Umur sudah 27 tahun, tapi suara macam budak kecil. Ini jawapan pakar

SEBELUM ini pernah tular kisah kehidupan seorang lelaki berusia 27 tahun yang memiliki suara yang tidak melambangkan umurnya.

Jika diamati suara jejaka berkenaan, ia persis seperti remaja yang baharu sahaja melalui fasa akil baligh.

Namun, hakikatnya lelaki tersebut bukanlah semuda yang disangka.

Perkara itu membuatkan orang ramai tertanya-tanya.

Adakah benar situasi yang dialami oleh pemuda itu atau ia sekadar konten semata-mata.

Kredit foto: Max Fischer

Bagaimanapun, keadaan yang menimpa jejaka berkenaan telah mendapat perhatian daripada seorang pegawai perubatan Dr Muhamad Hazwan Nazri, yang memberi komentar menerusi akaun TikTok miliknya.

Beritahu Dr Muhamad Hazwan, pemuda itu mengalami satu fasa kematangan yang perlahan.

“Memang ada kes seseorang lambat matang. Secara umumnya orang ramai perlu tahu bahawa tumbesaran lelaki dikawal oleh hormon testosteron.

“Untuk menghasilkan bahan kimia itu, otak perlu memberi signal kepada testis untuk mengeluarkan testosteron. Namun, jika organ yang mengawal pemikiran manusia tidak memberi sebarang arahan, maka mereka akan kekurangan hormon kelelakian,” jelasnya.

Kredit foto: Thirdman

Menerusi perkongsian video tersebut juga, Dr Muhamad Hazwan menerangkan bahawa lelaki berkenaan bukan sahaja berhadapan simptom suara tidak matang, tetapi beliau juga mempunyai masalah tumbesaran yang perlahan seperti lambat tinggi dan bulu pada tubuh badan juga ambil masa untuk tumbuh.

Baca juga: Hospital Tunku Azizah berjaya pisahkan kembar Siam pramatang pertama di Malaysia

Melihat kepada gejala yang dialami, Dr Muhamad Hazwan berkata, jejaka itu mengalami masalah hypogonadism (kekurangan hormon seksual lelaki).

Oleh yang demikian, bagi merungkai dengan lebih lanjut tentang kondisi itu, SinarPlus merujuk penulisan Mayo Clinic.

Menurut laman perubatan itu, hypogonadism merujuk kepada tubuh yang tidak dapat menghasilkan hormon testosteron yang mencukupi.

Kredit foto: Mikhail Nilov

Kekurangan hormon seksual itu bukan sahaja boleh berlaku sejak lahir, tetapi juga boleh terjadi sekiranya seseorang mengalami kecederaan atau jangkitan.

“Bagi mereka yang berhadapan dengan permasalahan seperti itu, usah risau kerana hypogonadism boleh dirawat dan disembuhkan seperti sediakala dengan menjalani rawatan terapi penggantian testosteron,” kata Mayo Clinic.

Dalam pada itu, Healthline menjelaskan bahawa terdapat dua keadaan hypogonadism yang perlu orang ramai tahu, iaitu:

Iklan
Kredit foto: Eren Li

i) Hypogonadism utama: Tidak mempunyai hormon seksual yang mencukupi di dalam tubuh kerana ada masalah pada gonad (organ yang menghasilkan gamet). Gonad menerima isyarat dari otak untuk menghasilkan hormon tetapi tidak mampu untuk mengeluarkannya.
ii) Hypogonadism sekunder: Hipotalamus dan kelenjar pituitari yang mengawal gonad tidak berfungsi dengan baik.

Seterusnya, Healthline juga berkongsi gejala-gejala yang biasanya berlaku sekiranya seseorang mengalami hypogonadism, antaranya:

i) Kehilangan bulu badan.
ii) Tubuh tidak lagi berotot.
iii) Pertumbuhan payudara tidak normal.
iv) Mengurangkan pertumbuhan zakar dan buah zakar.
v) Mati pucuk.
vi) Osteoporosis (kerapuhan tulang).
vii) Tidak subur.
viii) Sering keletihan
ix) Sukar untuk menumpukan perhatian.

Kredit foto: Nathan Cowley

Mereka yang ada mengalami simptom-simptom berikut, amat digalakkan untuk lakukan pemeriksaan kesihatan dengan segera supaya punca dapat dikesan dan dirawat.

Soal perawatan, kaum Adam tidak perlu risau kerana terapi yang digunakan bukanlah secara pembedahan, tetapi menggunakan beberapa kaedah.

Iklan

Antaranya seperti melalui suntikan, tampalan, gel dan lozeng, jelas Healthline.

Baca juga: Bayi pramatang ajaib ‘terkeluar’ dari rahim ibu maut dihempap lori, hidup, berikut kejadiannya

Baca juga: Sisi berbeza Fattah Amin, Serlah kematangan selepas hampir sedekad dalam industri

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi