SELEPAS kelonggaran diberikan kerajaan, pasti ramai daripada kita merancang untuk bercuti.

Begitupun, ada antara kita yang risau dengan keadaan ahli keluarga atau rakan-rakan yang sarat mengandung untuk mengikuti aktiviti bersama ketika bercuti atau melancong.

Bukan itu sahaja, sis yang sedang hamil lagilah berkali-kali risau kan? Masakan tidak, keadaan sedang berbadan dua tapi ‘mengidam’ nak berjalan ke sana sini pastinya memerlukan pergerakan fizikal yang lebih…

Tak ada masalah pun, yang penting korang kena tahu tahap kesihatan dan kemampuan diri sendiri untuk melancong.

Jangan gusar buat ibu hamil di luar sana. Hari ini SinarPlus ingin berkongsi lima panduan daripada familyeducation.com yang boleh korang ikuti ketika berhajat untuk melancong:

1. Pilih destinasi dengan bijak

Bercuti di dalam negara adalah ideal apabila korang sedang hamil kerana korang tidak perlu membuat banyak perjalanan. Ingat, kadangkala perjalanan jauh boleh jadi tidak selesa semasa hamil. Ada banyak destinasi percutian yang menarik yang lebih dekat untuk korang pilih berdekatan lokasi tempat tinggal.

Lebih mudah, cuba pilih tempat yang dalam lingkungan dua hingga tiga jam perjalanan sahaja. Itu akan lebih memudahkan urusan percutian korang tau.

2. Rancang percutian

Perancangan awal dapat membantu menggunakan sepenuhnya masa ketika bercuti. Buatlah senarai semua benda yang mahu dibawa bersama.

Iklan

Korang disarankan memberi lebih masa bagi perjalanan. Itu termasuklah memberi masa rehat yang kerap dan untuk ke tandas dan mempunyai masa tambahan bagi sebarang kelewatan.

3. Kemas barang sebaiknya

Keselesaan adalah sangat penting apabila sedang hamil. Pemilihan pakaian, kasut dan aksesori yang sesuai boleh membuatkan percutian lebih bermakna.

Jika percutian yang dipilih berkemungkinan besar akan melibatkan banyak pergerakan, bawalah kasut atau kasut sukan yang selesa. Lebih baik lagi jika ia mudah dipakai dan ditanggalkan.

Iklan

4. Nikmati perjalanan

Tidak kira sama ada membuat perjalanan dengan kereta, kereta api, bot atau kapal terbang, ada beberapa langkah mudah yang boleh diambil untuk membuat perjalanan itu lebih selesa.

Cuba buat beberapa regangan ringan setiap jam untuk membantu meminimakan kebengkakan, pedih hulu hati dan kejang kaki. Kalau boleh, bangun dan berjalan-jalan seberapa kerap yang boleh. Atau jika memandu, cuba berhenti rehat sekurang-kurangnya setiap satu setengah jam.

5. Rehat secukupnya

Kehamilan adalah alasan yang terbaik untuk ‘bermalas-malasan’ dan berehat sepenuhnya.

Ketika hamil, cubalah elakkan aktiviti-aktiviti yang meletihkan. Rehat yang cukup akan membantu rasa lebih bertenaga untuk menikmati percutian itu sepenuhnya.

Ambil masa untuk duduk dengan kaki diangkat, nikmati keadaan sekeliling dan kembalikan tenaga.

Jadi, utamakan keselamatan. Jika sudah mula merasa letih, pilihlah aktiviti yang lebih santai seperti membaca di tepi pantai atau menghabiskan masa di dalam bilik sahaja sambil menikmati mandian hangat. Selamat bercuti!