SETELAH lebih tiga bulan syarikat perkhidmatan penyediaan perkahwinan miliknya, Bizmilla Wedding Centre tidak dapat beroperasi, penyanyi dan usahawan Mila Jirin menarik nafas lega apabila kerajaan kini membenarkan penganjuran majlis bermula 1 Julai ini.

Menurut Mila, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan pandemik Covid-19, pengusaha majlis dan acara terjejas teruk, malah berdepan dengan pelbagai cabaran untuk terus bertahan.

Menyambut berita tersebut dengan penuh kesyukuran, Mila mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang telah memberi kebenaran kepada pengusaha industri perkahwinan untuk beroperasi semula.

“Alhamdulillah, sujud syukur kepada ALLAH. Segala penat lelah AWIM dan gabungan persatuan yang telah mengumpul semua pengusaha industri perkahwinan di seluruh Malaysia untuk bersatu dengan pelbagai usul yang diberikan dalam pembangunan SOP.

“Hanya ALLAH dapat membalas segala kebaikkan kalian. Moga ukhwah dalam persatuan dikekalkan untuk kebaikkan bersama.

“Masya-ALLAH, saya dapat puluhan DM yang menyatakan syukur dapat berniaga semula dalam perjuangan mencari rezeki,” luah Mila.

Dalam pada keterujaan itu, Mila turut memohon pengusaha dan mereka yang terlibat dalam industri terbabit agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Saya mohon semua sahabat industri untuk mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan kepada industri perkahwinan.

“Mohon untuk memantau dan memastikan SOP, penjarakan sosial dan kebersihan diberi keutamaan kepada pelanggan dan pengunjung.

Iklan

“Buat semua bakal raja sehari, insya-ALLAH dengan SOP yang telah diberikan, kami semua komited dalam perlaksanaan. Insya Allah, sesungguhnya perancangan ALLAH ini yang maha terbaik.

Mila juga memaklumkan Bizmilla Wedding Centre akan mula beroperasi  pada  Jumaat (esok).

Iklan

Terdahulu sebelum itu, Mila mengambil pelbagai inisiatif termasuk menjual kek dan durian untuk menampung gaji pekerja sepanjang tempoh PKP.

 

(FOTO: Instagram Mila Jirin)