PENYANYI Tomok dan pelawak Shuib Sepahtu masing-masing tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang terkesan dengan pandangan yang mereka utarakan berkenaan bantuan khas untuk penggiat seni baru-baru ini.

Tomok sebelum ini dikecam teruk oleh warganet yang menyifatkan permintaan bantuan khas yang disuarakan oleh golongan artis sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya dibuat kerana latar belakang kehidupan mereka yang dianggap lebih  berkemampuan.

Tidak mahu menjadikan keadaan semakin buruk, penyanyi lagu Bekas Kekasih itu tampil memohon maaf.

“Untuk tidak menjadikan keadaan semakin buruk saya ingin meminta maaf kepada semua rakyat malaysia .

“Maaf sekiranya statement saya di Instagram tempoh hari ada menyakiti hati kalian. Saya juga manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan. Maafkan saya semua.

“Marilah kita sama-sama doakan semoga negara kita dan dunia bebas daripada Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Shuib yang turut menerima nasib yang sama apabila menyatakan sokongannya kepada rakan-rakan artis terlibat, mengambil  pendekatan serupa untuk memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

“Saya mengambil apa yang berlaku berhubung kenyataan saya tempoh hari sebagai kesilapan sendiri. Saya mohon ampun dan maaf dan saya harap isu ini selesai.

“Saya terima apa juga kata-kata anda. Satu yang pasti, saya selalu kenang jasa anda semua yang menyokong saya.

Iklan

“Sama-sama kita berdoa agar negara kita lekas bebas daripada covid19 dan semoga kita sentiasa dilindungi, diberkati dan dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat.

“Sama sama kita bantu mana yang memerlukan dan semoga kita terus tabah dalam ujian ini. Mohon maaf sekali lagi,” ujar Shuib di laman Instagramnya pada Isnin.

Iklan

Isu tuntutan bantuan khas yang disuarakan oleh golongan artis kepada penggiat seni tanah air yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan hangat diperkatakan dan mendapat kecaman hebat daripada warganet yang mempersoalkan tindakan tersebut.

 

(FOTO: Instagram Tomok, Shuib)