MUNGKIN ramai di antara kita yang tidak tahu tentang kewujudan penyakit vertigo.

Barangkali mereka sedar simptom itu, tetapi tidak tahu bahawa ia adalah vertigo.

Vertigo antara lain menyaksikan seseorang mengalami situasi seperti kepala berpusing, terasa gelap dan hilang keseimbangan.

Myhealth menjelaskan, vertigo juga adalah sensasi palsu yang mana diri sendiri, persekitaran atau kedua-duanya bergerak atau berpusing, biasanya disertai loya dan hilang keseimbangan.

Baca juga Sakit kejang perut disangka penyakit bahaya, rupa-rupanya wanita ini hamil tanpa sedar saat bersalin

Namun, kebanyakan kita menganggap petanda-petanda itu sesuatu yang normal berlaku mungkin disebabkan keletihan atau cuaca panas.

Bagi mengulas lanjut, Pegawai Perubatan di Anson Bay Medical Centre, Dr Erna Nadia Noordin menjelaskan, vertigo atau pusing-pusing lalat akan terasa seperti dunia sekeliling berputar-putar.

Dr Erna Nadia sendiri turut mengalami situasi itu selepas sembuh daripada demam panas yang tinggi selama tiga hari baru-baru ini.

“Selama tiga hari demam, saya tidak dapat bangun, hilang selera makan, kerap menggigil dan rasa lemah. Selepas demam reda, saya mengalami vertigo pula sehingga rasa melayang-layang, loya dan sakit kepala,” katanya dalam perkongsiaan dalam entri Facebooknya baru-baru ini.

Katanya, walaupun cuti sakit telah habis tetapi beliau masih belum mampu untuk pergi ke kerja dan tidak yakin untuk merawat pesakit.

Iklan

“Selama ini pesakit yang mengadu mengalami pusing-pusing, kini, ALLAH SWT memberinya rasa yang sama. Hikmah di sebalik situasi itu, berat saya turun 3 kilogram dan sudah seminggu tidak minum kopi. Bukan itu saja, saya juga hampir seminggu tidak makan nasi dan hanya duduk di rumah sahaja," katanya.

Dalam entrinya juga, beliau berkongsi tip untuk menangani situasi vertigo. Antaranya adalah:

i. Apabila rasa kepala berpusing-pusing, duduk dengan perlahan dan tenang. Kemudian, pandang ke bawah dan cuba tutup mata serta bernafas secara perlahan.

ii. Jangan bangun dan duduk secara tergesa-gesa. Bertenang dan tidak kalut.

iii. Elakkan pusing kepala atau badan secara laju.

iv. Jika hendak tunduk untuk mengambil barang atau membuat kerja, duduk dan ambil barang itu, lebih baik elakkan membongkok dan ambil kerana anda akan rasa lebih teruk.

Iklan

v. Duduk elok-elok dengan postur yang betul dan elakkan membongkok.

vi. Elakkan bermain gajet terlalu lama.

vii. Jika terdengar bunyi nyaring pada telinga, tutup mata dan cuba untuk lupakan.

Jelas Dr Erna, sekiranya simptom semakin teruk, seeloknya berjumpa Doktor Pakar Telinga, Hidung dan Tekak untuk mendapatkan rawatan lebih lanjut.

Menjengah ke ruangan komen, rupa-rupanya ramai antara kita yang mengalami situasi vertigo itu.

Berikut reaksi mereka yang ada pengalaman itu:

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI