PEMAKAIAN pendakap gigi (braces) penting untuk seseorang jika susunan gigi mereka berterabur sehingga menyebabkan ketidakselesaan kepada empunya diri.

Namun, sejak kebelakangan ini, sesetengah orang keliru tentang penggunaannya sehingga disalah tafsir.

Masakan tidak, ada yang mengenakan penyokong itu sebagai salah satu instrumen kecantikan.

Terbaharu, bukan sahaja di luar negara, malah di Malaysia, ia telah menjadi trend dalam kalangan kanak-kanak.

Baru-baru ini, tular satu rakaman di media sosial yang menyaksikan seorang budak perempuan yang dipercayai dari Indonesia memakai pendakap pada bahagian gigi bawahnya.

SinarPlus kemudiannya meninjau ke ruangan komen dan mendapati rata-rata warganet tidak bersetuju dengan tindakan ibu berkenaan juga berasa kasihan kepada si kecil.

Baca juga: Wanita menyesal pakai fake braces semasa mengandung, dikhuatiri keguguran

BUKAN SEMBARANGAN

Menurut laman web White Greer Maggard Orthodontics (WGMO), pemasangan pendakap gigi hanya boleh dilakukan kepada kanak-kanak lingkungan umur sembilan hingga 13 tahun.

Ketika mencapai usia tersebut, mereka telah melalui proses pertukaran gigi daripada gigi susu kepada gigi kekal. Jadi, tidak ada masalah untuk memakai penyokong itu.

Bagaimanapun, ibu bapa amat digalakkan untuk membawa anak-anak berjumpa doktor pergigian ketika anak beusia tujuh hingga 12 tahun.

Sewaktu pemeriksaan awal, doktor akan melakukan pemeriksaan struktur gigi dan rahang, sama ada permasalahan itu dapat diselesaikan dengan pemakaian pendakap atau sebaliknya, kata WGMO.

Laman web itu turut menjelaskan, hanya beberapa kondisi gigi yang memerlukan pemakaian braces. Berikut adalah kategori-kategorinya:

1. Pertumbuhan gigi yang rapat dan bertindih.
Ketika gigi kekal mulai untuk tumbuh, sudah semestinya ia memerlukan ruang yang cukup untuk membesar. Namun, jika gigi tumbuh ia akan bertindih dengan gigi lain, menyebabkan ia tumbuh secara menyerong. Sehubungan itu, pemakaian pendakap gigi disyorkan.

Iklan

Baca juga: Risiko jangkitan HIV, akibat fake veneer. Jangan percaya penunggang kecantikan

2. Ada ruang di antara gigi.
Keadaan itu akan menyebabkan anak-anak berasa tidak selesa ketika makan kerana makanan mungkin tersangkut dicelahan gigi.

3. Kehilangan gigi susu terlalu awal atau lambat.
Kadangkala, pertumbuhan gigi kekal akan terganggu dengan adanya gigi susu yang menjadi penghalang ia untuk membesar dengan baik dan tersusun. Kebiasaannya, gigi kekal bertindih berlaku disebabkan oleh gigi susu lambat tercabut, tetapi gigi kekal sudah mulai tumbuh.

4. Tingkah laku menghisap ibu jari atau puting bayi.
Sekiranya ibu bapa mendapati anak-anak terbiasa menghisap ibu jari dan puting, mereka berpotensi untuk memakai pendakap gigi. Hal itu kerana, kedua-dua perkara berkenaan akan mengubah corak pertumbuhan gigi ke depan.

5. Lihat kedudukan gigi atas dan bawah.
Perhatikan gigi anak anda sama ada gigi atas dan bawah berada dalam keadaan selari atau sebaliknya sewaktu rahang ditutup dan perhatikan juga kedudukan rahang. Jika dikatup, gigi akan kelihatan sedikit menonjol keluar.

Iklan

Justeru, kepada ibu bapa di luar sana, jangan sesuka hati membawa anak anda untuk memakai braces.

Ingat ya, untuk memakainya bukan disebabkan untuk cantik atau trend, tetapi lebih kepada pembaikan dan penyusunan semula.

Baca juga: Trend memakai, membeli pendakap gigi tiruan dari pasaran gelap masih berlaku. Ini implikasi buruk yang boleh dihadapi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.