MELAKA River Cruise (MRC) merupakan antara satu tarikan utama di Melaka.

Mana tidaknya, jika dahulu sungai Melaka dikaitkan dengan air yang berlumpur dan keruh, kini semuanya sudah berubah apabila ia dinaik taraf.

Benteng yang bersih di kedua-dua tepi sungai pula menyejukkan mata. Sungai itu sebenarnya juga telah diperluaskan dan peranti mekanikal telah dipasang untuk mengawal kedalaman air.

Idea ini adalah untuk menjadikan sungai itu sepenuhnya bebas pencemaran dan bagi membina taman yang indah di tebingnya dan membuka laluan pejalan kaki.

Oleh sebab itu, jika korang ke Melaka, jangan lepaskan peluang untuk mencuba merasai suasana menaki MRC. Waktu terbaik adalah sebelah malam kerana pengunjung boleh layan warna warni lampu yang sangat cantik.

Justeru, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) kini menawarkan pelbagai diskaun termasuk potongan 20 peratus harga tiket bagi perkhidmatan MRC menerusi pembelian di aplikasi Melaka eXcess bermula 1 Jun hingga 31 Dis ini.

Iklan

Memetik laporan yang diterbitkan oleh portal berita tempatan, Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Mohd Fariz Mohd Ali berkata, tawaran diskaun itu selaras dengan kempen ‘Dream Now, Travel Later’ dalam usaha menarik kedatangan pelancong dan merancakkan industri perkhidmatan MRC serta sektor pelancongan negeri yang terjejas disebabkan penularan Covid-19.

Beliau berkata, semua tawaran diskaun harga tiket MRC tersebut diberikan kepada pengunjung tempatan dan luar negara.

Iklan

“Tiket yang dibeli menerusi aplikasi Melaka eXcess boleh digunakan sehingga 31 Dis 2023 dan kita juga menawarkan promosi tiket antara 10 hingga 15 peratus pada pengunjung yang membeli di kaunter. Pengunjung yang memuat turun aplikasi tersebut buat kali pertama juga akan mendapat kredit sebanyak RM10.

“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 500,000 pelancong dalam tempoh enam bulan ini,” katanya.

Bermula hari ini, MRC akan beroperasi seperti biasa bermula 9 pagi hingga 11.30 malam setiap hari dengan 40 buah bot dan hanya boleh dinaiki seramai 15 orang sahaja bagi setiap bot, berbanding kapasiti sebenar iaitu 40 orang bagi menjaga penjarakan sosial.

Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan diutamakan termasuk menggunakan aplikasi MySejahtera selain memeriksa suhu badan, merekod nama serta nombor telefon pengunjung serta memastikan pengunjung menggunakan cecair pembasmi kuman yang disediakan sebelum dan selepas menaiki bot.