SUDAH menjadi lumrah wanita inginkan penampilan yang cantik dengan kulit licin tanpa ada sebarang jerawat mahupun parut.

Ketaasuban itu telah membawa kepada tindakan ‘berani mati’ kerana sanggup membeli dan makan produk yang dikatakan boleh mencantikkan wajah.

Kini, kebanyakan suplemen dan produk menjanjikan rupa yang menawan, kulit mulus dan boleh putih seawal beberapa hari sahaja.

Hal itu ternyata membangkitkan rasa tanda tanya, bahan apa yang digunakan sehingga menghasilkan kesan secepat itu?

Pun demikian, para wanita perlu cakna tentang kandungan bahan kerana ia mungkin terdiri daripada unsur yang boleh membahayakan kesihatan.

Perkara itu turut menarik perhatian Pakar Kulit, Klinik Pakar Kulit, Wan Skin Specialist, Alor Setar, Kedah, Dr Wan Syazween Lyana Wan Ahmad Kammal.

Dr Wan Syazween Lyana antara lain berkongsi kisah berhadapan dengan pesakit yang ada masalah jerawat yang mengambil ubat-ubatan mengandungi isotretinoin.

Ujar Dr Syazween, ubat yang ada bahan tersebut (isotretinoin) tidak sepatutnya diambil tanpa pengawasan doktor pakar, tidak kira lelaki mahupun wanita.

“Kesan pengambilan ubat sama ada sebelum atau selepas mengandung akan menyebabkan bayi di dalam kandungan mengalami kecacatan kekal (Retinoic Acid Embryopathy),” terangnya.

Dianggarkan risiko bayi lahir tidak normal adalah 25 kali ganda lebih tinggi berbanding golongan yang tidak mengambil pil tersebut ketika hamil.

Berikut kesan yang disenaraikan oleh Dr Syazween tentang masalah yang bakal si kecil hidapil. Ini yang perlu kita ketahui:

i. Bayi mengalami masalah kekurangan berat badan.
ii. Kepala bayi kecil daripada saiz yang sepatutnya.
iii. Kecacatan otak dan sistem saraf.
iv. Pembentukan jantung dan telinga tidak normal.
v. Keguguran.

Baca juga: Hati-hati beli ubat jerawat online, ini jenis dan kesan sampingan

Iklan

Bagaimanapun, Dr Syazween menerangkan bahawa ubat berkenaan ada di dalam tubuh manusia selama sebulan, justeru jika si ibu berhenti sebulan sebelum adanya janin, maka tiada kesan sampingan yang boleh berlaku.

“Namun, sekiranya si ibu mengandung dan masih amalkan pil itu, saya tegaskan untuk berhenti secepatnya dan jumpa doktor dengan segara,” ungkapnya.

Pun begitu ,jika baru berkahwin, sangat digalakkan untuk pasangan mengambil langkah mencegah kehamilan selama sebulan bermula dari tarikh terakhir makan ubat tersebut.

Pada akhir perkongsiannya, Dr Syazween menjelaskan kepada mereka yang ingin mengambil pil yang mengandungi isotretinoin, harus dapatkan ia daripada pakar kulit sahaja dan perlu menandatangani borang persetujuan.

Iklan

Justeru, SinarPlus ingin mengingatkan kepada para wanita untuk sentiasa peka terhadap setiap kandungan ubat mahupun produk yang diambil, bukan apa risau jika ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan.

Baca juga: Pil perancang kehamilan antara solusi atasi masalah jerawat teruk. Berikut rawatan lain yang dicadangkan

Baca juga: Jerawat tumbuh di bahagian muka, jom kenali apa puncanya

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan