ENTAH mengapa masih ramai yang mempercayai produk suplemen yang menjanjikan bulan dan bintang kepada pengguna.

Perkara itu tidak boleh dinafikan kerana berlakukan lambakan barangan yang dipromosikan secara dalam talian mahupun secara konvensional.

Kebanyakan pengguna yang memilih untuk membeli suplemen tersebut mungkin disebabkan mereka tidak mengetahui bahana pengambilan produk itu terhadap kesihatan.

Walaupun pelbagai usaha telah pun dilakukan oleh pihak berwajib untuk membuka mata orang ramai tentang bahayanya produk suplemen yang tidak diluluskan oleh kerajaan, tetapi masih ramai yang tidak mengendahkannya.

Kredit foto: Nataliya Vaitkevich

Jika disorot kembali, SinarPlus pernah membincangkan isu kesihatan itu di dalam program Doktor dan Anda dengan tajuk Produk Suplemen: ‘Ajaib’ atau makan diri.

Program yang menampilkan Penolong Pengarah Kanan Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Siti Hawa Mohd Nor telah membincangkan tentang perbezaan di antara ubat dan produk suplemen.

Beritahu Siti Hawa, orang ramai perlu tahu apakah itu ubat dan suplemen.

“Ubat merupakan sejenis bahan yang digunakan untuk merawat, mencegah dan mengawal penyakit, manakala suplemen pula adalah makanan tambahan kepada diet seharian.

“Ingin saya jelaskan, fungsi makanan tambahan adalah untuk meningkatkan kesihatan tubuh badan dan sistem imun. Ia bukanlah digunakan untuk merawat dan mengawal penyakit,” jelasnya.

Tambahnya lagi, produk suplemen tidak boleh diiklankan dengan tuntutan perubatan 20 penyakit antaranya seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, kanser, pengguguran kandungan dan peningkatan fungsi seks.

Di samping itu, Siti Hawa turut berkongsi cerita seorang pesakit buah pinggang yang terpaksa mengikuti proses dialisis selama tiga kali seminggu.

Kredit foto: Polina Tankilevitch

“Pesakit berkenaan menghadapi masalah kesihatan itu kerana makan produk yang tidak berdaftar dan dibeli menerusi laman sosial, Instagram,” ujarnya.

Dalam pada itu, SinarPlus merujuk satu perkongsian seorang Pakar Perubatan Kecemasan, Dr Ahmad Zakimi Abdullah atau dikenali sebagai Dr Zek.

Menerusi coretan Dr Zek di laman sosial Facebook, beliau berhadapan dengan pesakit kronik.

“Kebanyakan mereka yang datang ke hospital ialah golongan yang ada masalah kesihatan kronik kerana mengambil produk-produk suplemen yang kononnya dapat merawat 1,001 penyakit,” katanya.

Melihat kepada penulisan tersebut, SinarPlus berkongsi kes-kes yang dimuat naik oleh Dr Zek kepada pelayar, antaranya:

Kredit foto: PhotoMIX Company

i. Kes 1
– Pesakit kencing manis lingkungan umur 50 tahun. Mengambil produk suplemen jenis minuman yang dikatakan dapat merawat penyakit kencing manis.
– Difahamkan pesakit tidak lagi makan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh pihak hospital.
– Keadaan itu telah menyebabkan pesakit datang dengan glukometer bacaan gula 23 mmol/L, metabolic acidosis (badan terlalu banyak menghasilkan asid) dan urine ketone 4+.
– Pesakit mengalami Diabetic ketone acidosis dan memerlukan bantuan pernafasan akibat daripada metabolic acidosis yang serius dan dimasukkan ke unit rawatan rapi.

ii. Kes 2

Iklan

– Lelaki dengan lingkungan umur 60 tahun yang mengalami masalah kesihatan darah tinggi.
– Kes diterima kerana tidak sedarkan diri dan tekanan darah mencatatkan bacaan 212/130.
– Imbasan computerized tomography telah dilakukan. Hasil menunjukkan ada pendarahan otak dan pesakit juga mengalami strok jenis hemoragik.
– Difahamkan lelaki berkenaan turut mengambil suplemen jus dan tidak lagi makan ubat yang diberikan oleh pakar.

iii. Kes 3

Kredit foto: Artem Podrez

– Pesakit kencing manis wanita berumur dalam lingkungan usia 30 tahun. Beliau datang ke kecemasan hospital kerana sesak nafas dan kaki sembab.
– Bukan itu sahaja, pernafasannya juga laju kerana paru-paru sudah berair. Setelah melakukan pemeriksaan, bacaan creatinine lapan bulan lalu adalah 245 dan bacaan terkini 876 dengan urea 28 beserta metabolic acidosis.
– Beritahu wanita itu, beliau tidak lagi mengambil insulin kerana mengamalkan suplemen jenis minuman dan vitamin untuk merawat masalah kencing manis dan buah pinggang.

iv. Kes 4

Kredit foto: Anna Tarazevich

– Pesakit wanita berumur 20 tahun adalah seorang yang obes dengan berat badan lebih kurang 120 kilogram.
– Beliau datang ke hospital kerana pengsan beberapa kali dan rasa berdebar-debar.
– Keadaan tersebut telah menyebabkan beliau tidak sedarkan diri di Zon Merah akibat daripada mengalami degupan jantung kencang dan tidak sekata. Disebabkan hal itu, pesakit tidak dapat diselamatkan.
– Difahamkan pesakit telah mengamalkan ubat kurus yang mengandungi bahan aktif terlarang Sibutramine.

Iklan

Jelas Dr Zek, beliau sendiri memantau trend pengambilan suplemen dalam kalangan pesakit-pesakit kronik semakin membimbangkan.

SinarPlus mengharapkan perkongsian itu dapat menyedarkan orang ramai untuk tidak ambil mudah soal kesihatan dan jangan suka-suka makan produk suplemen yang tidak disarankan oleh pakar.

Baca juga: Kurang tidur boleh undang penyakit jantung, darah tinggi, ini cara terbaik untuk peroleh tidur berkualiti

Baca juga: Pesakit kencing manis, hipertensi takut dengan risiko berpuasa? Jangan risau, ini panduan kesihatan yang boleh dicuba

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi