BERGELAR pensyarah dan juga selebriti mungkin nampak mudah dan menyeronokkan, namun pada hakikatnya punya cabaran tersendiri.

Lebih-lebih lagi semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, semua rakyat Malaysia diajar untuk hidup dengan norma baharu seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Dr. Fitri Haris atau nama penuhnya Mohamad Fitri Mohamad Haris, dia melihat ramai yang terkesan akibat  PKP yang dilaksanakan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Malah, bagi orang seni sepertinya yang bergantung mata pencarian kepada persembahan pentas, dia perlu mencari formula baharu demi menjana pendapatan sampingan sepanjang tempoh PKP.

“Barangkali ada yang kata, saya ada pendapatan sampingan kerana masih bekerja sebagai pensyarah. Namun, saya bercakap secara umum, saya tahu bukan anak seni sahaja tapi seluruh rakyat Malaysia terkesan pendapatan mereka sejak PKP dilaksanakan.

“Bagi anak seni, kami yang bergantung pada persembahan pentas perlu fikirkan cara lain untuk teruskan hidup.

“Secara peribadi saya juga rasa terkesan apabila banyak persembahan dan aktiviti terpaksa dibatalkan. Tapi saya lihat dari sudut positif kerana PKP juga adalah untuk kebaikan bersama,“ katanya kepada SinarPlus.

Tambah Fitri, bagi memastikan dirinya kekal aktif bersama peminat, dia lebih gemar menggunakan media sosial untuk berinteraksi dan berkongsi perkembangan diri.

Begitu juga dengan sesi pembelajaran  atas talian bersama para pelajarnya.

“Memang kita hidup pada zaman teknologi dan biasa dengan media sosial. Tapi saya anggap ini juga (pembelajaran atas talian) benda baharu yang perlu dibiasakan.

“Mengajar secara atas talian tanpa bersemuka juga ada cabarannya. Walaupun pelajar yang menyertai sesi pembelajaran itu seramai 80 orang, tapi sesi komunikasi tidak sama seperti berada di dalam kelas.

“Kadangkala saya terasa seperti bercakap seorang diri kerana mereka  tutup mikrofon dan ada juga yang tutup video. Itu belum lagi masalah sambungan internet,“ jelasnya.

Ramadan sederhana

Dalam pada itu, ditanya mengenai sambutan Ramadan tahun ini, Fitri berkata, dia menganggap dugaan yang dihadapi dunia kini sebagai nikmat di sebalik ujian.

Iklan

Katanya, selain beribadat dengan lebih baik, dia juga dapat meluangkan masa bersama keluarga di rumah.

“Walaupun tak dapat balik kampung seperti kebiasaannya, tapi saya sentiasa luangkan masa berinteraksi menerusi telefon.

“Saya sifatkan Ramadan kali ini sebagai nikmat hikmah dalam ujian. Perit tapi ada manisnya,“ ujarnya.

FITRI HARIS
Fitri gunakan masa terluang dengan beribadah dan meluangkan masa bersama keluarga.

Sementara itu, berkongsi perkembangan lain, Fitri berkata, dia akan tampil dengan single terbaharu berjudul Nuzul Quran sempena Ramadan ini.

Selain itu, dia tidak lagi terlibat dengan Butik Haqi atas sebab-sebab tertentu, sebaliknya beralih kepada jenama Al Mukarramah.

Iklan

“Jenama Haqi sudah diserahkan semula kepada Koperasi Tabung Haji. Saya jenamakan semula koleksi sebelum ini kepada Al Mukarramah serta sudah mula dijual secara atas talian.

“Kami masih lagi mengekalkan penjualan pakaian patuh syariah seperti jubah dan kurta.

“Saya harap orang ramai dapat memberi sokongan dan jenama Al Mukarramah mendapat sambutan hangat,“ katanya yang merancang untuk mengeluarkan tiga buku motivasi sendiri tidak lama lagi.