BARU-BARU ini tular satu rakaman yang memaparkan pergerakan solat seorang lelaki tua di masjid seakan-akan mengikuti ajaran sesat.

Video yang dimuat naik di laman sosial, Twitter itu memperlihatkan individu itu menunaikan solat dengan tatacara yang berbeza.

Setelah diperhatikan, pergerakan yang dilakukan oleh warga tua itu adalah ‘berskala besar’.

Menerusi sudut pandang Islam, solat seseorang akan terbatal jika melakukan pergerakan anggota tubuh melebihi tiga kali.

Kredit foto: Roxanne Shewchuk

Namun, terdapat pengguna media sosial yang memberi komentar mengenai rakaman berdurasi 15 saat itu.

Kata mereka: “Ini bukannya sebab ajaran sesat atau buat pelik, tetapi pak cik ini ada masalah kesihatan berkaitan dengan saraf semisal penyakit Parkinson. Video seperti itu pernah tular suatu ketika dahulu.”

Difahamkan pengguna warga maya itu pernah bertugas sebagai seorang imam di Kuantan, Pahang. Beliau pernah berhadapan dengan jemaah yang memaparkan kelakuan mirip seperti lelaki tua di dalam video.

Kredit foto: Ahmet Polat

Selain imam berkenaan, ini beberapa komen yang SinarPlus petik:

“Hebat pak cik ini, walaupun dia tahu penyakit saraf yang dihidapi akan membuatkan jemaah lain pelik melihat dia solat, tetapi dia tetap datang ke masjid untuk solat bersama.”

“Aku pernah menunaikan solat Jumaat sebelah pak cik ini di Masjid al-Ikhlas Seksyen 13 Shah Alam.”

“Kadang-kadang melihat orang yang ada penyakit ini agak pelik, namun lama-lama kasihan sebenarnya.”

“Tak pernah tengok orang sakit Parkinson sampai tahap begini, nasib dah tahu dan apabila jumpa di luar, mungkin tidak akan terlalu terkejut tetapi lebih kepada kasihan.”

Baca juga: Tolong vaksinkan anak anda! Berdasarkan data UNICEF, vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak turun mendadak

Sindrom Tourettes

Kredit foto: Zachary DeBottis

Merujuk penulisan laman perubatan Mayo Clinic, sindrom Tourettes (TS) merujuk kepada pergerakan tubuh yang berulang kali atau menghasilkan sesuatu bunyi tanpa disedari.

Sebagai contoh, kenyit mata, mengangkat bahu, membuat bunyi yang luar biasa atau mengeluarkan perkataan yang boleh menyinggung perasaan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sindrom berkenaan, SinarPlus menyenaraikan 10 fakta berkaitan yang dipaparkan di laman perubatan Tourette Syndrome and Associated Disorders, antaranya:

Kredit foto: Kaitlyn Jade

i) Satu daripada 100 orang kanak-kanak mempunyai beberapa tanda-tanda sindrom berkenaan.

ii) Kurang daripada 10 peratus orang mempunyai TS swear yang dikenali sebagai coprolalia (mengeluarkan kata-kata lucah atau kenyataan yang menghina tanpa sengaja).

iii) TS merujuk kepada gangguan neurologi yang diwarisi dan dinamakan sempena Gilles De La Tourette.

iv) TS menyebabkan orang mempunyai kecelaruan tik yang mana ia adalah keadaan pergerakan atau bunyi yang dilakukan secara tiba-tiba dan berulang-ulang.

Iklan

v) Mereka yang ada TS tidak boleh mengawal atau menghentikan gangguan tik.

vi) Lebih 86 peratus individu menghidap TS dan biasanya mereka turut didiagnosis dengan gangguan defisit pemerhatian (ADD), masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD), kecelaruan obsesif-kompulsif (OCD) dan gangguan keresahan.

Kredit foto Nothing Ahead

vii) Terdapat dua jenis tik iaitu motor dan vokal. Tik motor merujuk kepada pergerakan badan seperti mata berkedip, mengangkat bahu dan melakukan pergerakan anggota tubuh yang lain. Tik vokal adalah bunyi yang dibuat seperti menyalak, menghidu, berdehem dan pengeluaran kata-kata rawak.

viii) Gangguan tik juga terbahagi kepada mudah dan kompleks. Tik mudah hanya melibatkan bahagian tubuh seperti mata berkedip atau menghidu. Tik kompleks pula merujuk kepada bahagian badan seperti mengayun kepala sambil menyentak lengan dan diakhiri dengan lompatan.

ix) Gangguan tik biasanya bermula sekitar umur lima tahun hingga 10 tahun dan gangguan pertama adalah jenis tik motor.

x) Gangguan tik akan semakin teruk semasa stres atau gembira. Mereka akan bertambah baik sewaktu sedang tenang dan fokus melakukan sesuatu aktiviti.

Iklan

Justeru, kita tidak seharusnya terlalu cepat menghukum perilaku seseorang. Kita tidak tahu mungkin mereka menghidap penyakit yang jarang berlaku.

Sebaik-baiknya, elak mengeluarkan kata-kata yang boleh mengguris hati mereka sekiranya apa yang diperkatakan sebenarnya bukanlah kebenaran.

Baca juga: Khasiat betik untuk wanita, makan 14 minggu berturut kulit jadi awet muda, daunnya redakan senggugut

Baca juga: 2 beradik diuji sindrom Hunter perlukan RM2 juta setahun untuk ubat dan kelangsungan rawatan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi