PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Pandemik Covid-19 memberi impak besar kepada ekonomi sehingga  banyak pihak terjejas dan terpaksa mencari inisiatif lain untuk mencari pendapatan demi kelangsung hidup.

Itu jugalah yang berlaku kepada penyanyi yang juga usahawan, Mila Jirin yang mengakui perniagaannya kini terjejas teruk apabila acara dan majlis perkahwinan tidak dapat diadakan semenjaka lebih dua bulan lalu.

Mila menerusi perkongsian di Instagram berkata, dia kini dalam perancangan untuk mengusahakan sesuatu untuk menjana pendapatan baharu bagi membayar gaji para pekerjanya.

“Para pekerja saya bersatu hati membantu saya dan syarikat dalam menempuh fasa PKP yang telah menjejaskan industri perkahwinan dan travel.

“Beberapa hari lepas, saya adakan meeting dengan pekerja saya di Bizmilla. Saya maklumkan tentang situasi sebenar syarikat, dan apa perancangan syarikat untuk menjana pendapatan bagi menampung kos operasi dan kos pengurusan (gaji pekerja).

“Alhamdulillah, semua warga kerja di Bizmilla bersatu hati bergabung untuk memulakan beberapa aktiviti perniagaan baharu demi kelangsungan syarikat dan memastikan semua warga kerja mendapat gaji bersama-sama disebabkan kewangan syarikat terjejas teruk akibat tiada pendapatan hampir dua bulan lebih,” katanya yang mengakui sebak ketika membuat perkongsian.

Tambah Mila, buat ketika ini syarikat miliknya masih bertahan walaupun kos operasi dan kos pengurusan menelan belanja hampir setengah juta sebulan. Malah, dia juga sentiasa positif berjuang bersama-sama pekerjanya.

“Di Bizmilla kami memang ada unit Pastry, di mana unit ini menyediakan semua jenis manisan dan pastry untuk buffet majlis perkahwinan di Dewan Bizmilla.

“Team pastry dan beberapa warga kerja di bahagian pengurusan dengan penuh semangat berjuang bersama-sama syarikat dan mencetuskan idea untuk menghasilkan kek yang super sedap untuk juadah Syawal ini dan sebarang ulangtahun mahupun apa jua majlis sambutan dirumah.

“Boleh follow IG @bizmilla_cakepastry untuk melihat kek-kek yang disediakan bolehlah buat tempahan untuk hari raya nanti, Insya-ALLAH,” katanya.

Dalam pada itu, kata Mila, dia turut memaklumkan pada pekerjanya tentang situasi sekarang dan mengakui tidak mengharapkan keuntungan daripada usaha tersebut, tetapi ia lebih kepada untuk membantu pekerja dan membayar bayaran gaji yang mencecah hampir RM200,000 sebulan.

“Saya faham, semua ada keluarga. Jadi saya tak nak para pekerja saya hilang punca pendapatan.

“Jadi, kita buatlah apa sahaja yang termampu dan rezeki halal demi kelangsungan syarikat dan dapat mereka bersama-sama mendapat pendapatan.

“Saya mohon, pada rakan rakan saya di Instagram ini, bantulah menyokong inisiatif pekerja-pekerja saya,” akhiri Mila.

 

(SUMBER/FOTO: Instagram Mila Jirin)