MeiFen patuh arahan PKP

March 26, 2020
Oleh Wawann Mohd

MEMATUHI sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini sudah memasuki hari kesembilan, pelakon MeiFen mempunyai aktivitinya yang tersendiri di rumah sepanjang tempoh tesebut.

Mengakui agak sibuk dengan urusan kerjaya seni sepanjang tahun lalu sehingga tidak mempunyai masa untuk diri sendiri, pemilik nama sebenar, Lim Mei Fen, 33, menyifatkan PKP sebagai kesempatan terbaik untuknya berehat seketika daripada kerja.

“Sepanjang tahun lalu saya banyak kerja outsation termasuk berulang-alik ke China dalam tempoh enam bulan dan hanya sehari dua sahaja berada di rumah.

“Kebetulan jadual kerja saya ketika itu sangat padat, apatah lagi menjalani penggambaran di lokasi luar Kuala Lumpur dan ia sangat memenatkan.

“Jadi apabila kerajaan mengeluarkan arahan PKP akibat penularan wabak Koronavirus (Covid-19), saya menggunakan peluang tersebut dengan sebaiknya untuk berehat di rumah,” ujar Mei kepada Sinar Plus.

Berkongsi aktiviti yang dilakukan di rumah sepanjang tempoh tersebut, kata MeiFen, dia tidak bosan berada di rumah kerana sentiasa mempunyai aktiviti untuk dilakukan.

Selain menyiapkan proposal untuk projek seninya akan datang, pelakon filem Two Sisters itu juga mengambil kesempatan untuk belajar memasak.

“Sebenarnya kalau tiada kerja di luar, saya memang suka duduk di rumah saja. Kadang-kala apabila tamat sesuatu penggambaran, saya akan rehat di rumah beberapa hari atau minggu sebelum memulakan kerja baharu.

Iklan

“Cuma bezanya kali ini kita diwajibkan duduk rumah oleh pihak berkuasa dan tidak boleh keluar sesuka hati.

“Sebelum ini saya suka makan di luar dan tak pernah masak sendiri. Jadi bila dalam keadaan ini, barulah saya terdetik belajar memasak untuk makan sendiri. Tidak hanya belajar dengan kawan serumah, tetapi juga menerusi Facebook,” akui MeiFen.

Dalam perkembangan lain, MeiFen juga berkongsi berita gembira apabila menerima tawaran untuk menyambung pengajian peringkat Sarjana di Beijing Film Academy, China, selepas membuat permohonan pada Disember lalu.

Iklan

“Prosesnya tidak mudah kerana saya perlu menjalani peperiksaan dan sesi interview bersama panel akademi tersebut, selain bersaing dengan 1,000 orang pemohon.

“Bagaimanapun saya kini dalam dilema untuk menerima tawaran tersebut atau sebaliknya kerana sesi pengajian akan bermula pada September depan.

“Selain bimbang tentang wabak Covid-19 yang masih belum selesai, saya juga bergantung kepada permohonan biasiswa yang dibuat untuk ke sana,” akuinya.

Menurut MeiFen, ketika kunjungannya ke China pada penghujung tahun lalu, Covid-19 masih di peringkat awal.

“Covid-19 ketika itu masih belum merebak secara meluas. Cuma pada hari-hari terakhir saya di sana, beberapa rakan ada menasihati saya agar berjaga-jaga.

“Takut juga bila dipesan begitu, apatah lagi ketika itu pihak berkuasa di sana mula memeriksa suhu badan mereka yang keluar masuk di lapangan terbang.

“Mujurlah saya sudah berada di tanah air apabila wabak tersebut menular secara berleluasa di sana,” katanya.

About Wawann Mohd

Biodata Penulis