KUNJUNGAN pelakon dan pengacara, Mira Filzah ke Taiwan tahun lalu telah membuka mata gadis itu tentang sisi berbeza negara tersebut.

Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman dilantik oleh Biro Pelancongan Taiwan di Malaysia sebagai Duta Salam Taiwan.

Bagaimanapun, pada ketika itu, selebriti berusia 27 tahun ini hanya sempat meneroka sekitar bandar dan berpeluang menikmati makanan halal.

Namun, benarlah kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu, apabila anak jati Ipoh, Perak itu dilantik sebagai Duta Salam Taiwan buat tahun kedua.

Menurut Mira, penjelajahan kali ini telah membuka matanya tentang kecantikan sebenar Taiwan sekali gus membuatkannya jatuh cinta.

“Kali ini saya dibawa meneroka permata terpendam pulau menakjubkan ini dan mendokumentasi pengalaman yang berharga itu menerusi TVC terbaharu Salam Taiwan.

“Apa yang boleh saya katakan, kunjungan kali ini lebih bermakna dan memberi kepuasan kerana saya dapat menyelami kecantikan dan keindahan pemandangan di sini.

“Antara tempat yang saya lawati ialah Landasan Kereta Api Hutan Alishan di Wilayah Chiayi, di mana saya menikmati perjalanan kereta api dengan panorama hutan pokok buluh yang mengagumkan dan angin bayu semula jadi yang menenangkan.

Mira Filzah
Mira turut mengambil kesempatan melihat aneka kain di Pasar Kain Yongle.

“Selain tarikan kereta api, terdapat banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan oleh pelancong di Alishan seperti mendaki gunung, menghayati detik matahari terbit, menghirup teh Taiwan berkualiti tinggi atau sekadar menikmati alam semula jadi untuk berasa segar semula,” katanya dalam satu sesi temu bual bersama media menerusi sidang video baru-baru ini.

Tambah Mira, dia juga dibawa ke beberapa lokasi menarik lain seperti Pasar Kain Yongle dan Perkampungan Pelangi (Rainbow Village) di Taichung.

“Sejujurnya saya sukakan alam semula jadi. Bila dapat peluang seperti ini, saya  rasa seronok sangat.

Iklan

“Selain dibawa berjalan ke lokasi menarik, saya juga berpeluang mencuba makanan pencuci mulut yang sangat digemari ramai seperti teh boba, minuman jeli lemon (ai-yu-ping) dan ais batu campur mangga.

“Apa yang boleh dikatakan daripada pengalaman ke sana, saya rasa bangga untuk mengatakan, jom kita ke Taiwan.

“Walaupun keadaan sekarang tidak mengizinkan, tapi mana tahu tahun akan datang kita dapat ke sana lagi,” katanya.

TVC Salam Taiwan musim kedua boleh ditonton di laman web Biro Pelancongan Taiwan, Facebook dan YouTube.

Iklan

https://www.instagram.com/p/B_49XN6B6gb/?utm_source=ig_web_copy_link