SANA sini ramai yang memperkatakan tentang sektor pelancongan di Langkawi dibuka semula kepada pengunjung pada 16 September ini.

Semua dibenarkan memasuki pulau legenda itu kecuali mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) susulan dipilih sebagai lokasi projek rintis gelembung pelancongan domestik.

Ini bermakna semua produk pelancongan dari segi hotel, premis perniagaan, makanan dan aktiviti lain seperti sukan air akan dibuka kepada orang ramai.

Justeru, dalam keterujaan ke Langkawi, pengunjung dinasihatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan peningkatan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham mengingatkan kepada semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi SOP.

“Tatkala kita cuba mengimbangi di antara nyawa dengan kelangsungan hidup dan ekonomi, marilah kita bersama-sama memastikan tiada peningkatan jangkitan virus COVID-19 di pulau percutian ini. Kerjasama anda semua adalah sangat diperlukan,” katanya

Susulan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang meningkatkan kesiapsiagaan dan kapasiti untuk respon Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19 yang memerlukan kemasukan ke hospital dan ICU.

HSM merupakan hospital “hybrid” yang merawat pesakit Covid-19 (79 katil) dan bukan Covid-19 (142 katil).

Selain itu, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Langkawi International Shooting Range Malaysia (i-PKRC LISRAM) diwujudkan pada 4 Ogos 2021 dengan 60 katil tambahan bagi merawat pesakit kategori 1,2 dan 3 (berisiko rendah).

Manakala bagi Unit Rawatan Rapi, sebanyak lapan buah katil tambahan telah diwujudkan sebelum ini (repurposed) menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13 buah.

Iklan

Daripada jumlah ini, sembilan buah katil adalah dikhususkan bagi merawat kes Covid-19, katanya.

Selain itu, jabatan-jabatan lain juga turut merancang pelan kesiapsagaan bagi merawat kes yang mungkin akan bertambah.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan, hanya pelancong yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri sahaja diperlukan mendapat surat dari PDRM bagi tujuan rentas negeri dan sekatan jalan raya.

Baca juga [VIDEO] Pantai Cenang Ibarat ‘Ghost Town’, Dulu Meriah, Kini Berteman Daun Kering

Iklan

Manakala pelancong yang menggunakan pesawat udara tidak perlu mendapatkan surat kebenaran.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia juga turut mengingatkan orang ramai yang ingin mengunjungi Langkawi agar mematuhi SOP yang ditetapkan termasuklah:

-Individu yang lengkap dua dos vaksinasi.
-Bagi pelancong yang menggunakan jalan darat, mereka perlulah menggunakan khidmat agensi pelancongan sekurang-kurangnya pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri ke Langkawi.
-Hanya pelancong dari Kedah dan Perlis sahaja yang tidak wajib menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan.
-Pengunjung dikehendaki menunjukkan bukti pembelian produk pelancongan seperti tiket feri atau penerbangan, resit hotel atau resit pembelian pakej pelancongan semasa memohon kebenaran polis atau ketika diminta penguatkuasa polis.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia