Ulser berpanjangan lebih 2 minggu isyarat awal kanser mulut. Perokok paling terdedah dengan penyakit ini

ARIFFIN Mohd Idris, 35, sudah dua tahun menghidap ulser. Pun demikian, pada awal pemeriksaan, doktor di beberapa klinik tidak mengesyaki sesuatu yang buruk.

Disebabkan pelik mengapa masalah tersebut tidak berkesudahan, Ariffin berjumpa dengan seorang pakar gigi di sebuah hospital swasta.

Diagnosis yang dijalankan secara berperingkat akhirnya mengesahkan beliau menghidap kanser mulut tahap 3. Perkhabaran itu merupakan satu kejutan dan sesuatu yang tidak disangka-sangka.

Namun demikian, masih belum terlambat untuk lelaki berkenaan mendapatkan rawatan susulan.

“Saya bersyukur kerana nasihat rakan untuk saya berjumpa dengan doktor gigi memang tepat kerana mereka lebih arif mengenai sebarang perubahan dalam mulut berbanding pegawai perubatan biasa,“ katanya baru-baru ini.

Kredit foto: Sergey Chetvertnykh

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kanser mulut adalah ketumbuhan tidak normal yang berlaku pada bibir, lidah, gusi dan bahagian dalam rongga mulut lain.

Ia disebabkan mutasi gen yang kebanyakannya disebabkan pendedahan bahan kimia yang ada pada rokok, sirih dan juga alkohol.

Statistik pada tahun 2019 menyaksikan, kadar kelangsungan hidup untuk kanser jenis itu di Malaysia adalah 40.9 peratus.

Perangkaan tersebut bermaksud, kira-kira 60 peratus daripada pesakit akan maut dalam tempoh lima tahun selepas penyakit dikesan.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia menganggarkan, seramai 22 daripada 100,000 orang berhadapan dengan risiko kanser mulut. Lelaki lebih cenderung mengalaminya.

Kredit foto: Andrea Piacquadio

Untuk memperincikan lebih lanjut, SinarPlus berdiskusi dengan Pengarah Perubatan yang juga Pakar Bedah Telinga Hidung, Tekak dan Leher, Hospital Pakar KPJ Ipoh, Perak, Dr Luis Chen Shian Liang.

Ketika diwawancara menerusi Google Meet, Dr Luis berkata, kesemua jenis barah tidak lari daripada dua faktor utama iaitu keturunan dan gaya hidup.

“Lazimnya, individu yang memiliki sejarah keluarga penghidap kanser dan mereka yang ada fanconi anemia (gangguan genetik yang jarang berlaku, melibatkan ketiga-tiga garisan sel darah), maka golongan itu mempunyai risiko tinggi untuk mengalaminya. Mengenai gaya hidup pula, amalan merokok dan minum arak berpotensi menyumbang kepada permasalahan itu,“ katanya.

Berdasarkan kajian bertajuk Oral Cancer Presentation Among Malay Patients in Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan pada tahun 2009 mendapati, 90 peratus pesakit kanser mulut terdiri daripada kaum Adam yang juga perokok.

Kredit foto: Freepik

Pakar berkenaan turut menambah beberapa faktor lain yang memicu kepada kanser mulut. Antaranya:

i) Jangkitan papilomavirus manusia (HPV).
ii) Luka di dalam mulut atau ulser.
iii) Amalan pemakanan sirih.

Bahaya sireh

Apa yang dimaksudkan dengan HPV dan kaitannya dengan kanser itu?

Menurut Hello Doktor, HPV adalah sejenis virus yang berbeza dengan HIV dan HSV (herpes) yang mungkin akan menyebabkan kanser. Ia boleh tersebar daripada satu individu kepada individu lain menerusi penetrasi zakar ke dalam faraj atau sebarang aktiviti seks yang lain seperti seks anal dan oral.

Adakalanya, penyakit tersebut tidak menunjukkan sebarang simptom dan hal itu akan menyebabkan kanser sukar untuk dikesan.

Kredit foto: Andrea Piacquadio

Menyentuh soal ulser seperti yang dialami oleh Ariffin, Dr Luis memberitahu, seandainya kesakitan itu tidak sembuh dalam durasi masa lama, ia merupakan petanda kepada kanser mulut. Sebaik-baiknya jangan dibiarkan berterusan melebihi dua minggu.

Dari satu sisi, budaya mengunyah sirih suatu ketika dulu dianggap sebagai salah satu adat untuk menghormati tetamu. Pun demikian, dari semasa ke semasa tatacara berkenaan semakin dipinggirkan.

Tidak pasti sama ada pendekatan itu bagus atau sebaliknya, namun dari segi perubatan, sirih diklasifikasikan sebagai karsinogen iaitu ejen penyebab kanser.

Journal of the American Dental Association melaporkan, penggunaan sirih bersama pinang akan meningkatkan risiko barah kerana proses kunyahan melibatkan pergerakan rahang yang kerap.

“Perbuatan itu secara tak langsung akan mengakibatkan kerengsaan pada gusi dan merosakkan gigi. Bukan itu sahaja, gigi juga akan bertukar warna merah tua atau hitam,“ kata jurnal itu.

Kredit foto: Anete Lusina

Rata-rata simptom kanser mulut yang menjurus kepada perubahan di dalam rongga mulut dapat dilihat dengan mata kasar. Berikut disenaraikan ciri-ciri yang perlu diwaspadai:

i) Benjolan atau ketumbuhan. Segala jenis ketumbuhan yang ada di dalam mulut merupakan salah satu tanda kepada kanser. Benjolan boleh berlaku di dalam lidah atau bahagian laluan makanan yang menyebabkan tempat pergerakan makanan ke esofagus menjadi sempit.
ii) Ketumbuhan di dalam mulut yang sifatnya mudah pecah dan berdarah.
iii) Sakit atau kesukaran menelan.
iv) Perubahan dalam suara atau mengalami masalah pertuturan.
v) Penurunan berat badan.
vi) Pendarahan yang tidak disengajakan atau kebas di dalam mulut.
vii) Satu atau lebih gigi yang tercabut tanpa sebab jelas atau soket gigi yang tidak sembuh selepas gigi dicabut.
viii) Kesukaran menggerakkan rahang.
ix) Tompok merah atau putih pada selaput mulut.

Kredit foto: Pixabay

Imnoterapi

SinarPlus turut mewawancara Ketua Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Madya Dr Syed Nabil Syed Omar.

Dr Syed Nabil menegaskan, kanser mulut yang tidak dirawat segera, boleh menyebabkan sel kanser menular ke bahagian lain.

“Lebih 90 peratus kanser mulut adalah jenis squamous cell carcinoma yang mempunyai sifat mudah merebak. Antara organ yang sering menjadi penularan mutasi sel ialah paru-paru dan hati,“ jelasnya.

Sementara itu, menurut MyHealth, apabila ketulan, bengkakan atau ulser berterusan membesar tanpa henti, pesakit bukan sahaja berasa tidak selesa dan sakit, malah jika dibiarkan, sel kanser boleh merebak pada leher dan seterusnya ke tempat yang jauh dari tempat primer (distant metastasis).

Dalam pada itu, menurut Dr Syed Nabil, individu yang tidak mendapatkan rawatan sewajarnya berada dalam keadaan bahaya.

Kredit foto: Towfiqu barbhuiya

Ini kerana sel kanser menular ke beberapa bahagian organ badan akan menyebabkan kegagalan organ.

“Sebagai contoh, paru-paru merupakan organ penting dalam proses pertukaran karbon dioksida dengan oksigen. Jika ia gagal berfungsi, pesakit boleh mengalami kesukaran untuk bernafas,“ katanya.

Beritahu pakar itu, rawatan kanser bergantung kepada tahap seseorang didiagnosis. Namun, secara umumnya, terdapat tiga kaedah yang biasanya dicadangkan kepada pesakit:

1 Pembedahan: Kaedah pembedahan boleh dilakukan kepada mereka yang dikesan menghidap kanser tahap 1 dan 2. Biasanya pembuangan sel kanser hanya melibatkan kawasan pada bahagian mulut sahaja. Sebagai langkah pencegahan awal, nodus limfa juga dibuang.

2 Radioterapi: Radioterapi merupakan terapi yang menggunakan radiasi untuk mematikan sel kanser. Rawatan berkenaan hanya diberikan kepada pesakit yang sel mutasinya telah merebak ke bahagian kelenjar.

Kredit foto: Ivan Samkov

3 Kemoterapi: Kemoterapi merupakan rawatan menggunakan bahan kimia yang kuat untuk membunuh sel kanser. Biasanya kaedah tersebut akan diberikan kepada pesakit yang berada pada tahap berbahaya.

