yang mengatakan kopi tidak baik untuk kesihatan, tidak betul.

Namun, terdapat beberapa peraturan yang perlu kita patuhi. Paling penting jangan keterlaluan dan berpada-pada ya.

Satu lagi, hadkan pengambilan kopi ketika bulan puasa ya kerana individu akan lebih kerap kencing dan boleh mengalami dehidrasi.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI