PELAKON Dira Abu Zahar menamatkan status ibu tunggal apabila selamat melangsungkan perkahwinan dengan seorang ahli perniagaan, Syfik Izdzywan Sidek, 46, hari ini.

Majlis yang diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua belah pihak itu berlangsung di Masjid Al Azim, Merlimau, Melaka pada jam 10.30 pagi tadi.

Dalam upacara yang dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang  ditetapkan itu, Dira atau nama sebenarnya Khaidiriah, 36, menerima mas kahwin berjumlah RM1,000 beserta tiga dulang hantaran, berbalas lima. Sementara itu, jumlah wang hantaran tidak dinyatakan atas persetujuan kedua-belah pihak.

Difahamkan Dira yang kini bergiat aktif dalam bidang politik itu mula mengenali suaminya sejak setahun yang lalu, sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Fasa baharu dalam hidup saya kini bermula. Alhamdulillah majlis berlangsung secara ringkas, tertutup dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Lebih istimewa abang saya, Muhd Idi Iskandar yang menikahkan kami,” katanya sebagaimana dilaporkan Astro Awani.

Iklan

Dira yang sebelum ini pernah dua kali gagal dalam perkahwinan, mengharapkan agar perkahwinan ketiga ini menjadi yang terbaik buatnya.

“ALLAH SWT bagi rezeki dan peluang lagi. Insya-ALLAH saya akan berusaha untuk menjadi yang terbaik kali ini,” katanya.

Iklan

Menerusi perkahwinan pertama pada 2007 bersama vokalis kumpulan Bau, Tengku Shafriz-Rullah atau Ash, Dira dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Tengku Anggun Deandra, 12.

Manakala menerusi perkahwinan kedua bersama pengarah Helmi Yusof pada 2011, pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata. Bagaimanapun, Dira kemudiannya mengambil anak seorang angkat, Waris Iskandar Andiqa.