Iklan

Ujar Dr Syed Nabil lagi, jalan terbaik untuk tidak mahu digelar sebagai pesakit kanser mulut adalah menghentikan pengambilan tembakau, rokok, arak dan elakkan makan sirih.

“Langkah seterusnya adalah menyegerakan pemeriksaan jika timbul rasa sakit pada mulut atau mengalami ulser yang begitu lama,“ ungkapnya.

Dalam pada itu, Centers for Disease Control and Prevention (CDC)memperkenalkan satu lagi kaedah yang dinamakan imunoterapi.

Ia merupakan salah satu metodologi untuk merawat kanser dengan cara menguatkan sistem imun tubuh.

Kredit foto: Thirdman

“Imunoterapi ini diklasifikasikan sebagai terapi biologi kerana penghasilannya menggunakan bahan yang diperbuat daripada organisma hidup. Rawatan ini akan merangsang sistem imun supaya dapat mengesan, memusnahkan sel abnormal dan menyekat pertumbuhan kanser,“ kata CDC.

Laman perubatan antarabangsa, Cleveland Clinic pula menyatakan, teknik tersebut juga berperanan untuk meningkatkan sistem imun agar lebih banyak (sel imun) dapat dihasilkan untuk melawan penyakit.

“Pesakit mungkin akan dirawat pada setiap hari, minggu, bulanan atau mengikut kitaran yang telah ditetapkan. Durasinya bergantung kepada tindak balas badan, ubat, jenis kanser dan tahapnya,“ kata mereka.

#kesresponden

Wujud lekukan U pada lidah, tak boleh makan pedas antara simptom awa

Kredit foto: Freepik

BELIAU bukanlah seorang perokok dan tidak pernah langsung terfikir untuk mengunyah sirih.

Namun, Abd Shukor Bahar, 43, tidak dapat melawan ketentuan takdir apabila disahkan menghidap kanser mulut tahap 4.

Ketika dihubungi, Abd Shukor berkata, petanda kepada barah berkenaan bermula pada penghujung Ogos tahun lalu.

“Ketika itu, saya dapat rasakan perubahan dalam diri. Corak pemakanan saya berubah apabila susah nak menelan makanan keras. Jika saya mahu menelan juga, sakitnya memang bukan kepalang.

Iklan

“Bukan itu sahaja, saya juga terpaksa terima hakikat tidak boleh makan hidangan pedas seperti sambal walau ia merupakan sajian kegemaran saya. Mulut saya akan terasa bahang yang sukar saya nak gambarkan,“ katanya.

Bapa kepada dua orang cahaya mata itu menambah, beliau juga perasan, bahagian tepi lidahnya secara tiba-tiba mempunyai lekukan seperti huruf U.

“Ia (lekukan itu) membuatkan saya rasa sakit. Gara-gara keperitan itu, saya tidak dapat menjamah nasi selama empat bulan. Melihat situasi yang semakin memburuk, saya pujuk diri untuk berkunjung ke sebuah klinik gigi di Johor Bahru, Johor untuk membuat pemeriksaan.

“Hati saya jadi tak sedap bila doktor memberi sepucuk surat meminta saya merujuk pakar kerana saya disyaki menghidap kanser mulut,“ katanya yang terkejut dengan diagnosis awal berkenaan.

Kredit foto: MART PRODUCTION

Selepas imbasan Computerized Tomography dijalankan, jangkaan itu memang tepat.
Lebih memeranjatkan apabila kanser mulut Abd Shukor sudah berada pada tahap 4.

“Dunia saya jadi gelap gelita sekejap. Selepas bermuhasabah diri, saya secara perlahan menerima qada dan qadar daripada ALLAH. Saya tak boleh bersedih terlalu lama kerana saya ada anak-anak yang perlu dijaga,“ luahnya.

Pada Oktober tahun lalu, seperti yang disarankan pihak hospital, beliau menjalani pembedahan besar membuang sebahagian lidah yang ada sel kanser.

“Kini, saya tidak lagi boleh bercakap dengan baik (pelat) dan proses mengunyah makanan juga mengambil masa untuk dihadam,“ ujarnya.

Baca juga: Urutan burukkan lagi masalah angin pasang, kebarangkalian untuk penyakit itu jadi sekali lagi sangat tinggi

Baca juga: Benarkah berbasikal boleh sebabkan lelaki mati pucuk. Ini pencerahan jelas pakar

Kredit foto utama: Freepik 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi