SEHINGGA kini, masyarakat Masih menyimpan stigma negatif kepada golongan pesakit yang menghidap Human Immunodeficiency Virus (HIV).

Pertama, mereka beranggapan bahawa golongan yang ada HIV adalah disebabkan hubungan seks rambang atau mengambil dadah.

Kedua, ramai mengandaikan virus itu mudah menjangkiti manusia seperti virus Covid-19.

SinarPlus sendiri pernah berpengalaman menembual sebuah keluarga yang dipulau oleh penghuni di flat yang didiaminya gara-gara bapa beliau dijangkiti HIV.

Mereka tidak dibenarkan mengunjungi kedai runcit waima bermain di taman permainan di penempatan itu.

Kredit foto: cottonbro

Akibat sering diejek rakan sebaya, anak-anak mereka tidak bersekolah gara-gara mengalami kemurungan yang teruk.

World Health Organization menerangkan, HIV merupakan sejenis penyakit yang menyerang sistem imun dan mengakibatkan badan tidak mempunyai kekuatan untuk melawan jangkitan virus.

Virus boleh menjangkiti seseorang melalui darah, air mani, cecair faraj, cecair rektum, susu ibu atau melalui suntikan jarum atau picagari.

Pun demikian, HIV tidak akan merebak melalui sentuhan dan hanya menular kepada seseorang jika cecair itu masuk ke dalam salur darah individu yang negatif HIV, ujar laman web perubatan HIV.gov.

Kredit foto: Anna Shvets

Mereka turut menjelaskan bahawa virus berkenaan tidak akan tersebar menerusi udara, sentuhan dan beberapa perkara lain seperti:

i) Nyamuk, kuku atau serangga lain.
ii) Air liur, air mata, peluh, najis atau air kencing yang tidak bercampur dengan darah penghidap HIV.
iii) Berkongsi tandas, hidangan, aksesori.
iv) Menderma darah.
v) Aktiviti seksual lain yang tidak melibatkan pertukaran cecair badan.

Rawatan

Topik mengenai virus tersebut turut mendapat perhatian seorang Pegawai Perubatan, Bahagian Ibu Mengandung dan Kanak-Kanak, Klinik Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Fatin Liyana Asri.

Beritahu Dr Fatin Liyana, mereka yang menghidap HIV boleh mendapatkan kehidupan normal seperti sediakala.

Kredit foto: cottonbro

“Ramai orang beranggapan jika mereka dijangkiti HIV, ia adalah pengakhiran kehidupan. Sebenarnya tidak, penyakit berkenaan ada rawatannya. Jika seseorang tidak menerima sebarang perawatan, itu yang membawa kepada terjadinya Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS),” jelasnya.

Memetik penulisan Mayo Clinic, AIDS adalah komplikasi kronik yang terjadi disebabkan oleh HIV dan ia berpotensi untuk mengancam nyawa.

Iklan

Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), pesakit HIV akan diberikan terapi antiretroviral yang memerlukan pesakit untuk makan ubat seperti yang telah ditetapkan oleh pakar.

Kredit foto: Miguel Á. Padriñán

Rawatan berkenaan tidak dapat menyembuhkan penyakit sepenuhnya, tetapi ia dapat mengurangkan kadar virus di dalam badan sehinggakan mereka tidak boleh menjangkiti orang lain.

Tambah CDC, individu yang telah didiagnosis dengan HIV, perlu menjalani rawatan dengan segera supaya ia tidak menjejaskan kondisi sistem pertahanan badan dengan begitu teruk.

Justeru, orang ramai tidak seharusnya menjauhkan diri daripada mereka yang ada HIV kerana ia tidak boleh merebak dengan begitu mudah.

Sebaliknya, kita perlu beri sokongan moral yang mendalam kepada mereka supaya tidak berputus asa untuk melawan jangkitan tersebut.

Iklan

Baca juga: #SiBibirMerah: Trauma hilang insan tersayang, segera ubati rasa sedih, usah sampai kemurungan

Baca juga: Kepala kanak-kanak terhentak di lantai beri implikasi serius. Ini ibu bapa perlu tahu

Kredit foto utama: cottonbro & CDC

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi